GWM Tank 500 HEV Ultra, pencabar baharu segmen SUV off-road sudah tiba – Pandu Uji Ringkas


Siapa sangka, segmen off-road yang sebelum ini dikuasai oleh jenama Jepun kini sudah mula ditembusi oleh model terbaharu daripada pengeluar China.
Namun, tidak seperti kelaziman SUV off-road yang hadir dengan bantuan enjin diesel, pengeluar dari Tanah Besar menumpukan perhatian kepada enjin hibrid serta plug-in hybrid.
Kelebihannya? Enjin bersesaran kecil yang menyumbang kepada kos cukai jalan yang lebih rendah, dan keupayaan yang jauh lebih berkuasa dan bertenaga untuk kegunaan di laluan yang sukar.
Salah satu pengeluar yang tampil dengan penyelesaian off-road moden ialah GWM, menerusi produk SUV saiz penuh Tank 500 HEV.
Jadinya, jika anda sudah mula bosan dengan model buatan Jepun, tidak salah untuk cuba sendiri SUV off-road Tank 500 yang sudah rasmi berada di Malaysia.
Baru-baru ini kami dijemput sendiri oleh GWM Malaysia untuk memandu SUV hibrid mewah ini dari Bandar Elmina menuju ke Pulau Pinang, dan ini merupakan pendapat awal kami berkenaan Tank 500 HEV:
Dimensi yang gagah perkasa
Atas jalan, Tank 500 HEV nampak macam sekumpulan delegasi luar negara yang sedang melawat Malaysia, terutama apabila ia dipandu dalam kelompok konvoi.
Tidak seperti Tank 300 yang nampak seperti SUV retro, Tank 500 pula membawakan imej SUV yang lebih moden dan bersih dengan rekaan badan tanpa garis bercelaru.
Jika dibandingkan dengan pesaingnya (apa lagi kalau bukan Land Cruiser), Tank 500 memiliki dimensi yang sedikit kecil.
Namun Tank 500 mempunyai ukuran panjang melebihi lima meter, terima kasih kepada ruang simpanan tayar saiz penuh di bahagian belakang.
Bukaan pintu belakang juga tidak seperti tipikal SUV yang ada di pasaran, ia mempunyai engsel di bahagian sisi lengkap dengan fungsi tutup lembut.
Penulis tiada masalah untuk membiasakan diri dengan rupa paras SUV ini, cuma lebih enak di pandangan mata jika kebanyakan elemen krom itu dikusamkan.
Ruang kabin ada elemen olskool
Penulis tidak begitu menggemari susun atur papan pemuka yang mementingkan segala fungsi disumbatkan ke dalam skrin paparan.
Jadi, bila masuk ke dalam kabin Tank 500, penulis mampu melepaskan nafas lega kerana kebanyakan fungsi masih boleh dioperasikan dengan hanya menekan butang fizikal.
Selain butang kawalan sistem pendingin hawa, terdapat juga butang fungsi penting yang diletakkan pada konsol tengah, lengkap dengan tombol gear saiz besar.
Di depan pemandu disediakan skrin paparan sebesar 12.3 inci dan skrin paparan head-up, manakala skrin tengah pula sebesar 14.6 inci lengkap dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.
Tempat duduk hadapan balutan kulit Nappa disediakan bermacam fungsi keselesaan (ventilasi, urut, larasan elektronik).
Untuk peneman sepanjang perjalanan, Tank 500 dipadankan dengan sistem audio Infinity dengan 12 pembesar suara untuk alunan muzik yang kena dengan jiwa.
Untuk keluar dari kabin dengan selesa, terdapat tempat pemijak sisi yang akan muncul secara automatik saat pintu dibuka.
Keselesaan penumpang dibantu dengan sistem pendingin hawa automatik tiga-zon. Penumpang belakang diberikan panel kawalan berasingan, serta empat corong udara untuk memastikan udara sejuk sampai ke tempat sepatutnya.
Perkara yang paling digemari penulis? Jam analog di bawah skrin infohibur itu tadi. Satu sentuhan kecil yang boleh buatkan suasana dalam kabin rasa macam kereta yang lebih mahal.
Kemasan kayu pada beberapa sudut turut menyumbang kepada pengalaman yang lebih mewah untuk sebuah SUV berharga bawah RM400 ribu.
Pengalaman duduk sebagai penumpang
Satu perkara yang membuatkan perjalanan yang lebih selesa dalam Tank 500 ini ialah tahap NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) yang cukup baik untuk sebuah SUV binaan ladder-frame.
Pada kelajuan meluncur yang sederhana tinggi, kami dapat rasakan suasana dalam kabin agak senyap.
Bunyi bising angin luar sukar untuk menerjah masuk, dan kurang bunyi bising yang datang dari arah gerbang tayar.
Sebagai penumpang, penulis mendapati Tank 500 menawarkan ruang kepala dan kaki yang cukup luas tanpa membuatkan rasa terkepit.
Bagaimana dengan tempat duduk baris ketiga? Penulis berpendapat ia lebih sesuai jika anda membawa kanak-kanak, atau lipat sahaja untuk ruang kargo 795 liter, atau sehingga 1,498 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat sekali.
