Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan model Yamaha Y15ZR edisi khas (SE) yang tersedia dalam warna Bronze Fury.
Setiap pembelian Yamaha Y15ZR SE akan disertakan dengan visor sporti, serta bakul premium Yamaha yang lengkap dengan slot pengecas USB C.
Yamaha Y15ZR SE ini boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 7 April 2025, dengan harga bermula RM9,498 tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.
Pemilik Yamaha Y15ZR SE akan turut mendapat pakej kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.
Untuk spesifikasi, ia masih lagi kekal dengan enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair menghasilkan 15.2 hp @ 8,500 rpm dan 13.8 Nm @ 7,000 rpm.
Boon Siew Honda mengumumkan penawaran CBR150R dengan warna baharu Honda Tricolor yang diinspirasikan daripada DNA Honda Racing yang wujud pada CBR1000RR-R, CBR650R dan CBR250RR.
Selain daripada Honda Tricolor, CBR150R juga boleh didapati dalam pilihan warna Silver yang dikemaskan dengan aksen warna kuning terang.
Dari segi spesifikasi, Honda CBR150R dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149.2 cc, menghasilkan kuasa 16 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 7,000 rpm yang digandingkan dengan transmisi enam-kelajuan dan klac assist & slipper.
Ia juga masih mengekalkan tetapan suspensi fork hadapan jenis terbalik, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, rim 17 inci, brek cakera depan dan belakang, sistem ABS dua saluran, panel meter digital dan lampu LED.
Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 12 liter, serta tinggi pelana 788 mm.
Honda CBR150R 2025 boleh didapati bermula 19 Mac di semua pengedar sah Honda dan IMPIAN X di seluruh negara, dengan tanda harga RM13,399 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).
Pengedar sah jenama Kamax, KTNS Holdings Sdn Bhd dijangka akan menawarkan sebuah lagi model kapcai untuk pasaran Malaysia, iaitu KAMAX Cub X 150.
Perkara tersebut diumumkan sewaktu lawatan media automotif Malaysia ke pusat pameran KAMAX yang terletak di Jiulongpo, Chongqing, baru-baru ini.
Berbeza dengan kapcai Super Pro yang telah dilancarkan sebelum ini, Cub X membawakan enjin dengan sesaran 150 cc menghasilkan kuasa 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 10.5 Nm @ 5,000 rpm.
Untuk sebuah jentera cubcross, Cub X ini membawakan spesifikasi yang lebih agresif, seperti tayar off-road tanpa tiub, rim lidi 17 inci, tempat duduk tunggal balutan kulit serta rak barang menggantikan tempat duduk pembonceng.
Sistem suspensi Cub X terdiri daripada fork teleskopik 26 mm di depan, diikuti dengan penyerap hentak berkembar di belakang, masing-masing menawarkan jarak pergerakan tayar 88.9 mm dan 91.4 mm.
Antara ciri lain termasuklah:
-sistem pencahayaan LED
-skrin kluster LCD
-tangki bahan api sebesar 3.8 liter
-cermin sisi krom
-pelindung enjin
-sistem ABS dua saluran
-tinggi pelana 790 mm
-sistem kunci pintar
Menurut pihak KTNS, model ini dijangka masuk pasaran Malaysia sekitar bulan Ogos atau September, membawakan tanda harga bawah RM10,000.
Ini menjadikan KAMAX Cub X mampu memberikan saingan kepada model-model di dalam kelasnya, seperti Yamaha PG-1 dan Aveta Ranger Max 130.
Tidak seperti segmen motosikal dan skuter elektrik, kita mungkin sukar untuk mencari jentera dua roda yang dipacu oleh enjin hibrid.
Kawasaki sebelum ini pernah mendedahkan dua buah model hibrid, iaitu Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid.
Bagaimana pula dengan Yamaha?
Bertempat di Bharat Mobility Expo 2025 yang berlangsung pada bulan lepas, Yamaha Motor India tampil dengan sebuah motosikal naked yang pernah popular di Malaysia suatu ketika dahulu – FZ.
Lebih tepat lagi, Yamaha FZ-S Hybrid serba baharu yang dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149 cc sejukan udara dengan kuasa 12.4 hp dan 13.3 Nm.
Tidak seperti sistem hibrid yang wujud pada jentera Kawasaki, FZ-S Hybrid ini bergantung kepada sistem hibrid ringan (mild-hybrid), di mana tujahan kuasa ekstra dibekalkan oleh komponen Integrated Starter Generator (ISG).
Biarpun tiada kelebihan dari segi tunggangan sifar emisi yang lebih jauh, bantuan daripada motor elektrik tersebut boleh mengubah karakteristik enjin 150 cc menjadi seakan 200 cc terutama ketika pecutan atau memotong kenderaan.
Dengan sistem hibrid ringan ini, tidak mustahil setangki penuh 13 liter boleh mencapai jarak tunggangan sejauh lebih 480 km.
Ciri lain termasuklah:
fork teleskopik hadapan 41 mm
penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban 7 tahap
rim aloi 17 inci
tinggi pelana 790 mm
kawalan cengkaman (TCS)
rotor brek 282 mm depan, 220 mm belakang
sistem brek ABS saluran tunggal
Di pasaran India, Yamaha FZ-S Hybrid dijual pada harga INR130,700 (RM6.6 ribu).
Bermula 1 Januari 2025, semua motosikal baharu berkapasiti 150 cc dan ke atas perlu dilengkapi dengan sistem brek anti kunci (ABS), lapor Bernama.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Malaysia Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas berkata ABS boleh mengurangkan kematian dalam kalangan penunggang motosikal sebanyak 31 peratus semasa kemalangan berdasarkan kepada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
“Saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kematian pengguna jalan raya di Malaysia dan memberi inspirasi kepada negara ASEAN lain untuk melaksanakan langkah yang sama, menjadikan motosikal lebih selamat di seluruh rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS).
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya sistem penarafan Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) dapat diperluaskan ke luar Malaysia untuk meningkatkan keselamatan motosikal di seluruh benua.
“Dengan ini kita boleh tahu motosikal dari syarikat mana yang lebih selamat dan mana yang sebaliknya,” katanya.