Volvo EX30 punya potensi luar jangkaan – Pandu Uji


Penulis pernah berkesempatan memandu uji beberapa buah model Volvo bersaiz kecil sebelum ini, iaitu Volvo V40 serta crossover Volvo XC40 dan C40.
Kali ini, tiba giliran model produksi yang paling kecil pernah dihasilkan oleh pengeluar Scandinavia itu, iaitu Volvo EX30.
Dan ia hadir dalam bentuk crossover berkuasa elektrik, tiada pilihan model enjin pembakaran dalaman.
Biarpun hanya wujud dalam versi EV, EX30 bukanlah satu model yang boleh dipandang rendah.
Ia mempunyai pakej yang mampu memenuhi keperluan setiap pengguna – ada gaya, ruang praktikal, dan prestasi yang mampu mengalahkan SUV saiz besar, terutama sekali apabila anda memilih varian Ultra Twin Performance seperti yang kami pandu uji kali ini.
Berikut merupakan catatan pengalaman kami setelah beberapa hari menikmati pemanduan EX30 yang berharga RM228,888 ini.
Rupa luaran
Ya, dari segi rekaan, sukar untuk anda nafikan ia bukan sebuah SUV Volvo.
Lihat saja pada unit lampu utama dengan grafik LED berbentuk tukul Thor, bahagian hadapan tanpa jeriji yang memaparkan logo minimalis Volvo, serta lampu belakang – kesemuanya mirip kepada Volvo EX90.
Saiznya memang agak kompak, dengan ukuran sepanjang 4,223 mm, lebar 1,837 mm, tinggi 1,555 dan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm, lebih kecil berbanding kembar XC40 dan C40.
Kecil bukanlah bermaksud EX30 ini kurang praktikal, perinciannya anda boleh baca pada poin seterusnya.
Praktikaliti
Volvo nampaknya bijak dalam menyediakan ruang kabin EX30 yang selesa dan praktikal dalam masa yang sama.
Disebabkan tiada sistem pembesar suara (hanya ada sound bar Harman Kardon atas papan pemuka), ia mencipta ruang yang cukup besar pada panel pintu.
Konsol tengah nampak ringkas, tapi bila cuaca panas anda boleh letakkan minuman sejuk pada ruang pemegang yang boleh ditarik keluar dan disorokkan kembali apabila tidak digunakan.
Tak cukup? Konsol lantai turut disediakan, serta ruang ekstra tersembunyi untuk meletakkan barang yang lebih kecil, serta ruang pada terowong konsol.
Kotak simpanan glovebox pula diposisikan di tengah supaya ia mudah dicapai oleh pemandu dan penumpang hadapan.
Nampak je kecil dari luar, tapi Volvo EX30 menawarkan ruang kargo sebesar 318 liter atau sehingga 718 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata dengan nisbah 60:40.
Cukup besar untuk memuatkan barangan sehingga 1.64 meter panjang dan 0.86 meter tinggi.
Jika anda perlu ke Ikea untuk membeli perabot, boleh rujuk kepada grafik panduan storan yang disediakan pada pintu tailgate belakang.
Tak cukup? Ada ruang frunk yang menawarkan kapasiti tujuh liter.
Terlalu minimalis yang boleh bikin kepala pusing
Nak tahu sebab apa Volvo boleh menyediakan ruang sebanyak itu?
Ini kerana Volvo menerapkan tema minimalis ke satu tahap yang lebih tinggi, sehinggakan penulis terpaksa ‘reset’ semula minda setiap kali sebelum memulakan perjalanan.
Butang tingkap telah dialihkan ke bahagian tengah – macam kereta zaman dulu-dulu, dan hanya ada dua sahaja butang disediakan.
Anda perlu menekan satu lagi butang ekstra untuk membuka tingkap penumpang belakang.
Untuk kawal suhu sistem pendingin hawa? Skrin paparan tengah.
Untuk ubah tetapan stereng dan skrin sisi? Skrin paparan tengah.
