MG5, ada buruk dan baiknya – Pandu Uji Ringkas

Dari pertama kali ia dipertontonkan di Malaysia pada Ogos lalu, hingga ke pelancarannya kira-kira dua bulan kemudian, MG5 dilihat menjadi buah mulut netizen.

Ada yang memuji reka bentuknya, ada juga tertarik dengan harganya yang setanding dengan sedan-sedan segmen B walaupun mempunyai saiz yang lebih hampir dengan sedan segmen C.

Walau bagaimanapun, majoriti komen yang dilontarkan adalah mengenai aspek keselamatan kereta ini. Bagi mereka yang terlepas, MG5 menerima penarafan sifar bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) pada tahun lalu.

Ketua Pemasaran SAIC Motor Malaysia, Phang Rick Kee baru-baru ini tampil memberikan penjelasan mengenai isu ini. Menurutnya, model yang diuji oleh ANCAP berbeza dengan model yang dijual di Malaysia.

Untuk pasaran Australia, MG5 diimport dari China dan tidak dilengkapi dengan pre-tensioner, manakala pasaran Malaysia mendapat MG5 dari Thailand dan versi ini didatangkan dengan pre-tensioner bagi kesemua tali pinggang keledar.

Sejujurnya, penulis tidak mempunyai harapan yang tinggi terhadap MG5, apatah lagi apabila ia diselubungi isu keselamatan yang boleh dikatakan agak serius ini.

Tetapi setelah memandunya sejauh kira-kira 800 km dari Kuala Lumpur ke Desaru dan balik, penulis mendapati kereta ini ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar dipertimbangkan sekiranya anda ingin sedang mencari sedan segmen B.

Yang pertama, mereka yang sudah bosan dengan jenama T, H mahupun N, wajar melihat MG5 dengan lebih dekat. Penulis mendapati ia nampak lebih cantik ketika menyusur di jalan raya berbanding di atas pentas pelancaran atau di bilik pameran, terutamanya dalam warna Nuclear Yellow yang kelihatan sangat memukau di bawah sinaran matahari.

Penulis secara peribadi begitu tertarik dengan rekaan bahagian depannya yang kelihatan tidak ubah seperti sedan sport dari Maserati. Rekaan bumbung ala coupe pula memberikan sedan ini profil sisi yang menarik cuma rim aloi ‘Tomahawk’ berukuran 17 inci nampak agak kecil untuk kereta dengan saiznya.

Dari belakang, pinggul yang lebar (boleh dilihat dari cermin sisi) membuatkan MG5 nampak tegap dan stabil di atas jalan raya. Bagaimanapun, penulis kurang berkenan dengan rekaan lampu belakangnya yang jelas ditiru dari Peugeot.

Di dalam, butang dan skrin sentuh bukan sahaja diletakkan pada posisi yang mudah untuk dicapai, malah dihalakan ke arah pemandu. Cuma sebelum memandu, penulis memerlukan masa untuk mencari posisi pemanduan paling ergonomik kerana stereng tidak mempunyai pelarasan teleskopik dan ketinggian kerusi tidak boleh diubah.

Bukan itu sahaja, penulis juga mengalami sedikit kesukaran untuk melihat keadaan trafik menerusi cermin pandang belakang kerana bumbung coupenya membuatkan cermin belakang kereta ini agak kecil. Ini diburukkan lagi dengan tiga perehat kepala yang tersembul keluar.

Sebagai penumpang belakang, penulis boleh katakan yang kerusi belakang selesa, tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang cukup. Kaki juga boleh dilunjurkan ke depan dengan mudah, terima kasih kepada tapak rodanya yang agak panjang iaitu 2,680 mm.

Senarai kelengkapannya agak memuaskan. Selain skrin sentuh, anda mendapat kluster instrumen digital, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, pelarasan enam hala untuk tempat duduk pemandu dan bumbung suria.

