Tag Archives: 700 cc

Cruiser Benda LFC700 Pro 2025 mendarat di Malaysia – RM48,888

MForce Bike Holdings baru sahaja melancarkan model cruiser bergaya, iaitu Benda LFC700 Pro untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan cuma RM48,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 676 cc sejukan cecair, LFC700 Pro ini mampu menjana kuasa 92.5 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 63 Nm @ 8,500 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan, sistem ‘sliding clutch’ dan sistem pacuan akhir rantai untuk penukaran gear yang lebih responsif dan lancar.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik yang menawarkan jarak pergerakan roda 100 mm, diikuti penyerap hentak udara tunggal dengan jarak pergerakan roda 35 mm.

Sistem brek menggunakan rotor berkembar saiz 320 mm di depan, diikuti rotor bersaiz 260 mm di belakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran dan sistem kawalan cengkaman (TCS).

Antara ciri unik yang wujud pada cruiser ini termasuklah sistem RAM-air pada bahagian perumah ‘lampu utama’, lampu utama LED jenis pop-up di bahagian sisi, serta radiator bersaiz besar.

Segala informasi boleh diakses menerusi skrin paparan TFT saiz lima inci berwarna penuh, selain terdapat port pengecasan USB untuk kegunaan semasa tunggangan.

Benda LFC700 Pro menawarkan kapasiti tangki bahan api sebesar 17 liter, serta tempat duduk ergonomik setinggi 695 mm.

CFMoto 700MT mendarat di Malaysia – harga RM33,888

CFMoto Malaysia baharu sahaja melancarkan jentera adventure touring terbaharu 700MT untuk pasaran Malaysia, membawakan tanda harga RM33,888 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran).

Dari segi kuasa, 700MT 2025 dijana dengan enjin dua silinder 693 cc yang mampu menghasilkan kuasa 67 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 60 Nm @ 6,000 rpm.

CFMoto 700MT dilengkapi dengan sistem suspensi boleh laras yang terdiri daripada fork hadapan 43 mm jenis terbalik dengan jarak pergerakan roda 150 mm, diikuti dengan penyerap hentak tunggal dengan jarak pergerakan roda 148 mm.

Sistem brek pula menggunakan khidmat rotor berkembar 300 mm di depan, dibantu dengan rotor brek tunggal 240 mm di belakang.

Ciri bantuan tunggangan yang disertakan termasuklah ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS), dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Terdapat skrin paparan TFT sebesar lima inci yang turut menyokong navigasi pemetaan Google Maps.

Ciri lain termasuklah skrin penghadang angin boleh laras, fungsi pemanas untuk pelana dan pemegang bar hendal, pelana setinggi 800 mm dan tangki bahan api sebesar 20 liter untuk perjalanan sejauh 400 km.

Zontes ZT 703 RR, sportsbike 110 hp, bakal masuk Malaysia 2025

Selain daripada jentera adventure tourer 703 F Adventure, Zontes Malaysia bakal memperkenalkan sebuah lagi model berenjin tiga silinder, iaitu superbike ZT 703 RR.

Berbeza dengan 703 F Adventure, Zontes 703 RR diberikan enjin tiga silinder dengan talaan kuasa yang berbeza, di mana ia mampu menjana kuasa kuda setinggi 110 hp, namun daya kilas yang sedikit rendah, iaitu 75 Nm.

703 RR menggunakan casis kerangka aluminium serta lengan ayun menggunakan bahan yang sama, diikuti suspensi yang terdiri daripada fork hadapan USD dan penyerap hentak tunggal Marzocchi, dan sistem brek J.Juan.

Kami juga turut mendapat info pemilik akan diberikan opsyen untuk sistem brek Brembo.

Ciri lain termasuklah unit lampu nyalaan siang DRL LED, tempat pemijak kaki yang diposisikan untuk tunggangan agresif, skrin paparan digital TFT, panel reraup hadapan agresif, serta struktur winglet pada bahagian hadapan.

Buat masa ini, pihak Zontes Malaysia masih lagi merahsiakan tarikh pelancaran serta harga jualan untuk model sportsbike 703 RR.

Namun, apa yang pasti kemunculan 703 RR ini mampu memberikan saingan hebat kepada model seperti Aprilia RS 660, Honda CBR650R, dan Triumph Daytona 660.

Moto Morini Calibro 700 mendarat di Malaysia, 74 hp, 68 Nm, harga RM35,888

MForce Bike Holdings selaku pengedar rasmi motosikal jenama Moto Morini melancarkan model cruiser terbaharu iaitu Moto Morini Calibro 700.

Ia dipacu oleh enjin parallel-twin 693 cc yang mampu menghasilkan kuasa 74 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 68 Nm @ 6,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi tali sawat yang menawarkan kelebihan seperti kurang gegaran, kurang masalah karat dan menyumbang kepada keselesaan.

Penampilan Calibro 700 diserlahkan dengan binaan pelindung angin yang lebar, lampu projektor LED depan, lampu nyalaan siang DRL, tangki bahan api sebesar 15 liter dan kotak storan kiri dan kanan sebesar 20 liter yang dibekalkan secara standard.

Calibro 700 juga menawarkan tinggi pelana 705 mm dan penggunaan bahan yang menyumbang kepada keselesaan tunggangan.

Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan fork hadapan 41 mm, penyerap hentak berkembar di belakang, serta tayar bersaiz 130/70-18 di depan dan 180/65-16 di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor berkembar 320 mm dan angkup dua omboh di depan serta rotor tunggal 255 mm di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran.

Penunggang boleh mendapatkan bacaan info penting motosikal menerusi meter analog yang disertakan dengan paparan LCD digital.

Moto Morini Calibro 700 dijual pada harga RM35,888, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

 

Moto Morini Calibro 700