Peminat skuter dengan reka bentuk retro klasik kini boleh mendapatkan barisan model terbaharu yang dilancarkan oleh Lambretta di Malaysia Autoshow 2025.
Salah satu daripadanya ialah Lambretta X300 GT, sebuah skuter dengan penggayaan ala grand touring.
X300 GT didatangkan dengan ciri unik seperti cermin penghadang angin, sistem lampu LED depan, lampu belakang rekaan tujuh bar kristal lengkap dengan sistem IFS (Integrate-Fuction Signals) dalam satu perumah tunggal.
Bahagian sisi pula dihiasi dengan jalur berlogo 300 GT serta corak papan dam.
Sistem suspensi menggunakan tetapan double arm-link pada roda depan (dengan tujuh tahap larasan), diikuti penyerap hentak berkembar di belakang.
Brek pula menggunakan rotor bersaiz 220 mm di depan, rotor bersaiz 240 mm di belakang lengkap dengan sistem ABS dua saluran.
Lambretta X300 GT dikuasakan oleh enjin silinder tunggal Lambretta Super Performance (LSP) 275 cc dengan kuasa 25.1 hp @ 8,250 rpm, dipadankan dengan tangki bahan api sebesar 7.5 liter.
Tempat duduk pula membawakan rekaan klasik dengan ketinggian sekitar 790 mm.
Akhir sekali, skrin paparan TFT yang boleh dihubungkan kepada peranti pintar, selain menawarkan beberapa ciri yang boleh disesuaikan termasuklah lima tema dan enam tahap kecerahan yang boleh dipilih.
Untuk pasaran Malaysia, Lambretta X300 GT dijual pada harga RM26,800, serta hadir dengan dua pilihan warna iaitu Light Grey dan Super Black.