Tag Archives: 4wd

4 Wheels Fest bakal berlangsung di Genting Highlands 28-29 Sept

Dengan peningkatan populariti aktiviti outdoor seperti perkhemahan dan pemanduan off-road, kenderaan pacuan empat roda (4WD) kini menjadi pilihan gaya hidup ramai.

Bagi memenuhi keperluan komuniti yang semakin berkembang ini, By The Billions akan menganjurkan acara 4 Wheels Fest pada 28 dan 29 September ini di kawasan letak kereta Resort World Awana, Genting Highlands dari 10 pagi hingga 7 malam. Masuk adalah percuma.

Acara yang didedikasikan terhadap gaya hidup outdoor ini bakal mengumpulkan lebih 200 kenderaan, selain menyatukan pemilik dan peminat 4WD, rakan dan keluarga dengan pelbagai hiburan dan aktiviti menarik.

Bukan itu sahaja, peserta dan pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai aksesori, peralatan dan barangan pada harga eksklusif.

Lebih menarik lagi, pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM35,000 turut ditawarkan oleh penaja-penaja terkemuka seperti ARB, Old Man Emu, Tough Dog, RY Ventures, TJM, PIAA, HELLA, Bendix, YSS Suspension, Mannol, dan Santapan by Kembara Kitchen.

 

Para peserta juga ditawarkan peluang untuk mendapatkan penginapan percuma di Resorts World Awana.

Bagi mereka yang ingin memanjangkan keseronokan empat roda, festival ini juga akan menandakan permulaan Rainforest Trophy Expedition yang akan berlangsung selama lima hari empat malam bermula dari 29 September.

Rainforest Trophy Expedition merupakan jenama berprestij di bawah Rainforest Challenge dan disenaraikan dalam tiga cabaran off-road paling sukar di dunia. Ia diadakan sebagai penghormatan kepada ekspedisi Camel Trophy yang cukup popular pada era 80-an dan 90-an.

Ekspedisi ini akan membawa peserta melalui perjalanan sejauh lebih 500 km, termasuk laluan off-road sepanjang 100 km menerusi Jejak Tekai berdekatan dengan sempadan Taman Negara, sebelum berakhir di Holiday Villa Cherating, Pahang.

Semasa ekspedisi ini, syarikat pengeluar seperti Ford akan mengambil peluang untuk menunjukkan kehebatan Ranger Raptor. GWM juga akan turut serta dengan model Tank 300 mereka.

Menurut penganjur, ekspedisi ini merupakan peluang terbaik bagi pemilik 4WD untuk menguji kenderaan mereka dalam persekitaran yang terkawal namun menyeronokkan.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut mengenai 4 Wheels Festival dan Rainforest Trophy Expedition, layari https://linktr.ee/bythebillions.

Pacuan FWD, RWD, AWD dan 4WD: Apa bezanya?

Ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan oleh pembeli semasa hendak membeli kereta. Selain harga, saiz dan enjin, anda mungkin perlu memilih jenis pacuan yang paling sesuai untuk keperluan anda.

Secara asasnya, ada empat jenis pacuan yang anda perlu tahu iaitu pacuan roda depan (FWD), pacuan roda belakang (RWD), pacuan semua roda (AWD) dan juga pacuan empat roda (4WD). Apakah perbezaan antara keempat-empat pacuan ini?

Pacuan roda depan (FWD)

Ini adalah pacuan yang paling biasa digunakan pada kenderaan, tidak kira sama ada ia hatchback, sedan atau SUV. Ini kerana sistem FWD lebih ringkas, bermakna ia lebih ringan, dan ini menjadikan kereta lebih cekap tenaga dan murah untuk diselenggara. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan RWD, ia kurang mengujakan kerana ia lebih cenderung untuk mengalami understeer.

Contoh: Perodua Myvi, Honda City dan BMW 2 Series Gran Coupe

Pacuan roda belakang (RWD)

Secara ringkasnya, RWD bertentangan dengan FWD kerana dalam sistem ini, kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi propeller shaft atau propshaft. Peminat kereta lazimnya lebih menggemari RWD kerana ia menawarkan tahap cengkaman lebih tinggi (berat kenderaan dipindahkan ke belakang apabila memecut) dan pengendalian yang lebih mengujakan di selekoh. Kereta RWD juga lebih mudah untuk drift berbanding yang lain.

Contoh: Ford Mustang, Mazda MX-5 dan Toyota GR86/Subaru BRZ

Pacuan semua roda (AWD)

Seperti yang boleh dilihat menerusi namanya, pacuan AWD bermakna kuasa daripada enjin disalurkan ke keempat-empat roda bagi membolehkan kereta bergerak dengan lebih mudah di atas permukaan jalan yang basah dan licin. Kebanyakan sistem AWD boleh membahagikan jumlah tork antara gandar depan dan belakang mengikut keperluan dan ada juga yang boleh bertukar ke mod pacuan dua roda (2WD) untuk menjimatkan bahan api.

Contoh: Honda CR-V, Toyota GR Yaris dan Subaru XV

Pacuan empat roda (4WD)

Jika dibandingkan dengan AWD, sistem 4WD lebih sesuai untuk digunakan dalam kondisi pemanduan off-road. Kebanyakan, kalau tidak semua, kenderaan 4WD mempunyai transfer case dengan mod 2H, 4H dan 4L. 2H adalah pacuan dua roda dengan nisbah gear tinggi untuk pemanduan biasa, 4H pula mod pacuan empat roda dengan nisbah gear tinggi untuk cengkaman lebih tinggi, manakala 4L adalah pacuan empat roda dengan nisbah gear rendah untuk membolehkan kenderaan ‘merangkak’ pada kelajuan rendah untuk membolehkan ia mengharungi permukaan muka bumi yang ekstrem.

Contoh: Ford Ranger, Jeep Wrangler dan Suzuki Jimny

Jaecoo J7, SUV premium uji kemampuan off-road di M4TREC

Baru-baru ini, Jaecoo J7 telah menguji kemampuan off-roadnya di M4TREC 4WD Training and Experience Centre. Menurut Jaecoo, SUV premium mereka itu mendapat pujian dari pihak M4TREC atas keupayannya melalui halangan off-road yang sukar.

Jaecoo J7 telah dipertontonkan baru-baru ini dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada suku kedua nanti.

M4TREC sering menjadi lokasi ujian bagi peminat dan penggiat pacuan empat-roda (4WD) negara ini. Dengan iklim Malaysia yang panas dan sering hujan, pastinya menjadi pelengkap kepada cabaran di M4TREC.

Jaecoo J7 dilengkapi dengan enjin 1.6-liter TGDI, dengan output maksima 197hp dan 290Nm tork. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik 7-kelajuan dwi-klac dan mempunyai pilihan pacuan roda-depan dan semua-roda (AWD).

Untuk memastikan penilaian yang menyeluruh terhadap J7, para pelatih pakar M4TREC telah menetapkan pelbagai halangan mencabar semasa ujian, termasuk ujian “roller ramp”, ujian artikulasi, lintasan bukit (ridge crossing), dan turunan cerun.

J7 menunjukkan kebolehannya mengatasi keadaan jalan yang sukar serta ketahanan impak, dengan mudah menakluk halangan yang pelbagai. Ini dibantu dengan sistem All Road Drive Intelligent System (ARDIS) yang mengawal agihan kuasa sepantas 0.1 saat.

“Keupayaan off-road J7 yang luar biasa telah mengejutkan kami, ditunjukkan melalui navigasinya yang lancar melalui medan yang kasar dan mencabar di M4TREC,” kata seorang instruktur bertauliah M4TREC.