Bermaz Motor selaku pengedar eksklusif kenderaan jenama Mazda mengumumkan penawaran model istimewa Mazda MX-5 35th Anniversary Edition.
Mazda MX-5 edisi khas ini diperkenalkan sebagai satu tribut kepada empat generasi kereta sports yang terkenal dengan ciri pemanduan mengujakan dan reka bentuk yang abadi.
Untuk pasaran tempatan, MX-5 edisi ulang tahun yang terhad ini hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter Skyactiv-G (181 hp/205 Nm) yang dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.
Setiap satu diberikan layangan warna Artisan Red Premium yang dicipta khas menggunakan teknologi unik Takuminuri, rim aloi Bright Metallic bersaiz 17 inci, serta lencana ’35th Anniversary’ yang hadir dengan nombor siri.
Sementara ruang kabin pula didatangkan dengan kemasan upholsteri kulit Tan, logo 35th Anniversary Edition pada headrest dan alas kaki, serta kemasan warna Artisan Red pada corong pendingin hawa dan panel pintu.
Selain daripada edisi ulang tahun, semua varian MX-5 didatangkan dengan perubahan bersifat kosmetik pada bahagian luar.
Seperti contoh, unit lampu hadapan dengan grafik LED DRL seakan deria mata, lampu belakang dengan efek ‘afterburner’, serta bampar belakang yang dilengkapi dengan pembalik cahaya dan lampu kabus.
Ruang kabin pula menampilkan kluster meter yang telah direka semula, cermin pandang belakang tanpa bingkai, skrin infohibur 8.8 inci, port pengecasan USB Type-C, serta kamera undur HD.
Dari segi pemanduan, Mazda telah menambah baik sistem stereng EPAS untuk operasi yang lebih lancar dan karakteristik yang lebih linear dan responsif.
Sementara varian 2.0L manual pula kini mendapat ciri DSC-TRACK (Driving Stability Control Track Mode) dan pembeza gelincir terhad asimetri (Asymmetric LSD) untuk kawalan yang lebih optimum dalam pelbagai keadaan termasuklah sesi pemanduan yang bersemangat.
Kecuali edisi ulang tahun, semua varian MX-5 boleh dilayangkan dengan pilihan warna Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Jet Black dan warna baharu Aero Gray.
Harga jualan adalah seperti berikut:
Mazda MX-5 2.0L MT – RM293,000
Mazda MX-5 2.0L AT – RM295,000
Mazda MX-5 35th Anniversary Edition – RM315,000
Mazda MX-5 35th Anniversary Edition ini akan dipamerkan di Oval Concourse, 1 Utama Shopping Centre bermula 10 hingga 13 April dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Pengunjung juga boleh menyertai pertandingan Mazda MX-5 Photo Contest dan berpeluang untuk memenangi barangan eksklusif yang menarik.
Pertandingan ini hanya boleh disertai di Bermaz Auto Showcase di 1 Utama Shopping Centre dan Sunway Carnival Mall di wilayah utara.
Mazda MX-5 35th Anniversary Edition
Mazda MX-5 2025