Gaya hidup baharu dengan Mini Electric 2021

ADAKAH anda peminat kenderaan jenis kompak?
Adakah anda juga seorang pencinta alam sekitar?
Jika “ya”, anda perlu mempertimbangkan untuk memiliki model Mini Electric 2021 yang baru dipasarkan di pasaran negara ini.
Mini Electric baharu memiliki rekaan lebih ‘segar’ namun, masih mengekalkan identiti kenderaan keluaran Mini.
Berdasarkan rekaan luaran, Mini Electric didatangkan dengan bampar hadapan baharu selain memiliki ciri aerodinamik.
Pada masa sama, terdapat palang keselamatan terletak di bampar hadapan dengan rona sama seperti ‘tubuh’ kenderaan ini.

Apa lagi rekaan menarik?
Mini Electric baharu menampilkan ketutup sisi moden merangkumi indikator diod pemancar cahaya (LED) serta sisipan khas ‘Electric’.
Pintu but belakang yang sebelum ini berwarna Vigorous Grey juga digantikan dengan warna hitam.
Bagaimanapun, Mini Elektrik baharu masih didatangkan dengan set roda 17 inci dalam dwi-tona Mini Electric Power Spoke serta tayar ‘run flat’.
Selain itu, Mini Electric dikuasakan oleh versi motor elektrik segerak berkuasa tinggi dibangunkan oleh BMW Group.
Enjin elektrik gandar hadapan mampu menjana 135 kw/184 kk, termasuk unit bateri 12 modul berbentuk T dengan kapasiti bersih berjumlah 28.9 kWj.
Setakat ini, Mini Elektrik dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi mencecah 150 km/j dan mempunyai jarak operasi sejauh 232 km (WLTP).

Sistem pengecasan Mini Electric 2021
Tidak dinafikan ramai menitikberatkan mengenai sistem pengecasan sesebuah kenderaan elektrik.
Jangan risau kerana Mini Electric mempunyai sistem pengecasan yang super mantap!
Percaya atau tidak, Mini Electric baharu hanya memerlukan sekitar 36 minit pengecasan bateri dari kapasiti sifar sehingga 80 peratus!
Sementara itu, Mini Wallbox Plus pula menawarkan pengecasan 80 peratus dalam tempoh dua jam setengah iaitu sama seperti di stesen pengecasan AC awam!

Ciri-cri menarik Mini Electric baharu
Terdapat beberapa ciri baharu lain bagi model Mini Electric baharu.
Antara ciri-ciri tersebut termasuk:
- Lohong udara dalam dan luar yang diintegrasikan dengan fasia kokpit
- pencahayaan ambien baharu dalam bentuk lembaran lampu yang menyoroti geometri ruang interior
- Mini Controller dalam kemasan berwarna hitam
- Rekaan panel hitam dicerminkan pada Mini Navigation System 8.8 inci
- Papar Pandu Mini (Mini Head Up Display)
- Sistem Bunyi 360 watt dengan 12 pembesar suara oleh Harman Kardon
- Green Driving Assistant (GDA)
- Bantuan Memandu (Driving Assistant)
- Bantuan Parkir (Park Assistant)
- Kawalan Jarak Parkir (Park Distance Control) hadapan dan belakang
- Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan
- Amaran Pengeluaran Laluan (Lane Departure Warning)
Ketika ini, Mini Electric baharu hadir dengan waranti tanpa had perbatuan selama empat tahun.
Ia juga mempunyai waranti bateri selama lapan tahun atau jarak 100,000 kilometer dengan servis berjadual secara percuma.
Harga jualan Mini Electric baharu dengan Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) adalah RM 217,470.73.
Wartawan yang masih menabung demi sebuah Aventador