Tag Archives: 488 GTB

Lahirkan ramai zuriat, wanita terima hadiah Ferrari 488 GTB bernilai RM1.2 juta daripada suami

SEORANG lelaki sanggup menghabiskan wang sebanyak RM1.2 juta demi menghadiahkan sebuah Ferrari 488 GTB kepada isterinya sebagai tanda terima kasih kerana melahirkan ramai cahaya mata.

Sebuah video TikTok berdurasi 86 saat yang dimuat naik oleh akaun @louisgui_legend_oe menunjukkan supercar itu dihantar ke Sunway menggunakan sebuah treler yang dihiasi dengan belon pelbagai warna.

Kejutan yang dilakukan oleh si suami itu dilihat menarik perhatian orang ramai yang sedang makan di sebuah restoran berhampiran. Ada juga yang mengeluarkan telefon bimbit masing-masing untuk merakam saat manis itu.

@louisgui_legend_oe hadiah untuk Bini😱😱 #supercar #ferrari ♬ original sound – Boss Lambo

Melihat ruangan komen, ada netizen yang turut berkongsi rasa gembira terhadap si suami yang sanggup berbelanja besar untuk si isteri. Tak kurang juga ada yang cemburu.

Paling menarik sekali, ada yang mengatakan bahawa pemberian hadian ini adalah satu ‘taktik’ licik si suami untuk membeli kereta idamannya.

Untuk makluman pembaca, Ferrari 488 GTB diperkenalkan pada awal 2015 sebagai pengganti kepada 458. Ia dikuasakan oleh enjin 3.9-liter twin-turbo V8 yang mampu menghasilkan 670 hp dan 760 Nm.

Dari segi prestasi, ia bukan calang-calang kereta kerana 488 GTB hanya memerlukan tiga saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan ia boleh mencapai kelajuan maksimum 330 km/j.

Pada 2019, 488 GTB digantikan oleh F8 Tributo.

Ferrari KC23 model ‘one-off’ berasaskan 488 GT3 EVO – siapa pemiliknya?

ANDA mungkin sudah tahu bahawa Ferrari mempunyai program Special Projects yang bertanggungjawab untuk membina model-model kustom atau one-off untuk pelanggan-pelanggan terpenting mereka.

Apa yang anda lihat ini adalah jentera terbaru yang dihasilkan di bawah program itu yang dikenali sebagai KC23. Ia boleh digunakan di litar lumba sahaja dan dibangunkan berasaskan 488 GT3 EVO. Kereta ini mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

Tetapi jika diperhatikan, kereta ini memang langsung tidak serupa seperti 488 GT3 EVO. Menurut Ferrari, ini kerana setiap garisan dan permukaan badan, termasuk kluster lampu dan tingkap, telah direka semula untuk memberikannya penampilan yang unik.

Hasilnya, KC23 tampil lain dari yang lain, dengan pintu butterfly yang buka ke atas, spoiler gergasi yang boleh dicabut selepas sesi litar dan juga panel badan bermotor yang boleh bergerak untuk membuka saluran udara.

Satu lagi ciri istimewa adalah warna baharu yang dikenali sebagai Gold Mercury. Warna ini dikatakan mempunyai unsur logam cair dan dicat sebanyak empat lapisan.

Apa yang menarik, kereta ini didatangkan dengan dua set tayar. Set pertama berukuran 18 inci dan dipadankan dengan tayar slick untuk kegunaan di litar, manakala set kedua, yang lebih sesuai untuk tujuan pameran, berukuran 21 inci di depan dan 22 inci di belakang.

Berlainan dengan rekaan luaran, ruang dalaman KC23 boleh dikatakan hampir sama dengan kabin 488 GT3 EVO. Ini bermakna ia mempunyai roll cage lengkap, stereng jenis yoke, kluster instrumen digital, panel butang pada bahagian tengah dan sepasang kerusi bucket dengan balutan Alcantara.

Untuk kuasa pula, jentera ini menggunakan enjin 3.9-liter twin-turbo V8 yang sama dengan EVO tetapi jumlah kuasanya tidak didedahkan. Namun, tidak mengejutkan jika ia mempunyai kuasa yang sama dengan 488 GTB iaitu 670 PS dan 760 Nm.