Tag Archives: 650 cc

Royal Enfield Classic 650 2025 di Malaysia – dari RM34,500

Sebuah lagi motosikal kelas 650 cc dilancarkan oleh Royal Enfield Malaysia di Malaysia Autoshow 2025, iaitu Classic 650.

Sama seperti model Bear 650, Classic 650 ini dikuasakan oleh enjin dua silinder sebaris 650 cc menghasilkan kuasa 46 hp @ 7,250 rpm dan daya kilas 52.3 Nm @ 5,650 rpm.

Namun tidak seperti Bear 650, Classic 650 membawakan penggayaan tradisi Classic dengan menampilkan perumah lampu jenis nacelle/casquette, pilihan pelana tunggal atau boleh dipasangkan tempat duduk pembonceng, rim lidi bersaiz 19 inci/18 inci, serta tangki rekaan klasik berkapasiti 14.8 liter.

Model Classic 650 ini juga turut dilengkapi dengan paparan meter analog berbentuk bulat, skrin LCD kecil serta skrin TFT Tripper berbentuk bulat.

Memastikan jentera ini ditunggang dengan baik ialah sistem suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar di belakang, dibantu dengan sistem brek rotor tunggal 320 mm di depan dan rotor tunggal 300 mm di belakang.

Secara standard, Classic 650 hadir dengan sistem ABS dua saluran.

Harga jualan bermula dari RM34,500 untuk pilihan warna Bruntingthorpe Blue dan Vallam Red, sementara warna Black Chrome pula berharga RM35,500.

Royal Enfield Bear 650 2025 kini di Malaysia – dari RM35,700

Royal Enfield meluaskan lagi penawaran portfolio model 650 di pasaran Malaysia dengan pelancaran model baharu, iaitu Bear 650.

Royal Enfield Bear 650 disifatkan sebagai sebuah scrambler versatil dengan penampilan yang lebih menonjol dan berani.

Menggunakan pelantar yang sama dengan model Interceptor 650, Bear 650 dilengkapi enjin dua silinder sebaris dengan kuasa 47 hp @ 7,250 rpm dan daya kilas maksimum 56.5 Nm @ 5,150 rpm yang diakhiri dengan sistem ekzos 2-1.

Sesuai dengan imej scrambler, Bear 650 dipadankan dengan tayar bunga blok membaluti rim 19 dan 17 inci, sistem suspensi yang terdiri daripada fork Showa USD (jarak pergerakan roda 130 mm) serta penyerap hentak berkembar Showa di belakang (jarak pergerakan roda 115 mm) yang menyumbang kepada jarak kelegaan tanah setinggi 184 mm.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor tunggal 320 mm dengan angkup dua omboh di depan, serta rotor 270 mm dengan angkup omboh tunggal di belakang yang dibantu dengan sistem ABS dua saluran yang boleh dinyahaktifkan mengikut keperluan.

Akhir sekali, Bear 650 dilengkapi dengan skrin paparan TFT Tripper Dash dengan antara muka yang ringkas dan mudah untuk dibaca.

Royal Enfield Bear 650 boleh didapati dalam tiga pilihan warna (Petrol Green, Wild Honey, dan Golden Shadow) dengan harga RM35,700, atau edisi khas Bear 650 Two Four Nine dengan harga jualan RM36,000.

Suzuki SV650 2025 rasmi di Malaysia – harga RM29,900

Suzuki Malaysia baru-baru ini melancarkan motosikal ikonik SV650 2025 untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM29,900.

Jentera naked dengan penggayaan neo-retro ini dikuasakan oleh nadi v-twin 645 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 69.3 hp @ 8,350 rpm dan daya kilas 59.9 Nm @ 8,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi pacuan rantai dan transmisi enam nisbah kelajuan.

SV650 ini dilengkapi dengan fork teleskopik di hadapan, diikuti dengan penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor berkembar di hadapan, rotor tunggal di belakang dibantu dengan sistem ABS.

Selain daripada itu, ciri lain termasuklah skrin paparan instrumen LCD penuh, tangki bahan api sebesar 14.5 liter, tinggi pelana 785 mm, fungsi Low RPM Assist dan Suzuki Easy Start System.

