Lima perkara anda perlu tahu pasal Jetour Dashing – Pandu Uji Ringkas

Tanggal 9 April 2025 menyaksikan sebuah lagi jenama automotif dari Tanah Besar China membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia, iaitu Jetour.
Untuk makluman para pembaca, Jetour merupakan salah satu jenama yang bernaung di bawah kumpulan besar Chery, dengan fokus ditumpukan kepada model crossover dan SUV untuk disasarkan kepada keluarga kecil serta golongan pembeli muda.
Namun begitu, Jetour Malaysia dikendalikan oleh entiti yang berbeza, jadi jenama baharu ini secara tidak langsung turut memberikan cabaran kepada Chery dan juga sub-jenama premiumnya – Jaecoo.
Model pertama yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ialah Jetour Dashing, sebuah SUV segmen C dengan rupa paras yang cukup menarik serta memiliki tanda harga yang agak kompetitif.
Di Malaysia, Dashing, ataupun Dàshèng membawa maksud ‘monkey king‘ ini bakal bersaing dengan SUV segmen C yang terkenal seperti Honda CR-V, Proton X70 dan juga Toyota Corolla Cross.
Dengan harga jualan di bawah julat RM120,000, adakah Jetour Dashing ini mampu menjadi satu alternatif yang lebih baik?
Berikut merupakan ulasan awal kami berdasarkan pemanduan ringkas yang dibuat tempoh hari dari Ara Damansara menuju ke Sekinchan.
Luaran
Tatkala rata-rata model di dalam kategori SUV segmen C di sini mempunyai rekaan yang agak selamat namun membosankan, Jetour Dashing tiba untuk memecahkan tradisi tersebut dengan rekaan yang lebih ranggi dan menonjol.
Atau patutkah kami gelarkannya sebagai rojak?
Ini kerana Dashing menampilkan gabungan imej yang wujud daripada SUV mewah Lamborghini Urus, dengan lampu nyalaan siang DRL seakan mata adiwira Iron Man, profil sisi SUV coupe yang sporti dan belakang pula ada elemen bendera berkotak-kotak (chequered flag).
Pada kami, untuk melengkapkan lagi imej sporti SUV ini, elemen krom pada bahagian sisi boleh digelapkan, selain tidak menjadikan tip ekzos tersembunyi di sebalik diffuser yang garang itu.
Mungkin ada yang berpendapat, Jetour Dashing ada unsur elemen SUV jenama Porsche.
Pandangan anda itu ada benarnya.
Ini kerana reka bentuk Jetour Dashing ini merupakan hasil kerja tangan Hakan Saracoglu, seorang bekas pereka Porsche yang sebelum ini bertanggungjawab hasilkan model-model penting seperti 918 Spyder, Boxster dan Cayman.
Hasilnya, sebuah SUV segmen C dengan rekaan yang cukup mencuri tumpuan di atas jalan raya, dan nyata berbeza jika dibandingkan dengan model-model pesaing yang mempunyai imej SUV keluarga.
Dalaman
Susun atur papan pemuka Jetour Dashing ini merupakan tetapan tipikal yang wujud pada mana-mana SUV buatan China, terutama dari keluarga besar Chery.
Menurut Jetour, Dashing ini menggunakan pendekatan ‘wrap-around‘ yang diadaptasikan daripada reka bentuk rumah tradisional China, diikuti dengan elemen kereta mewah buatan Jerman turut menguasai bahagian tersebut, seperti yang terdapat pada roda stereng dan butang menghidupkan enjin.
Terdapat panel skrin memanjang yang menempatkan paparan kluster digital 10.25 inci dan skrin infohibur sebesar 10.25 inci, dan panel kawalan khusus untuk sistem pendingin hawa yang terletak di bawah corong tengah.
Untuk pemandu dan penumpang baris depan disediakan tempat duduk gaya bucket yang nampak sesuai dengan tema sporti yang cuba dibawakan.
Binaan kerusi depan ini mampu memegang erat badan manusia daripada tergelongsor ke tepi cuma rekaannya mungkin agak sempit terutama untuk mereka yang berjisim besar.
Satu pujian harus diberikan pada Dashing kerana menawarkan tempat duduk baris kedua yang cukup empuk dan selesa, dalam masa yang sama tidak menawarkan sudut sandaran yang terlalu menegak.
Walaupun daripada sudut luaran SUV coupe ini nampak kecil, namun masih ada ruang kepala yang cukup besar, serta struktur lantai rata untuk ruang kaki yang lebih luas.
Ternyata, duduk di belakang rasa lebih selesa dan memuaskan hati (dan perut yang kekenyangan) sewaktu perjalanan pulang ke Ara Damansara, dengan keadaan kabin yang senyap tanpa gangguan bunyi bising daripada luar.
