Pandu Uji Lexus LBX 2024 Kali Pertama – Lima Perkara Yang Perlu Anda Tahu

Ini mungkin sekali kereta Lexus yang paling kecil pernah ditawarkan dan paling murah untuk sebuah kereta Lexus baharu yang wujud di pasaran.

Biarpun dengan ciri yang biasanya dikaitkan dengan kereta marhaen, namun Lexus LBX 2024 ini tetap menawarkan identiti yang tersendiri bagi menjadikannya sebahagian daripada keluarga kenderaan mewah Jepun yang ternama.

 

 

Baru-baru ini kami telah diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman pertama memandu LBX merentas sempadan negeri Selangor-Pahang.

Walaupun jarak yang diberikan itu agak singkat, namun laluan yang telah ditetapkan itu merangkumi resepi yang diperlukan untuk kami menilai tahap pemanduan Lexus LBX atas jalan raya yang sebenar, bukan sekadar pusing-pusing mengelilingi pusat pameran semata-mata.

Berikut merupakan lima penemuan kami:

 

1. Platform Toyota, tapi dengan rekaan luaran identikal Lexus

 

Ini merupakan model Lexus pertama yang menggunapakai platform TNGA-B, menjadikan Lexus LBX model ‘kembar tidak seiras’ kepada model crossover Toyota Yaris Cross pasaran Eropah.

Dimensi ukuran LBX tidak jauh beza dengan ukuran Yaris Cross, namun LBX nampak lebih gagah duduk di atas jalan raya dengan struktur bahu yang lebih menonjol, diikuti dengan jeriji spindle tanpa rangka yang aerodinamik itu.

 

 

 

Malah, penampilan LBX lebih elegan dan ringkas di mana plastik pelindung gerbang roda lebih berbentuk bulat berbanding rekaan bersegi pada Yaris Cross.

Untuk rekaan belakang pula, LBX membawakan struktur lampu yang lebih ringkas yang dihubungkan dengan bar LED melintang. Logo L Lexus telah digantikan dengan perkataan L E X U S.

Bentuk cermin sisi LBX ini sebenarnya mengingatkan penulis pada sebuah lagi model Lexus yang lebih mahal dan berkongsi format nama tiga huruf, iaitu Lexus LFA.

 

2. Enjin hibrid tetapan tiga silinder sebaris

 

Secara standard, Lexus LBX hanya dilengkapi dengan enjin tiga silinder sebaris (kod M15A-FXS) yang dipadankan dengan sistem hibrid.

Enjin itu sahaja berupaya menjana kuasa 90 hp dan 120 Nm, sementara motor elektrik menyumbang 93 hp dan 185 Nm, dengan output keseluruhan dicatatkan sekitar 136 hp.

Mesti ramai yang skeptikal dengan enjin tiga dapur bukan? Geng Proton X50 mungkin dah lama buang perasaan tersebut jauh-jauh. Tak percaya, tengoklah model apa yang paling kerap kuasai laluan kanan lebuh raya pada ketika ini selain daripada model berkuasa rendah Perodua.

 

 

Walaupun dengan hanya enjin tiga silinder sebaris, tetapi bagi kami yang sudah merasai sendiri pemanduan LBX tempoh hari, boleh dikatakan respons yang diberikan sangat memuaskan hati.

Anda boleh menikmati pecutan yang menyeronokkan saat kereta beredar dari plaza tol atau lampu merah bertukar hijau di persimpangan lampu isyarat.

Kuasa yang dihamburkan itu sentiasa ada bila diperlukan pada kelajuan rendah, dibantu dengan kecekapan transmisi eCVT lapan kelajuan yang memastikan roda hadapan bergerak mengikut arahan pemandu.

Sama seperti mana-mana model hibrid Toyota (dan Lexus), Lexus LBX turut mempunyai mod EV bagi membolehkan crossover ini bergerak tanpa setitik minyak pada kelajuan yang rendah.

 

3. Tetapan suspensi ringkas, tapi sesuai dengan jalan raya Malaysia

 

Secara standard, Lexus LBX dipasangkan dengan topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan torsion beam di bahagian belakang.

Nampak ringkas, dan sama saja macam model crossover segmen B yang ada di pasaran.

Namun, talaan yang diberikan pada sistem gantungan LBX ini menjadikannya seronok untuk dibelasah di laluan yang berliku, seperti contoh ‘litar kelajuan tinggi kegemaran ramai’ Lebuhraya KL-Karak.