Terdapat tiga warna yang boleh dipilih iaitu Pearl Vigor Blue/Metallic Mat Black No. 2, Pearl Mat Shadow Green/Metallic Mat Black No. 2 dan Metallic Mat Black No. 2.

Dalam masa yang sama, Suzuki Malaysia turut memperkenalkan pasukan perlumbaan AMI Suzuki Motorsport (ASM).

Pasukan ini akan menyertai MAM Malaysia Superbike Championship (MSBK) di bawah kategori MSBK1000, serta MotoMSF di bawah kategori MSF Superbike.

Jentera adventure touring Cyclone RX650 bakal masuk Malaysia, harga jangkaan bawah RM30k

Selain daripada Cyclone RT3E, pihak MForce turut mengambil kesempatan memperlihatkan jentera adventure touring 650 cc Cyclone RX650 yang bakal masuk pasaran Malaysia kelak.

Dari segi kuasa, RX650 dijana dengan enjin parallel-twin 650 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 70 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 62 Nm @ 7,000 rpm.

RX650 dilengkapi dengan fork teleskopik hadapan jenis terbalik (USD), diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek terdiri daripada rotor berkembar di hadapan, rotor tunggal di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman (TCS).

Selain itu, RX650 mendapat teknologi seperti sistem pencahayaan LED, Cornering ABS, sistem penukaran gear pantas (quickshifter), kawalan jelajah, radar pengesan titik buta dan sistem kamera perakam tunggangan depan dan belakang.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 20 liter, rim 17 inci, tinggi pelana 820 mm, skrin penghadang angin boleh laras, serta skrin paparan TFT berwarna penuh.

Kami difahamkan harga jualan Cyclone RX650 bermula bawah RM30,000 apabila model ini masuk pasaran Malaysia secara rasmi menjelang pertengahan tahun ini.

Malaysia Autoshow 2024: Royal Enfield Shotgun 650 rasmi, dari RM34,900

Didi Group selaku pengedar sah jenama motosikal Royal Enfield di Malaysia telah pun melancarkan model baharu Shotgun 650.

Didatangkan dalam empat warna menarik, iaitu Stencil White, Plasma Blue, Green Drill dan Sheet Metal Grey, ia dijual pada harga bermula dari RM34,900.

Shotgun 650 dibina berdasarkan platform 650 Twin, membawakan rekaan yang menggandingkan unsur futuristik retro bersama ciri-ciri moden seperti unit lampu LED, skrin kluster analog-digital, dan fungsi navigasi Tripper untuk memudahkan urusan tunggangan.

Penunggang pula dapat menyesuaikan diri dengan mudah, terima kasih kepada kedudukan pemijak kaki dan bar hendal yang ergonomik, titik graviti rendah, dibantu dengan ketinggian pelana 795 mm.

Shotgun 650 didatangkan dengan fork hadapan SFF-BP Showa (jarak gerak 120 mm), sementara bahagian belakang pula mendapat penyerap hentak berkembar Showa (jarak gerak 90 mm).

 

Jentera ini menggunakan sistem brek cakera, terdiri daripada angkup dua omboh terapung dan rotor tunggal 320 mm depan, diikuti rotor 300 mm di bahagian belakang dan dibantu dengan sistem ABS dua saluran.

Dari segi kuasa, RE Shotgun 650 ini digerakkan oleh enjin kembar selari 648 cc menghasilkan 46.4 hp @ 7,250 rpm, dan daya kilas 52.3 Nm @ 5,650 rpm dengan sistem pancitan bahan api elektronik yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Bacaan penggunaan bahan api adalah sekitar 22km/liter atau 4.5 liter untuk setiap 100 km.

 

Terdapat sehingga 31 aksesori tulen yang ditawarkan oleh Royal Enfield untuk model Shotgun 650 termasuklah cermin sisi hujung bar hendal, tempat duduk solo, serta rim billet jenis potongan kontras.

Selain pelancaran model Shotgun 650, Royal Enfield turut mengumumkan pembukaan tempahan bagi model baharu Himalayan, di mana ia akan muncul secara rasmi pada 8 Jun ini di JioSpace Petaling Jaya.