Pemanduan lancar dan bertenaga, cuma…
Saat penulis memegang stereng, terdapat beberapa perkara yang berjaya memadamkan tanggapan awal.
Satu: Tank 500 HEV memang cukup stabil dan selesa walaupun dipandu pada kelajuan melebihi had kebangsaan di lebuh raya.
Dua: Kawalan badan yang mudah untuk dijangka, walaupun tidak dilengkapi dengan suspensi yang canggih.
Tiga: SUV ini memang berat, tapi ia tidaklah malas untuk bergerak.
Secara standard, Tank 500 dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo hibrid (HEV).
Atas kertas, Tank 500 menghasilkan 346 PS dan daya kilas 648 Nm, di mana kuasa itu disalurkan kepada sitem pacuan empat roda (4WD) menerusi transmisi automatik hibrid sembilan-kelajuan (9HAT).
Namun, ada satu perkara yang harus anda tahu.
Tidak seperti sistem HEV pada Haval H6 yang direka untuk penjimatan, sistem hibrid pada Tank 500 ini lebih bertindak sebagai penambah kuasa untuk memastikan badan seberat 2.5 tan ini bergerak dengan lancar.
Tiada masalah untuk bergerak dari pegun, namun Tank 500 dirasakan tidak cukup bertenaga bila penulis mahukan tujahan ekstra untuk memotong kenderaan berat di hadapan.
Anehnya, tujahan ekstra tersebut hadir pada masa yang salah – ketika SUV sedang meluncur dengan tenang pada kelajuan melebihi had laju kebangsaan.
Bukan penulis seorang sahaja yang perasan, perkara itu turut dikongsikan oleh beberapa rakan media yang lain.
Ia bukanlah satu masalah, cuma penulis lebih gemar jika bantuan kuasa tambahan tersebut hadir pada masa yang tepat.
Secara purata, dengan pola pemanduan yang bercampur-campur di atas lebuh raya kami berjaya mencatatkan kadar penggunaan bahan api sekitar 11.5 liter untuk setiap 100 km.
Dari segi aspek kawalan pula, ada beberapa perkara yang boleh ditambah baik.
Satu daripadanya ialah respons stereng, dan yang kedua ialah sistem brek yang kosong di mana ada kalanya sukar untuk penulis tentukan titik gigit brek yang diperlukan.
Tank 500 HEV secara standard hadir dengan tetapan suspensi double wishbone di depan dan tetapan multi-link di belakang tanpa sebarang larasan elektronik yang lebih canggih.
Biarpun dengan tetapan konvensional, sistem suspensi tersebut telah ditala dengan baik untuk keselesaan dan keyakinan di atas pelbagai jenis permukaan jalan.
Cuma ada ketikanya karakteristik SUV ladder-frame masih lagi dapat dirasakan terutama ketika kelajuan rendah. Ia sesuatu yang sukar utuk dielak, terutama untuk SUV dengan binaan badan sebegini.
SUV hibrid sedia untuk pemanduan off-road
Biarpun dengan pelbagai ciri mewah, GWM masih tidak lokek untuk melengkapkan SUV ini dengan bermacam ciri dan fungsi yang sangat berguna untuk laluan off-road.
Antaranya ialah kotak gear low-range, tiga kekunci pembeza (diff-lock) di bahagian depan, tengah dan belakang, fungsi tank-turn dan juga kawalan jelajah off-road.
Ia juga mampu meredah air sedalam 800 mm. Mungkin satu hari nanti kami akan kongsikan pengalaman pemanduan off-road di dalam Tank 500.
Ciri keselamatan
Selain itu, Tank 500 juga hadir dengan pelbagai ciri keselamatan termaju, seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik, sistem pemantauan titik buta, serta sistem parkir automatik.
Selain itu, terdapat enam beg udara serta dua cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak disediakan.
Ciri yang paling berguna untuk SUV saiz besar ini sudah pasti sistem kamera keliling 360 darjah yang lengkap dengan fungsi pandang telus bonet.
Kesimpulan
GWM Tank 500 boleh jadi satu alternatif untuk mereka yang mahu tampil berbeza daripada pilihan yang wujud di pasaran.
Berdasarkan pemanduan ringkas sepanjang tempoh dua hari sukar untuk kami meneroka potensi SUV ini dengan lebih mendalam.
Namun yang pasti, dengan spesifikasi serta jaminan menyeluruh daripada pengeluar, serta harga jualan bawah RM350 ribu, GWM Tank 500 mampu menawarkan pengalaman yang tidak anda jangkakan daripada pengeluar China sebelum ini.
Ia bukan produk cap ayam yang boleh anda perlekehkan. Ia sebuah GWM Tank 500.
Spesifikasi GWM Tank 500 HEV (RM328,000 OTR)
Enjin: empat silinder sebaris, 2.0 liter turbo (244 PS/380 Nm)
Motor elektrik: 106 PS/268 Nm
Kuasa keseluruhan: 346 PS/648 Nm
Transmisi: Automatik sembilan-kelajuan
Sistem pacuan: empat roda
Pek bateri: Lithium-ion, 1.67 kWh
Dimensi: 5,078 mm x 1,934 mm x 1,905 mm
Jarak antara roda: 2,850 mm
Jarak kelegaan tanah: 224 mm
Suspensi: Double-wishbone depan/multi-link belakang

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.