Tag Archives: 3.0

Jetour masuk era 3.0, perkenal platform off-road pintar GAIA di Auto Shanghai 2025

Tidak seperti jenama-jenama lain dibawah kumpulan besar Chery, Jetour lebih fokus kepada penghasilan kenderaan genre SUV dan crossover.

Pengeluar tersebut menggunakan pendekatan strategi Travel+ yang membahagikan kenderaannya kepada tiga kategori utama.

Era 1.0 lebih kepada model berorientasikan keluarga seperti siri Dashing dan juga VT9, diikuti era 2.0 yang terdiri daripada kenderaan off-road yang selesa seperti T1 dan juga T2.

Kini, Jetour memasuki era 3.0 yang membariskan beberapa buah model off-road bertaraf premium, sarat dengan pelbagai teknologi yang lebih canggih dan pintar, seperti SUV G700, model konsep G600 dan G900, serta konsep trak pikap F700.

Tunjang utama kepada barisan model off-road tersebut sudah pasti senibina GAIA (singkatan daripada Generational of All-Terrain Intelligent Architecture).

GAIA merupakan platform generasi baharu kenderaan off-road yang khusus menggunakan kerangka ladder-frame, menawarkan jarak pergerakan suspensi sehingga 150 mm dan jarak kelegaan tanah maksimum 350 mm.

Terdapat dua sistem hibrid yang ditawarkan oleh GAIA, satu daripadanya ialah iDM-O Super Hybrid yang menawarkan prestasi off-road yang lebih cekap dan jimat bahan api.

Satu lagi sistem dikenali sebagai iEM-O Amphibious Range Extender yang menawarkan daya kilas bertaraf kereta kebal sehingga 18,000 Nm, serta daya tujahan 2,500 Nm untuk pemanduan dua alam (darat dan air) yang lancar.

Ia juga turut menawarkan keupayaan seperti pusingan kereta kebal, serta mod jalan ala ketam.

Tidak cukup dengan itu, Jetour turut menawarkan enam ciri inovasi seperti:
• komunikasi satelit orbit rendah
• penghasilan oksiden kendiri
• kokpit berasaskan kepintaran buatan (AI)
• navigasi muka bumi termaju dan bantuan parkir
• integrasi kenderaan-awan
• naik taraf sistem kepintaran berterusan menerusi kemas kini OTA