Toyota Vios, masih lagi berbaloi dibeli tahun 2025? – Pandu Uji

TOYOTA VIOS 2025 EXT (1)

Pembeli di Malaysia yang mahukan sedan segmen B sangat bertuah, kerana kita dihidangkan dengan beberapa model menarik seperti Honda City, MG5, Nissan Almera, Proton Persona serta tidak ketinggalan Toyota Vios.

Ia merupakan satu segmen yang cukup tepat dan sesuai untuk mereka yang mahu menaik taraf kenderaan harian yang lebih besar setelah puas menggunakan hatchback bajet yang kecil.

Ada kabin yang selesa untuk seisi keluarga, ruang kargo yang cukup besar, serta bermacam-macam teknologi moden, seiring dengan perkembangan semasa.

Paling penting, kos cukai jalan saban tahun yang masih lagi berada di dalam julat kemampuan setiap pembeli.

Sedan Toyota Vios telah pun dilancarkan secara rasmi pada tahun 2023, tapi pada ketika itu mungkin ramai yang masih belum dapat menerima reka bentuk yang agak agresif itu.

Namun, Vios ternyata kian mendapat tempat di hati netizen, di mana untuk tahun 2024 ia menjadi salah satu daripada 10 model paling popular di Malaysia, hanya beza 1,900 unit sahaja di belakang Honda City.

Setelah dua tahun berlalu, adakah Vios masih lagi berbaloi untuk dimiliki untuk tahun 2025? Kalau anda tanya kami, jawapannya: Ya!

Ada lima perkara yang buatkan kami rasa Vios sesuai dipertimbangkan oleh anak muda.

 

1. Penampilan luar nampak lebih mahal

Jika dulu-dulu, Vios mempunyai penampilan sedan yang biasa-biasa sahaja. Malah ada satu generasi Vios itu dikaitkan dengan haiwan dugong, disebabkan rekaannya yang agak bulat.

Namun, Vios generasi baharu ini tampil lebih garang dan mengingatkan kita kepada sedan Toyota yang lebih besar seperti Corolla dan juga Camry.

Perasan tak, muka depan Vios ini terlebih awal membawakan pendekatan elemen rekaan ala ikan yu kepala tukul, sebelum Toyota mempopularkannya menerusi model Prius dan Crown?

Reka bentuk sedan fastback, rim 17 inci, diffuser, elemen aerodinamik serta padanan kit badan juga sedikit sebanyak menyumbang kepada rupa paras agresif sedan ini

Lebih penting, Vios tidak perlu lagi rasa rendah diri kerana ia kini boleh boleh duduk sebaris dengan dua sedan yang kami senaraikan itu tadi.

 

2. Lebih seronok dipandu

Vios bukan sekadar membawakan kulit luar baharu, ia kini menggunakan asas daripada platform serba baharu menerusi kerjasama dengan Daihatsu.

Platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA-B) yang dikongsi bersama model Perodua Alza/Toyota Veloz itu ternyata membawakan manfaat yang besar dari segi pengendalian dan keselesaan.

Pendek kata, Vios sekarang dah lebih sedap dipandu berbanding Vios terdahulu!

Penulis mencuba sendiri gandingan talaan stereng, suspensi, dan casis yang harmoni itu semasa pulang ke kampung halaman baru-baru ini.

Dinamik pemanduan yang lebih baik ini disumbangkan oleh respons stereng yang lebih tepat, serta menawarkan lebih banyak maklum balas dalam apa jua keadaan.

Amat mudah untuk menjangkakan pergerakan badan sedan ini terutama apabila dipandu sedikit agresif, ditambah pula dengan talaan suspensi yang agak bagus untuk memastikan kereta ini stabil di laluan berselekoh.

Ada kalanya, penulis rasa terlalu seronok meratah setiap selekoh yang wujud sebelum diingatkan semula oleh amaran bunyi sistem pengelakan keluar lorong (LDW) yang ada pada Vios.

Bagaimana pula dengan prestasi enjin?

Seperti yang anda maklum, Vios menggunakan enjin 1.5 liter berkuasa 104 hp dan 138 Nm – atas kertas nampak kurang berkuasa berbanding model pesaing.

Ya, kami akui masih wujud bunyi bising enjin yang masuk ke dalam ruang kabin apabila nadi tersebut dikerah, tapi ia hanyalah bersifat sekali sekala. Tapi kalau kaki kanan berat, itu cerita lain.

Kebanyakan masa, Vios tidak mempunyai masalah untuk mencapai kelajuan yang diinginkan, bahkan untuk naik ke kawasan pergunungan juga bukanlah satu masalah besar.

Ini kerana Vios sebenarnya telah ditala untuk penggunaan bahan api yang lebih ekonomi, di mana Toyota mendakwa ia mampu mencapai kadar penggunaan bahan api 5.2 liter/100 km.

Satu perkara yang berjaya meletakkan Vios satu tangga lebih baik berbanding sebuah pesaing jenama tempatan.

Pengalaman penulis pulang ke kampung halaman yang terletak di titik tengah Semenanjung tempoh hari nampaknya tidak memerlukan pengisian bahan api yang kerap.

 

3. Keselesaan nombor satu

Selain faktor pemanduan, apa yang membuatkan Vios rasa lebih mahal ialah persekitaran ruang kabin yang cukup senyap sepanjang perjalanan.

Talaan suspensi standard yang diberikan pada Vios bukan sahaja membuatkan ia sedap dipandu, akan tetapi cara ia beroperasi untuk memastikan segala kekasaran dan gegaran hasil sentuhan tayar dan permukaan jalan berada pada tahap yang minimum.

