Boon Siew Honda mengumumkan tiga pilihan warna menarik untuk dipadankan pada skuter Honda Vario 160, iaitu kuning, perak dan juga merah kusam.
Tidak ada sebarang perubahan dari segi spesifikasi, bermakna ia masih kekal dengan enjin silinder tunggal sejukan cecair 157 cc berkuasa 15.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 13.8 Nm @ 7,000 rpm.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 5.5 liter, sementara tinggi pelana pula sekitar 778 mm.
Suspensi Vario 160 terdiri daripada fork teleskopik diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara sistem brek pula menggunakan cakera depan dan belakang, dibantu dengan ABS saluran tunggal.
Ciri lain termasuklah sistem kunci pintar, unit lampu LED penuh, pengecas USB, paparan meter digital, serta ruang storan sebesar 18 liter.
Honda Vario 160 2025 boleh didapati di semua pengedar sah Honda dan Impian X bermula 11 April 2025, dengan harga jualan dari RM10,198 untuk warna kuning, dan RM10,498 untuk warna perak dan merah.
Selepas pelancaran skuter maxi kembara Vanguard 250 awal tahun yang lalu, Aveta Malaysia kini melancarkan dua buah skuter daripada siri Nova yang lebih mampu milik – Nova 125 dan Nova 160.
Aveta Nova 125
Skuter berharga RM5,188 ini direka untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan termasuklah para pelajar yang mahu mencari kenderaan yang lebih mampu milik.
Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara 125 cc menghasilkan kuasa 9.0 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 8.6 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.
Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan teleskopik, diikuti lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal di belakang.
Selain itu, ia mendapat ciri Combined Brake System (CBS) yang terdiri daripada brek cakera hadapan dan gelendong di belakang, serta rim 14 inci dengan balutan tayar 80/90-14 depan dan 90/90-14 di belakang.
Ciri lain termasuklah tangki bahan api 6 liter, panel meter digital LCD, soket pengecas USB, serta tinggi pelana 765 mm.
Aveta Nova 125 tersedia dengan warna Peach Berry, Grey Lemon, dan Blue Lemon.
Aveta Nova 160
Peminat skuter yang lebih bergaya boleh mendapatkan Aveta Nova 160 dengan harga jualan bermula dari RM7,988.
Ia dikuasakan enjin silinder tunggal sejukan cecair 154.4 cc menghasilkan 15.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, diikuti penyerap hentak berkembar berserta sub-tangki di belakang.
Nova 160 didatangkan dengan sistem brek cakera depan dan belakang, sayang sekali ia tidak didatangkan dengan ciri keselamatan brek anti-kunci.
Ciri lain termasuklah tangki bahan api 10 liter, sistem tanpa kunci, sistem idling stop system (ISS), panel meter digital, sistem lampu LED, soket pengecasan USB dan tinggi pelana 778 mm.
Skuter Nova 160 tersedia dengan warna Raven Red, Aveta Blue dan Copper Blaze.
Kedua-dua model Nova 125 dan Nova 160 berada di pasaran Malaysia bermula Mac 2025.
Boon Siew Honda mengumumkan dua warna baharu yang boleh dipilih oleh pembeli skuter Honda ADV160 2024.
Warna baharu yang dimaksudkan itu ialah kelabu dan putih, di mana ia boleh didapati di semua pengedar sah Honda dan Impian X bermula 18 Julai 2024 dengan harga jualan RM13,249.
Honda ADV160 2024 masih lagi mengekalkan enjin silinder tunggal 157 cc eSP+ yang mampu menghasilkan kuasa 15.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm.
Sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) akan mengoptimasikan kuasa enjin dan kadar cengkaman, dibantu dengan Idling Stop System (ISS) untuk tahap kecekapan yang dipertingkatkan.
Antara ciri yang tersedia termasuklah sistem kekunci pintar dengan fungsi anti-kecurian, pengecas USB, storan 30 liter di bawah pelana, serta cermin penghadang angin boleh laras ketinggian dua tahap.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti dengan penyerap hentak dengan subtangki berkembar di bahagian belakang, sementara sistem brek cakera depan dan belakang turut dibantu dengan sistem ABS saluran tunggal.
Selain itu, Honda ADV160 menawarkan ketinggian pelana sekitar 780 mm, diikuti kapasiti tangki bahan api sebesar 8.1 liter.
Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau had perbatuan sejauh 20,000 km yang mana tiba dahulu.