Tag Archives: 009

MPV elektrik mewah Zeekr 009 masuk pasaran Malaysia – dari RM350k

Di samping X, Zeekr Malaysia turut melancarkan MPV mewah yang akan bersaing dalam pasaran EV tempatan iaitu Zeekr 009.

Ia bakal berentap dengan model-model popular seperti Toyota Alphard/Vellfire, Maxus Mifa 9, serta model-model yang akan datang seperti GWM Wey 80 dan Denza D9, 009.

009 boleh didapati dalam dua varian iaitu Luxury dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, dan Ultra Luxury dengan enam tempat duduk.

Tidak kira varian apa yang dipilih, 009 dipacu oleh motor elektrik berkembar yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 603 hp dan 693 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat.

Pek bateri 116 kWh pula menawarkan jarak gerak sejauh 582 km (kitaran WLTP), selain menyokong pengecasan pantas DC 150 kW yang membolehkan pengecasan 10%-80% dalam 30 minit.

Aspek pemanduan Zeekr 009 dibantu dengan sistem gantungan jenis double-wishbone multilink, suspensi udara elektromagnetik dan fungsi pengimbangan automatik, diikuti unit pencahayaan LED matriks dengan fungsi suluhan pemanduan adaptif (ADB) dan pencahayaan zon pintar.

Di dalam, anda akan menemui meter kluster 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 15.05 inci, paparan head up realiti terimbuh (AR) sebesar 35.95 inci, skrin bumbung OLED 17 inci, sistem audio Yamaha, pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sehingga 9 port USB-C tersedia.

Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan diberikan larasan 12 tahap berserta fungsi urut, pengudaraaan dan memori.

Penumpang baris kedua pula menikmati tempat duduk Sofaro First Class Aeronautics dengan fungsi Ultra Long Electric Slide Rail sepanjang 1.1 meter, tempat rehat kaki yang boleh dilaras, fungsi pengudaraan, urut dan memori.

Untuk keselamatan, terdapat sistem ADAS yang merangkumi ciri kawalan pengekalan tengah lorong (LCC), kawalan jelajah adaptif (ACC), sokongan mitigasi pelanggaran hadapan (CMSF) dan belakang (CMSR), sistem pengelakan lorong, pengesanan titik buta (BSD), amaran bukaan pintu dan juga sistem pemantauan prestasi pemandu (DPM).

009 Luxury dijual pada harga RM349,800, manakala versi Ultra Luxury pula berharga RM359,800. Seperti X, model ini didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km dan waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km.

Turut disertakan adalah data internet 6GB percuma selama dua tahun untuk akses aplikasi Zeekr, sistem navigasi dan kemas kini perisian secara Over-the-Air (OTA).

500 pembeli pertama 009 akan mendapat pakej eksklusif yang merangkumi pengecas kediaman, pengecas mudah alih dan filem solar.

Zeekr masuk pasaran Singapura tahun ini, sedia lancar dua model

JENAMA kenderaan elektrik mewah yang bernaung di bawah Geely iaitu Zeekr dilaporkan akan menerjah pasaran Singapura bermula tahun ini.

Menurut The Business Times, jualan akan bermula pada separuh pertama tahun ini, manakala penyerahan pertama dijangka berlaku seawal Jun atau Julai.

Mewakili Zeekr di Singapura adalah Premium Automobiles Group, yang telah dilantik sebagai pengedar rasmi jenama itu. Premium Automobiles juga merupakan pengedar rasmi kenderaan Audi di republik itu.

Buat masa ini, Zeekr akan melancarkan dua model iaitu 009 dan X, kedua-duanya dibina menggunakan platform Scalable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely.

009 merupakan MPV bersaiz besar dengan ukuran panjang mencecah 5.2 meter dan kabin yang boleh memuatkan sehingga enam penumpang. Dengan bateri berkapasiti 140 kWj, ia boleh dipandu sejauh lebih 800 km dengan satu cas penuh.

X diperkenalkan pada Februari 2023 sebagai model ketiga dalam barisan Zeekr. Perincian teknikal tidak diketahui namun crossover kompak ini dikatakan menggunakan trenkuasa yang sama dengan Smart #1, bermakna ia mungkin ditawarkan dengan bateri 66 kWj dengan jarak pandu sekitar 400 km.

Zeekr 009 sebuah MPV elektrik untuk pasaran China, jarak pemanduan 700km

ZEEKR 009 dilancarkan baru-baru ini, sebuah MPV tiga baris tempat duduk bagi pasaran China. Ia menampilkan rekaan cukup daring dengan garisan-garisan bersegi dan gril perak besar di depan.

Zeekr merupakan sebuah jenama EV mewah di bawah Geely, dan MPV 009 ini dibina dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA), yang juga menjadi asas kepada Lotus Eletre dan Polestar 5 akan datang.

Dari segi ukuran, Zeekr 009 adalah 5,209mm panjang, 2,024mm lebar, dan 1,856mm tinggi dengan jarak roda 3,205mm. Lampu DRL LEDnya mempunyai rekaan menegak, manakala lampu utamanya terletak sedikit di bawah, dengan tiga unit setiap satu.

Terdapat kamera-kamera ADAS pada fender depan, di bawah cermin depan, dan di bawah kawasan nombor plat. Rimnya mempunyai tulisan ZEEKR di tengah-tengah.

Salah satu elemen rekaan paling menarik adalah pada tiang-C, dengan garisan sirip jerung pada bawah cermin sisi, dan tujuh garisan perak menegak pada pintu gelungsur. Ternyata MPV ini nampak cukup mewah, hampir seperti Alphard versi EV.

Walaupun mempunyai tiga baris tempat duduk, Zeekr 009 mempunyai tujuh tempat duduk dengan konfigurasi 2+2+2. Tetapi ia juga akan ditawarkan dengan versi VIP yang hanya mempunyai dua tempat duduk belakang.

Papan pemukanya dilengkapi skrin HUD serta skrin sesentuh melintang di tengah. Tiada gambar terperinci untuk bahagian dalam, tetapi beberapa gambar intipan melaporkan roda stereng yang agak kecil dan sporti, tempat duduk depan lebar, pengecaj tanpa-wayar di depan, dan balutan kulit berwarna putih.

Zeekr berkata 009 akan mempunyai jarak pemanduan 700km menurut kitaran NEDC.

Tiada perincian kuasa didedahkan, tetapi ura-ura mengatakan ia akan dipacu oleh motor 272hp di belakang, atau setup dwi-motor dengan jumlah kuasa 544hp. Ini digandingkan dengan bateri 86kWh atau 100kWh, dengan jarak pemanduan 536km atau 732km.

Zeekr 009 bakal dilancarkan di China menjelang hujung tahun ini, tetapi ia akan membuat kemunculan umum di Chengdu Motor Show 2022 minggu depan.

Apa pendapat anda dengan rekaan MPV elektrik mewah ini?