Mahu buka glovebox? Ya, juga perlu tekan menu dalam skrin tengah.
Mujur juga untuk memulakan perjalanan penulis tidak perlu menatal skrin tengah untuk masuk kepada mod D. Tuil penukaran gear ada disediakan di ruang kolum stereng, lengkap dengan mod kawalan jelajah (hanya perlu tarik tuil ke bawah sekali selepas masuk mod D).
Kemasan
Salah satu perkara yang boleh dipuji pada Volvo EX30 ialah penggunaan bahan lestari yang cukup meluas pada ruang kabin.
Seperti contoh, upholsteri tempat duduk, papan pemuka dan pintu diperbuat daripada bahan kitar semula seperti denim, rami dan campuran bulu.
Penggunaan bahan yang disebutkan itu tadi tidak langsung mengorbankan aspek keselesaan sepanjang pemanduan.
Paling penulis suka, tempat duduk yang menyokong penuh bahagian bawah kaki, diikuti dengan panel perehat tangan pada pintu yang cukup selesa.
Cuma jika anda lihat dengan lebih dekat, kemasan plastik pada sesetengah tempat nampak tidak seimbang dengan imej mewah yang cuba ditampilkan pada EX30 ini. Dah namanya pun plastik kitar semula.
Pemanduan lincah atas jalan
EX30 varian Ultra Twin Performance ini didatangkan dengan dua motor elektrik berkuasa 422 hp dan daya kilas 543 Nm, membolehkannya memecut sehingga 100 km/j sepantas 3.6 saat dari pegun.
Dengan pakej badan yang kecil dan lincah, tidak sukar untuk EX30 ini memalukan mana-mana kereta sports yang ada di luar sana.
Talaan suspensinya cukup bagus untuk menyerap segala ketidakrataan yang wujud di atas jalan raya, malah talaan respons stereng yang sedap dikendalikan bila sekali sekala ia bertemu dengan selekoh.
Terus terang cakap, penulis berpendapat talaan suspensi yang wujud pada EX30 ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan abang besarnya XC40 dan C40.
Kebanyakan masa, kuasa yang dihamburkan oleh motor belakang itu sudah memadai dan penulis tidak langsung bergantung kepada mod Performance untuk sistem AWD (yang perlu diakses daripada skrin tengah).
Pek bateri NMC 69 kWh pula membolehkan anda mencapai jarak pemanduan sejauh 450 km, cukup sesuai untuk pemanduan urban.
Kemampuan off-road yang diluar jangkaan
Ternyata, Volvo EX30 mempunyai kelebihan yang tersendiri untuk dijadikan sebagai kereta basahan setiap hari.
Namun, satu kelebihan yang tidak dijangka oleh penulis ialah keselesaan yang ditawarkan apabila Volvo EX30 ini dibawa memasuki laluan off-road (lebih sesuai soft-road).
Penulis akui EV ini sudah cukup selesa dipandu atas jalan tar namun saat tayar mencecah laluan berkerikil, sistem suspensi EX30 mampu menapis segala kekasaran jalan yang tidak berturap dengan berkesan.
Sesuai sangat sekiranya EX30 ini dipandu merentas laluan yang tidak bertar untuk anda menikmati aktiviti luar hujung minggu seperti berkelah di tepi sungai atau berkhemah di tepian pantai.
Melihatkan potensi yang luar biasa ini, tidak menghairankan apabila Volvo pada awal tahun yang lalu memperlihatkan EX30 versi Cross Country untuk mereka yang mahu menikmati pemanduan yang lebih lasak di dalam EV kecil ini.
Adakah EX30 Cross Country ini akan direalisasikan kelak? Kita hanya boleh tunggu dan lihat apakah perancangan Volvo untuk SUV elektrik ini.
Pengecasan
Bateri NMC 69 kWh yang dibekalkan pada Volvo EX30 ini menyokong pengecasan AC 11 kW, mengambil masa lapan jam untuk cas penuh.
