Tag Archives: 1000 cc

Honda CB1000 SP 2025 kini di Malaysia – RM69,999

Boon Siew Honda melancarkan jentera berprestasi tinggi Honda CB1000 SP 2025 untuk pasaran Malaysia.

Jentera ini dilengkapi dengan enjin CBR1000RR Fireblade 1,000 cc yang mampu menjana kuasa 155 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 107 Nm @ 9,000 rpm.

Honda CB1000 SP ini hadir dengan klac assist slipper untuk tunggangan yang lebih lancar, serta tidak ketinggalan fungsi penukaran gear pantas.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 17 liter, sementara tinggi pelana pula 809 mm.

Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan fork hadapan Showa SFF-BP jenis terbalik 41 mm dengan larasan pra-beban, diikuti penyerap hentak tunggal belakang Ohlins TTX36 juga hadir dengan larasan pra-beban.

Sistem brek terdiri daripada rotor berkembar 310 mm dengan angkup empat omboh Brembo di depan, diikuti rotor tunggal 240 mm dengan angkup Nissin omboh tunggal di belakang.

Segala info boleh dibaca menerusi skrin TFT berwarna penuh saiz 5-inci, serta tema paparan yang boleh disesuaikan mengikut kegemaran.

Selain daripada tiga mod tunggangan (Rain, Standard, Sport), terdapat dua mod USER yang boleh disesuaikan dengan mengubah tetapan kuasa (P), Engine Brake (EB) dan HSTC/Wheelice Control (T).

Akhir sekali, ciri keselamatan seperti ABS dua saluran serta lampu berhenti kecemasan (ESS).

Untuk pasaran Malaysia, Honda CB1000 SP dijual pada harga RM69,999 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

Kawasaki H2 SX SE 2025 kini di Malaysia, dari RM129,400

MODENAS melancarkan jentera sport touring berkuasa tinggi Kawasaki Ninja H2 SX SE di Malaysia Autoshow 2025.

Dengan enjin empat silinder sebaris 998 cc, ia mampu menjana kuasa 210 PS @ 11,000 rpm (dengan RAM Air) dan daya kilas maksimum 137 Nm @ 8,500 rpm.

Bacaan penggunaan bahan api adalah sekitar 5.4 liter untuk setiap 100 km.

Ninja H2 SX SE menggunakan kerangka trellis yang disokong oleh sistem suspensi elektronik semi-aktif (KECS) yang terdiri daripada fork hadapan terbalik saiz 43 mm boleh laras, diikuti penyerap hentak tunggal BFRC di belakang.

Aspek tunggangan dibantu dengan pelbagai ciri elektronik seperti unit pengukuran inersia enam paksi (IMU), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), Kawasaki Cornering Management Fuction (KCFM), serta Kawasaki Traction Control (KTRC).

Sistem brek terdiri daripada rotor hadapan berkembar 320 mm dengan angkup Brembo Stylema empat omboh, diikuti rotor tunggal 250 mm dengan angkup dua omboh di belakang.

Tangki bahan api boleh memuatkan sehingga 19 liter minyak, sementara tinggi pelana pula adalah sekitar 835 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Kawasaki H2 SX SE dijual pada harga RM129,400.

Honda CB1000F Concept muncul di Osaka Motorcycle Show 2025

Bertempat di acara pameran Osaka Motorcycle Show 2025 yang ke-41 di INTEX Osaka, Honda memperlihatkan model CB1000F Concept buat kali pertama.

Biarpun masih lagi menggunakan nama konsep, reka bentuk Honda CB1000F ini menampakkan ia sudah sedia untuk diproduksikan secara besar-besaran.

Malah, ia juga turut mengingatkan kita kepada rekaan model CB-F Concept yang diperlihatkan lima tahun lalu.

Namun tidak seperti CB-F yang dibina berdasarkan platform CB1000R, CB1000F ini berkongsi pelantar yang sama digunakan oleh CB1000 Hornet.

Bezanya? CB1000F menggunakan kerangka jenis keluli serta lengan ayun berkembar berbanding CB-F yang menggunakan kerangka aluminium dan lengan ayun tunggal.

Selain itu, CB1000F dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris berkuasa 150 hp berdasarkan jentera Fireblade, diikuti dengan fork hadapan Showa SFF-BP dan brek Nissin yang sama digunakan oleh model Hornet.

Honda CB1000F juga mendapat subrangka baharu untuk disesuaikan dengan perkadaran retro, diikuti dengan set peredam ekzos besar berwarna krom.

Biarpun berpegang dengan konsep retro, Honda CB1000F turut mendapat ciri moden seperti penyerap hentak tunggal di belakang, fork jenis terbalik, brek radial, lampu LED serta skrin paparan TFT.

Honda CB1000F apabila diproduksikan kelak mampu memberikan saingan hebat kepada barisan jentera neo-retro yang wujud di pasaran, seperti Kawasaki Z900RS dan Yamaha XSR900.