 

 

Sepanjang pemanduan, SUV kecil ini rasa stabil dan melekat di setiap selekoh, dengan olengan badan yang terhasil apabila ia dipaksa secara agresif.

Untuk pemanduan yang biasa-biasa, olengan badan yang terhasil agak minimum, cukup sesuai dan selesa untuk kegunaan mereka yang tidak menggemari pemanduan yang bersemangat.

Paling penting, respons stereng itu sendiri yang sangat patuh pada setiap arahan pemandu, dan ia juga merupakan apa yang penulis harapkan pada sebuah Lexus setelah beberapa kali menguji model yang lebih besar dan mahal sebelum ini – Lexus ES, Lexus RX, dan Lexus NX.

 

 

Nak bercerita lebih, kami perlu pinjam LBX ini sekali lagi untuk ulasan yang lebih menyeluruh. Pendek kata, LBX merupakan salah sebuah Lexus yang seronok dipandu!

Dengan casis, enjin, transmisi, dan sistem gantungan yang mampu berkerja dengan harmoni, penulis rasa tidak sabar pula untuk menguji varian MORIZO RR yang datang dengan resipi  yang lebih istimewa – nadi tiga silinder sebaris GR Yaris dan transmisi manual!

Harapnya pihak Lexus Malaysia dapat mempertimbangkan varian ini kelak.

 

4. Konsep Tazuna yang menyenangkan pemandu

 

Sama seperti mana-mana model Lexus dalam pasaran, Lexus LBX turut mengutamakan konsep Tazuna pada rekaan kokpit pemandu.

Pada bahagian tersebut, Lexus telah meminimumkan kehadiran butang fungsi dan hanya mementingkan butang operasi yang penting sahaja, bertujuan untuk memaksimumkan tumpuan pemandu di atas jalan raya.

Skrin kluster digital 12.3 inci itu menawarkan informasi yang mudah untuk dibaca, samalah juga halnya dengan skrin tengah sebesar 9.8 inci yang turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Saat penulis memegang stereng, ia menawarkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan, seolah-olah ia memang dicipta untuk mereka yang menghargai dan menikmati pemanduan sebuah Lexus.

 

 

Tempat duduk hadapan juga agak selesa dan mampu memegang erat pemandu sepanjang tempoh pemanduan, dibantu dengan fungsi larasan berkuasa elektrik.

Sayang sekali, tempat duduk penumpang hadapan hanya diberikan larasan manual. Tidak menjadi satu masalah, selesa juga bila duduk di sebelah pemandu.

Aspek NVH crossover ini juga sangat baik, di mana boleh dikatakan kurang gegaran, bunyi bising angin dan ‘nyanyian’ tayar yang terhasil menderu masuk ke dalam ruang kabin.

Bohonglah kalau kami katakan bunyi enjin tidak kedengaran, ia masih lagi wujud, cuma runut yang lebih agresif hanya akan terhasil saat pedal pendikit dipijak rapat ke lantai. Itu pun tidaklah sebising yang disangka.

 

5. Lexus LBX, sesuai untuk siapa?

 

Satu perkara yang membuatkan LBX kurang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga ialah tempat duduk belakang yang agak sempit.

Keadaan ini mungkin disumbangkan oleh struktur tempat duduk hadapan itu sendiri yang agak berisi, di mana ruang kaki penumpang belakang yang terhasil itu lebih terhad.

Mungkin sekali sesuai untuk kanak-kanak kecil, atau orang dewasa yang memiliki fizikal remaja belasan tahun.

 

 

Bahagian kargo pula menyediakan ruang sebesar 315 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan keperluan harian.

Jadi, kalau LBX ini tidak sesuai untuk kegunaan keluarga, siapa yang lebih sesuai?

Bagi kami, ia mungkin sekali boleh dipertimbangkan sebagai kereta kedua yang digunakan khusus untuk kegunaan dalam bandar oleh golongan yang tidak mementingkan ruang, atau diberikan kepada anak-anak dan isteri muda yang baru mula belajar memandu.

 

 

Fizikalnya yang kecil, selain mudah untuk dipandu menjadikan Lexus LBX salah sebuah kereta mewah yang patut diberikan peluang.

Di penghujung hari, tidak semua orang mahukan kereta spesifikasi mewah bersaiz besar, bukan?

Untuk pasaran Malaysia, Lexus LBX dijual pada harga bermula dari RM238,888, dan boleh didapati dalam dua varian, iaitu Premium dan Luxury.