Cuma anda perlu sedikit bersabar untuk menikmati tiupan angin sejuk daripada corong baris kedua yang agak sukar untuk ditetapkan sudut arah tiupan anginnya.
Untuk kemudahan penumpang, terdapat beberapa slot pengecasan jenis USB tersedia serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W yang tersedia pada konsol tengah.
Di dalam kabin Dashing juga anda boleh merasai pengalaman menyimpan payung kecil pada ruang khas yang terdapat pada setiap panel pintu – ibarat macam kereta Rolls-Royce!
Berbalik semula kepada tempat duduk pemandu, kami dapati skrin kluster digital tersebut mudah untuk dibaca, namun dilengkapi dengan respons grafik yang agak perlahan.
Perkara ini anda boleh perasan sewaktu fasa pecutan, di mana ia dipaparkan dengan pergerakan jarum rpm yang tidak lancar, dan tidak selaras dengan ngauman bunyi enjin sewaktu pedal pendikit ditekan.
Selain itu, anda perlu mengakses pilihan mod pemanduan (Eco/Sport) daripada skrin tengah kerana tiada butang fungsi khas disediakan untuk itu.
Pemanduan tidak seagresif rupa
Jetour Dashing dijana dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan daya kilas 230 Nm. Ya, ia merupakan enjin yang sama digunakan pada SUV segmen B Chery Omoda 5.
Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar enam-kelajuan.
Atas kertas memang nampak berkuasa, cuma di dalam dunia yang sebenar sukar untuk kami dapatkan respons yang mengujakan untuk menggerakkan SUV ini dengan lancar daripada pegun.
Malah dalam ujian pecutan Jetour Dashing ini sukar untuk menyaingi kehebatan prestasi yang ditunjukkan oleh SUV segmen B yang kerap menguasai lorong kanan lebuh raya.
Jadi, untuk siapa Jetour Dashing ini?
Bagi kami, Jetour Dashing dengan rupa paras seakan Urus ini lebih sesuai untuk dinikmati oleh mereka yang mahukan pemanduan lebih santai dan tidak terburu-buru untuk mengejar lampu isyarat bertukar merah. Ia tidak perlu dipandu laju pun untuk menarik tumpuan orang ramai.
Aspek pemberhentian juga tidak mengecewakan, cuma dari sudut pengendalian Dashing mungkin sekali akan mengecewakan sesetengah pihak yang mengharapkan pemanduan mengujakan daripada SUV yang nampak sporti ini.
Ini kerana talaan suspensi topang MacPherson dan Multilink pada Dashing ini lebih cenderung untuk membuatkan perjalanan yang lebih selesa sepanjang masa, dengan segala bentuk hentakan dan ketidakrataan jalan berjaya diserap tanpa menyebabkan gegaran ketara.
Senang cerita, ia tidak direka untuk pemanduan yang agresif.
Respons sistem stereng ringan dan mudah untuk dikawal, cuma ia kekurangan maklum balas dan input yang anda cuba dapatkan terutama ketika sedang melayan selekoh.
Apa yang kami suka tentang Jetour Dashing ini ialah tahap kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) yang cukup baik, di mana bunyi bising daripada aliran angin dan ngauman enjin berjaya ditapis dengan baik untuk memastikan ruang kabin kekal senyap sepanjang perjalanan.
Ciri keselamatan boleh ditambah baik
Secara standard, Jetour Dashing dilengkapi dengan empat beg udara, sistem brek anti-kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).
Beralih kepada varian Prime yang kami pandu uji tempoh hari, anda akan mendapat ciri ekstra termasuklah tambahan dua beg udara (kepada enam unit), serta ciri bantuan pemandu (ADAS) yang asas seperti amaran penukaran lorong, sistem pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) serta sistem kamera keliling.
Sayang sekali, varian Prime ini tidak dilengkapi dengan fungsi brek kecemasan autonomi (AEB) secara standard, satu kekurangan ketara untuk model baharu yang dijual pada tahun 2025.
Jetour Dashing: Untuk siapa?
Dalam pasaran yang sudah dibanjiri dengan bermacam-macam model SUV keluarga, kami berpendapat Jetour Dashing ini lebih sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah SUV yang cukup bergaya pada harga yang lebih mampu milik.
Ia bukan sahaja mempunyai reka bentuk yang cukup ranggi, ada ruang kabin yang selesa untuk seisi keluarga, praktikal dan sarat dengan ciri-ciri yang moden.
Yang paling penting, dengan harga jualan RM116,800, anda mungkin akan berfikir dua tiga kali jika sebelum ini pernah terfikir untuk mendapatkan model pesaing yang lebih mahal harganya.
Spesifikasi Jetour Dashing 2025
Enjin: Empat silinder sebaris 1.5 liter turbo
Kuasa: 154 hp, 230 Nm
Transmisi: Klac berkembar enam-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson, tetapan Multilink belakang
Ruang kargo: 486 liter, atau sehingga 977 liter
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.