Hasilnya, ruang kabin yang selesa dan senyap, bahkan bunyi bising angin juga sukar untuk didengari pada kelajuan lebuh raya yang normal.

Satu kekurangan ketara Vios ialah tempat duduk larasan manual, baik untuk pemandu dan juga penumpang hadapan.

Cuma bagi kami, kelemahan ini boleh dimaafkan kerana dimensi kusyen yang sangat menyokong postur tubuh badan penumpang, terutama pada bahagian bawah peha.

Untuk mereka yang gemar melakukan perjalanan jauh, ia merupakan satu ciri yang sangat penting untuk memastikan keselesaan sepanjang pemanduan, jadi badan tidaklah rasa terlalu penat.

Rekaan ruang kabin Vios juga merupakan satu anjakan besar yang dibawakan oleh Toyota untuk membezakannya dengan Vios lama.

Penggunaan bahan dan kemasan warna yang nampak lebih mahal, serta susun atur papan pemuka yang lebih ringkas juga berjaya membuatkan Vios nampak lebih premium, walaupun pada hakikatnya ia banyak berkongsi komponen dengan model Daihatsu.

Seperkara yang penulis perasan, walaupun terdapat jurang panel (panel gap) pada papan pemuka, sukar untuk kami mengesan gegaran yang wujud tatkala sedan ini melepasi laluan yang tidak rata, menunjukkan kualiti pemasangan yang cukup baik dari kilang.

Cuma penulis berharap tombol kawalan pendingin hawa itu boleh dipertingkatkan penampilannya supaya lebih selari dengan imej premium papan pemuka yang cuba dibawakan.

Kualiti angin sejuk yang dihasilkan Vios ini bukanlah satu benda main-main, sememangnya sangat efektif untuk memastikan kabin kekal selesa melihatkan keadaan suhu Malaysia yang panas terik di siang hari.

 

4. Ciri moden pada Vios

Selari dengan perkembangan semasa, Vios juga tidak boleh lari daripada menampilkan beberapa ciri yang lebih canggih berbanding model pesaing.

Salah satu daripadanya ialah skrin kluster digital dengan beberapa pilihan paparan grafik yang boleh diubah. Kalau tak suka dengan paparan analog, boleh pilih paparan meter sekaan GR Corolla.

Vios juga ada dilengkapi dengan sistem kamera 360 darjah untuk menjadikannya lebih rasa mahal berbanding model pesaing.

Imej paparan yang terhasil juga cukup jelas, sangat membantu para pemilik untuk memastikan tubuh badan Vios yang cantik ini tidak dicalarkan oleh sebarang bendasing, terutama di kawasan sempit.

Akhir sekali, Vios dilengkapi dengan sistem brek parkir elektronik (EPB), lengkap dengan fungsi Auto Hold. Fungsi yang sangat membantu terutama ketika terperangkap dalam kesesakan trafik.

Ciri keselamatan Vios juga bukan calang-calang, ia ada sistem pra-pelanggaran (PCS) yang sangat efektif mengelakkan pelanggaran yang tidak disengajakan, kawalan jelajah adaptif (ACC), serta amaran pergerakan hadapan (FDA) untuk mengejutkan pemandu yang terleka di persimpangan lampu isyarat.

Ciri amaran keluar lorong (LDW) juga berfungsi dengan baik, di mana penulis amat suka dengan notifikasi seakan bunyi amaran yang juruterbang biasa dengar di kokpit kapal terbang.

Tidak ketinggalan, sistem pemantauan titik buta (BSM) serta amaran lintasan trafik belakang (RCTA) untuk memastikan pemanduan seharian kekal selamat sepanjang masa.

 

5. Kelemahan yang boleh dimaafkan

Seperti yang anda tahu, Vios juga mempunyai beberapa kelemahan, seperti ketiadaan tayar simpanan dan tempat duduk belakang yang tidak boleh dilipat.

Menurut Toyota, kebanyakan pengguna tidak menggunakan kedua-dua fungsi tersebut, jadi ia tidak ditawarkan pada Vios baharu.

Ketiadaan tayar simpanan membolehkan ruang simpanan tersembunyi yang lebih besar tersedia pada bahagian belakang.

Bagaimana pula dengan hal tempat duduk belakang itu tadi?

Dua tahun lepas, Ketua Jurutera Pembangunan Vios, Kamino Hideyuki mendedahkan ketiadaan mekanisme lipatan tempat duduk belakang telah digantikan dengan palang pendakap untuk menjadikan casis Vios baharu ini lebih tegar.

Secara keseluruhan, Vios ini lebih ringan 110 kg berbanding model terdahulu. Bak kata orang puteh: Weight reduction bro!

Bagi kami, dua kelemahan ini masih boleh dimaafkan, kerana manfaat pemanduan dan pengendalian yang jauh lebih baik wujud pada Vios ini berbanding model terdahulu.

Secara kesimpulannya, Toyota Vios merupakan sebuah sedan segmen B yang masih lagi berbaloi untuk dipertimbangkan dan dimiliki bagi tahun 2025, jika anda mempunyai bajet sekitar RM100 ribu dan mahu menaik taraf kepada kenderaan yang lebih besar dan praktikal.

Lebih penting, Vios kini sebuah kereta yang lebih seronok untuk dipandu!

 

Spesifikasi Toyota Vios

Enjin: empat silinder sebaris, 2NR-VE, 1.5 liter aspirasi semula jadi
Kuasa: 104 hp @ 6,000 rpm
Daya kilas: 138 Nm @ 4,200 rpm
Transmisi: D-CVT tujuh-kelajuan
Suspensi: Topang MacPherson/torsion beam
Harga: RM96,600

View Comments (136)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved