Lima Perkara Enak & Kurang Enak Pada Mercedes-Benz GLE 450 CKD – Pandu Uji

Selagi penulis belum dapat merasai sendiri pemanduan di dalam model GLS atau G-wagen, GLE 450 kekal menjadi SUV yang paling besar pernah penulis pandu dalam sejarah hidup.
SUV mewah dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk ini telah pun dikemas kini untuk model tahun 2024 beberapa bulan yang lepas.
Ia menampilkan beberapa perubahan bersifat kosmetik di bahagian luar, diikuti kemaskini pada ruang kabin serta naik taraf kuasa pada unit rangkaian kuasa sedia ada.
Jika anda lihat SUV ini sekali imbas di atas jalan, mungkin agak sukar untuk membezakannya dengan versi terdahulu.
Namun setelah memandu ujinya selama beberapa hari, ada beberapa perkara yang membuatkan penulis rasa GLE 450 CKD ini sukar untuk dipertimbangkan pembeliannya.
1. Unit pencahayaan lebih ringkas dan minimalis
Percaya atau tidak, lampu sebenarnya memainkan peranan penting dalam memastikan penampilan SUV ini lebih elegan di atas jalan raya.
Jika unit GLE terdahulu datang dengan grafik DRL berbentuk boomerang, kali ini GLE 450 datang dengan grafik yang lebih ringkas.
Samalah juga halnya dengan lampu belakang, di mana grafik LED menjadi lebih nipis.
Masih lagi nampak segak dan elegan di atas jalan, namun imejnya mungkin tenggelam jika duduk sebelah dengan GLE 450 yang lama.
2. Rupa masih sama
Jika sebelum ini anda mengharapkan GLE 450 membawakan perubahan yang lebih dramatik, lupakan saja niat itu, kerana GLE 450 tahun 2024 masih mengekalkan imej luaran yang hampir serupa.
Ya, anda boleh lihat bampar hadapan kini tampil lebih agresif, struktur jeriji hadapan juga yang lebih kemas, namun itu sahaja perubahan yang wujud.
Rekaan rim bersaiz 21 inci AMG itu masih lagi sama diguna pakai daripada model terdahulu, malah susun atur papan pemuka juga kekal tidak berubah.
3. Roda stereng kini mesra habuk, cap jari
Antara perkara yang penulis kurang gemar pada GLE 450 selain daripada dua poin yang disebutkan di atas ialah rekaan roda stereng.
Roda stereng GLE 450 kini lebih sporti dan canggih dengan operasi berasaskan sentuhan, namun ia bukanlah poin utama yang cuba diketengahkan.
Penulis cuma berharap agar Mercedes-Benz global dapat mengembalikan semula kemasan yang lebih premium pada roda stereng mana-mana model bagi menggantikan penggunaan plastik hitam.
Ini kerana apa yang penulis perasan plastik hitam tersebut lebih gemar memerangkap habuk dan cap jari, di mana pemilik/pemandu nampaknya perlu kerap mengelap bahagian tersebut dengan kain.
4. Enjin berkuasa, tapi transmisi ‘potong stim’
Mercedes-Benz GLE 450 masih lagi mengekalkan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo, namun dengan peningkatan kuasa kepada 375 hp @ 5,800 rpm dan daya kilas 500 Nm @ 1,800-5,000 rpm.
Ia juga turut mendapat sistem hibrid ringan 48 voltan, menampilkan sistem ISG generasi kedua yang mampu memberikan kuasa ekstra 20 hp dan 200 Nm.
Atas kertas, ia nampak mengujakan, namun ada kalanya transmisi automatik 9GTronic itu sedikit mengecewakan saat lampu merah bertukar hijau.
Bermula dengan gear pertama, ia tidak memberikan masalah untuk menggerakkan anak gajah seberat 2 tan ini, namun pemanduan dirasakan tidak begitu lancar dan sedikit tersengguk apabila sistem kotak gear mahu membuat penukaran gear yang berikutnya (dari gear satu ke gear dua).
5. Harga lebih mahal, walaupun status CKD
Apa yang pasti, Mercedes-Benz GLE 450 CKD ini tidak datang dengan harga yang lebih murah.
Model SUV yang dipasang di Pekan, Pahang ini dijual pada harga bermula dari RM528,888 atas jalan tanpa insurans, atau RM13 ribu lebih mahal berbanding model terdahulu.
Jika anda boleh berkompromi dengan lima perkara di atas, lima perkara berikutnya ini mungkin sekali akan membuatkan anda rasa ini sebuah SUV famili yang patut dipertimbangkan.
1. SUV yang selesa untuk seisi keluarga
GLE 450 membawakan kelebihan yang sukar untuk ditandingi – aspek keselesaan untuk seisi keluarga, terutama bila duduk di baris kedua.
Ini kerana GLE 450 menawarkan fungsi keselesaan yang hampir sama dengan penumpang hadapan, seperti corong pendingin hawa kiri, tengah dan kanan, kawalan iklim berasingan, tempat duduk yang boleh dilaras sudut sandarannya, serta ruang kepala dan kaki yang boleh tahan luasnya!