Dari segi keselamatan, terdapat enam beg udara dan sistem MG Pilot yang merangkumi ciri-ciri seperti Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang. Malangnya, tiada Brek Kecemasan Autonomi.

Pada pendapat penulis, kelengkapan yang diberikan agak berbaloi untuk sebuah kereta yang berharga RM87,000 selepas diskaun. Cuma ada beberapa perkara yang penulis tidak begitu gemar. Contohnya, kelajuan kipas pendingin hawa hanya boleh dilaraskan menerusi skrin sentuh.

Selain itu, hanya ada satu corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang mempunyai seorang anak sahaja tetapi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga, perebutan mungkin berlaku.

Bagaimana pula dengan pemanduannya? 114 PS dan 150 Nm bukanlah angka yang boleh dilabel sebagai ‘mengagumkan’ dan ini terbukti benar kerana MG5 jelas terasa perlahan dan berat ketika mula bergerak. Mereka yang kurang sabar akan menekan pedal dengan agresif dan ini akan menghasilkan ngauman yang agak kurang enak didengari.

Namun selepas jarum melepasi angka 60 km/j, pecutan terasa lebih lancar dan kereta serta merta terasa lebih ringan. Menerusi pengalaman penulis, MG5 tidak ada masalah untuk mencapai kelajuan tinggi cuma anda perlu sabar sedikit.

Di sini jelaslah yang karakter pemanduan MG5 lebih sesuai untuk pemandu yang santai dan tenang. Jika anda tidak tergolong dalam kumpulan ini, lebih baik tunggu kehadiran versi turbo. Ya, ia akan tiba ke pasaran Malaysia namun tarikh sebenar masih belum diketahui.

Walaupun prestasi pecutannya tidak mengujakan, ada tiga perkara berkaitan pemanduan MG5 yang mengejutkan penulis.

Pertama sekali, kadar Noise, Vibration and Harshness (NVH). Walaupun pada kelajuan melebihi hadlaju kebangsaan, penulis mendapati bunyi angin dari luar, terutamanya pada cermin sisi dan bahagian atas bingkai tingkap, dihalang dengan baik.

Walau bagaimanapun, tayar Maxxis yang dibekalkan agak bising terutamanya ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata. Gantikannya dengan tayar yang lebih berkualiti dan anda pasti boleh merasai perbezaannya.

Yang kedua adalah ride and handling. Bagi penulis, jurutera MG nampaknya berjaya mencapai keseimbangan antara keselesaan dan prestasi.

Ketika melalui Lebuhraya Desaru yang agak berombak dan kurang rata, penulis mendapati sistem suspensi kereta ini berupaya meminimumkan hentakan atau lantunan dengan baik. Kawalan badannya juga amat memuaskan ketika kereta dipandu pada kelajuan tinggi – tidak ada sebarang ketidakstabilan yang boleh membuatkan pemandu rasa kurang yakin.

Di selekoh, penulis boleh merasakan sedikit olengan badan tetapi ia masih pada tahap yang boleh diterima. Sekali lagi, MG5 nampaknya cukup sesuai untuk mereka yang suka memandu secara santai.

Yang terakhir adalah kadar kecekapan bahan apinya. Boleh dikatakan 70% daripada perjalanan pergi dan pulang dipandu pada kelajuan melebihi 110 km/j, namun enjin NA 1.5-liter empat silinder itu masih mampu memberikan bacaan sekitar 7.5 l/100 km. Penulis dan dua rakan media lain tiba di Kuala Lumpur dengan jarak berbaki hampir 200 km.

Konklusi

Seperti yang penulis katakan, MG5 ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar diberi pertimbangan bagi mereka yang sedang mencari sedan segmen B dengan harga berpatutan. Namun harus diakui bahawa persaingan dalam segmen ini sangat sengit dan berdasarkan pemerhatian penulis, isu berkaitan penarafan ANCAP membuatkan keadaan lebih sukar untuk MG5.