Jika anda tidak mempunyai masa, cas sahaja EX30 di mana-mana stesen pengecasan pantas, memandangkan EV ini menyokong pengecasan DC sehingga 153 kW.
Jadi dalam tempoh masa hanya setengah jam, bateri 69 kWh itu boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus SoC.
Atau pergi sahaja ke mana-mana pusat membeli belah yang mempunyai kemudahan pengecasan pantas, sambil mengecas anda boleh berjalan-jalan mencari barang idaman.
Seperkara yang buatkan penulis suka akan EV ini ialah sistem pemetaan berasaskan Google yang akan memaparkan anggaran kadar SoC bateri sekiranya sudah tiba di destinasi atau selepas melakukan perjalanan dua hala.
Keselamatan
Sebagai sebuah Volvo, EX30 mempunyai kelengkapan keselamatan yang hampir menyeluruh dalam pakej yang serba kecil ini.
Antaranya termasuklah kawalan jelajah adaptif, bantuan kesesakan trafik, bantuan pengelakan pelanggaran, brek kecemasan autonomi, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, pemantauan titik buta serta araman lintasan trafik belakang.
Ironinya, ia turut mempunyai ciri sistem pemantauan tumpuan pemandu yang akan memberikan amaran sekiranya sistem mendapati pemandu tidak memberikan perhatian sepenuhnya atas jalan.
Apa yang anda boleh jangkakan daripada sebuah kereta yang menyumbat segala macam tetapan dan fungsi dalam sebuah skrin tunggal bersaiz 12.3 inci itu?
Info penting seperti kelajuan, tahap SoC bateri, notifikasi lampu isyarat dan kedudukan gear pemanduan (RND) semuanya diletakkan pada bahagian atas skrin.
Sepanjang pemanduan, penulis perlu menoleh ke kiri untuk memastikan EV ini dipandu pada kelajuan yang dibenarkan oleh undang-undang.
Atau setiap kali jari kiri menolak tuil untuk menghidupkan lampu isyarat.
Atau setiap kali penulis rasakan suhu kabin terlalu sejuk dan mahu melaraskan kembali sistem pendingin hawa.
Adalah lebih menyenangkan apabila EX30 ini mempunyai skrin berasingan di belakang stereng, jadi pergerakan mata adalah lebih minima berbanding perlu bergantung sepenuhnya pada skrin tengah.
Memasang terus skrin paparan head-up mungkin sekali lebih adfal.
Kesimpulan
EX30 memang sesuai dijadikan sebagai kereta basahan, seronok untuk dipandu, dan paling penting tidak mengorbankan langsung aspek praktikaliti dan elemen keselamatan yang menjadi tunjang utama jenama Volvo.
Untuk sebuah EV kegunaan urban, penulis kira Volvo EX30 sudah mempunyai asas dan pakej rupa yang cukup menarik sesuai untuk golongan muda yang mempunyai gaya hidup aktif.
Itupun jika anda tidak kisah dengan susun atur papan pemuka yang terlebih minimalis dibawakan pada Volvo ini.
Cuba ambil masa untuk biasakan diri, dan ia tidak akan menjadi satu masalah besar.
Cuma untuk pemandu olskool seperti penulis, masih lagi rasa janggal untuk menyesuaikan diri kerana sudah terbiasa dengan butang dan tombol kawalan fizikal.
Namun jika anda tidak ambil kisah akan prestasi sistem pacuan semua roda atau bumbung kaca panorama, pilih sahaja varian yang lebih rendah (harga dari RM189k) untuk menikmati jarak pemanduan yang lebih jauh.
Spesifikasi Volvo EX30 Ultra Twin Performance (RM228,888)
Unit pemacu: Dua motor elektrik
Kuasa: 422 hp, 543 Nm
Pecutan: 3.6 saat dari 0-100 km/j
Bateri: NMC 69 kWh
Jarak gerak: 450 km
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link
Rim: 19 inci
Tayar: Goodyear EfficientGrip Performance SUV, 245/45R19
Ruang kargo: 318 liter, atau sehingga 718 liter

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.