Tiga benda kami kurang gemar tentang MG5 – Pandu Uji

Baru-baru ini, penulis berkesempatan memandu uji sedan segmen B yang menjadi topik bualan hangat netizen sejak beberapa bulan lalu iaitu MG5.

Sejujurnya, penulis tidak mempunyai harapan yang tinggi terhadap MG5, apatah lagi apabila ia diselubungi isu keselamatan yang boleh dikatakan agak serius.

Tetapi setelah memandunya sejauh kira-kira 800 km dari Kuala Lumpur ke Desaru dan balik, penulis mendapati kereta ini ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar dipertimbangkan sekiranya anda ingin sedang mencari sedan segmen B.

Walau bagaimanapun, semasa sesi pandu uji tersebut, penulis juga menemui tiga perkara yang kurang enak mengenai kereta ini:

Lampu belakang

Secara peribadinya, penulis cukup menggemari rekaan bahagian depan MG5 yang kelihatan tidak ubah seperti Maserati Quattroporte atau Ghibli. Rekaan bumbung ala coupe pula memberikan sedan ini profil sisi yang menarik cuma rim aloi ‘Tomahawk’ berukuran 17 inci nampak agak kecil untuk kereta dengan saiznya.

Dari belakang, pinggul yang lebar (boleh dilihat dari cermin sisi) pula membuatkan MG5 nampak tegap dan stabil di atas jalan raya.

Bagaimanapun, penulis kurang berkenan dengan rekaan lampu belakangnya yang jelas ditiru dari Peugeot. Ia tidaklah hodoh cuma entah mengapa lampu belakang ini sedikit sebanyak mencacatkan penampilan kereta ini.

Ergonomik dan keterlihatan

Di dalam, butang dan skrin sentuh bukan sahaja diletakkan pada posisi yang mudah untuk dicapai, malah dihalakan ke arah pemandu. Namun oleh kerana stereng tidak mempunyai pelarasan teleskopik dan ketinggian kerusi juga tidak boleh diubah, penulis memerlukan masa untuk mencari posisi pemanduan paling ergonomik sebelum memandu.

Bukan itu sahaja, penulis juga mengalami sedikit kesukaran untuk melihat keadaan trafik menerusi cermin pandang belakang kerana bumbung coupenya membuatkan cermin belakang kereta ini agak kecil. Ini diburukkan lagi dengan tiga perehat kepala kerusi belakang yang agak tinggi.

Sistem pendingin hawa

Untuk sebuah kereta berharga RM87,000 (selepas diskaun), penulis berpendapat yang kelengkapan yang disertakan pada MG5 agak berbaloi dan mampu memenuhi keperluan pelanggan.

Cuma, penulis kurang gemar yang kelajuan kipas pendingin hawa hanya boleh dilaraskan menerusi skrin sentuh. Bukan itu sahaja, hanya ada satu corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang mempunyai seorang anak sahaja tetapi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga, perebutan mungkin berlaku.