Bumbung panorama yang cukup besar membolehkan penumpang belakang menikmati pemandangan persekitaran yang cantik apabila pulang ke kampung halaman.
Tidak ketinggalan, terdapat slot pengecasan USB-C disediakan untuk kegunaan mengecas peranti pintar sepanjang perjalanan.
2. Berat, tapi lincah
Harus diingat, Mercedes-Benz GLE 450 sejak azali merupakan sebuah SUV dengan berat melebihi dua tan.
Memang berat, akan tetapi dengan sistem enjin dan pacuan semua roda yang cekap, sepanjang masa anda mungkin terlupa ia sebuah SUV yang berat.
Dengan kuasa enjin 381 hp dan 500 Nm, pecutan 0-100 km/j hanya memakan masa 5.6 saat sahaja, menjadikan ia sebuah SUV yang agak lincah terutama apabila dibelasah di laluan yang berselekoh.
Tayar Continental SportContact6 yang dibekalkan standard dari kilang juga sedikit sebanyak membantu memastikan SUV ini melekat dengan baik di atas pelbagai keadaan permukaan jalan.
Berdasarkan data, penulis berjaya mencapai kadar penggunaan bahan api serendah 9.0 liter/100 km.
3. Suspensi boleh laras tinggi rendah
Secara standard, Mercedes GLE 450 dibekalkan dengan sistem gantungan udara Airmatic yang dibantu dengan sistem peredam adaptif ADS+.
Bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih, sistem ini akan menaikkan atau merendahkan tetapan ketinggian jarak lega bumi, selain memudahkan anda untuk memuat naik barangan di ruang kargo sebesar 630 liter itu.
Sepanjang masa, penulis lebih gemar mengekalkan mod Comfort yang lebih sesuai dengan keadaan jalan raya Malaysia yang tidak sempurna ini, ia cukup selesa dan mampu menyerap segala ketidakrataan jalan tanpa memberikan efek negatif kepada pemandu dan penumpang.
Namun, anda juga boleh menetapkan mod pemanduan tersendiri dengan mengubah tetapan respons enjin, ESP dan suspensi supaya menjadi lebih sporti.
4. Mod pemanduan Off-road
Seperkara yang membuatkan GLE 450 unik ialah kehadiran mod pemanduan baharu Off-road.
Selain dengan tetapan suspensi yang lebih tinggi dan pemanduan yang mementingkan aspek cengkaman yang lebih optimum, ia turut memberikan amaran kepada pengguna supaya tidak menggunakan mod ini di atas jalan raya umum, dengan kelajuan dihadkan kepada 110 km/j sahaja.
Mod Off-road ini turut menyediakan paparan bawah kenderaan supaya pemandu dapat memeriksa kewujudan benda yang mampu menghalang pemanduan di hadapan, tapi terlindung di sebalik badan yang gedabak ini. Kucing contohnya.
5. Dari sudut pandang pemandu
Secara keseluruhannya, pemanduan GLE 450 model tahun 2024 ini tidak banyak membawakan perubahan yang ketara.
Ia menawarkan tempat duduk yang cukup selesa dan mampu memegang erat tubuh pemandu sepanjang perjalanan, dengan respons stereng yang memadai – tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan.
Aspek NVH juga cukup baik untuk sebuah Mercedes-Benz, di mana bunyi bising yang datang dari luar berjaya ditepis dan ditapis dengan berkesan.
Bunyi bising enjin hanya akan kedengaran apabila ia dikerah dengan kasar, namun tidaklah sampai boleh mengganggu pendengaran, samalah juga halnya dengan bunyi bising angin.
Berbanding dengan model-model SUV Mercedes lain yang menggunakan tetapan dua panel iPad yang serupa, penulis paling suka rekaan papan pemuka yang digunakan pada GLE 450, nampak seperti papan pemuka yang lebih konvensional.
GLE 450 juga masih lagi mengekalkan kewujudan butang fungsi fizikal yang diperlukan pada papan pemuka dan konsol tengah, dibantu dengan kehadiran pad sesentuh bagi memudahkan urusan mencari menu di dalam skrin tanpa perlu menekan skrin sentuh.
Untuk tidak memeningkan kepala, Mercedes-Benz Malaysia hanya menawarkan varian tunggal sahaja untuk GLE-Class, jadi anda hanya perlu berfikir dengan lebih panjang sebelum membuat keputusan untuk melabur wang bernilai lebih setengah juta untuk mendapatkan SUV yang selesa untuk kegunaan keluarga.
Spesifikasi ringkas Mercedes-Benz GLE 450 4MATIC 2024 CKD
Enjin: Enam silinder sebaris 3.0 liter turbo
Kuasa: 381 hp, 500 Nm
Elektrifikasi: Sistem hibrid ringan 48V, 20 hp/200 Nm
Transmisi: 9GTronic Automatik
Pacuan: Semua roda 4MATIC
Pecutan: 0-100 km/j 5.6 saat
Kelajuan Tertinggi: 250 km/j
Harga: RM528,888
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.