Tag Archives: a35

Mercedes-AMG A35 4Matic akhirnya tiba, 306hp, RM344k

SELEPAS lebih setahun pengenalan Mercedes A-Class facelift, kini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) membawa pula AMG A35 yang terkini.

Sedan kompak ini dipasang di Malaysia (CKD) dan boleh menjadi milik anda pada harga RM343,888 (harga atas jalan tanpa insurans).

Nadi kepada A35 ini ialah enjin 2.0-liter turbo 4-silinder berkuasa 306hp dan 400Nm tork. Enjin ini mendapat tambahan kuasa sehingga 10kW dan 150Nm dari sistem elektrik hibrid 48volt untuk bantuan semasa mula bergerak.

Kesemua output disalurkan ke empat-empat roda menggunakan kotak gear 8-kelajuan AMG Speedshift dan sistem pacuan 4Matic.

Dari segi rekaan luaran, Mercedes-AMG A35 4Matic mendapat gril AMG, lencana bulat AMG, apron depan baharu, spoiler belakang, rekaan lampu depan dikemas kini, ekzos bulat, rim AMG 19-inci 5-bilah, kaliper brek merah, dan Adaptive Highbeam Assist Plus.

Di dalam kabin, sedan kompak sporti ini dilengkapi dengan roda stereng berserta suis AMG Dynamic Select, panel sesentuh pada stereng, balutan kulit Nappa, tempat duduk sports, kemasan AMG Design berwarna hitam dan perak, tali pinggang merah, lampu ambien 64 warna, dan pemijak sisi menyala.

Sama seperti model-model lain, A35 juga didatangkan dengan sistem MBUX NTG7 terkini dengan pelbagai ciri dipertingkat, selain sistem audio Burmester dan USB Package Plus.

Barisan Mercedes A-Class dikemaskini: A200, A250, AMG A35, dari RM240k

PEJAM celik, sudah kira-kira empat tahun A-Class W177 berada di pasaran negara ini. Jadi hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan barisan A-Class itu yang dikemas kini.

Ia hadir dengan tiga varian CKD (pemasangan tempatan) iaitu A200 Progressive Line, A250 4Matic AMG Line, AMG A35 4Matic, dan satu varian CBU iaitu AMG A45S 4Matic+. Versi CBU yang paling berkuasa kita akan fokuskan dalam satu artikel berlainan, anda boleh baca di sini.

Untuk tiga varian CKD, harga adalah seperti berikut:

A200 Progressive Line: RM238,888
A250 4Matic AMG Line: RM264,000 (anggaran)
AMG A35 4Matic: RM354,000 (anggaran)

Ketiga-tiga model ini juga hadir dengan bentuk badan sedan sahaja buat masa ini, tiada versi hatchback. Pembaharuan paling utama untuk barisan A-Class 2023 ialah sistem infotainmen MBUX generasi terkini NTG7.

Sistem ini menampilkan unit yang lebih mudah digunakan, dan boleh dikustom mengikut kehendak pemandu dengan paparan seperti Classic, Sporty, dan Discreet. Terdapat juga tiga mod Navigation, Assistance, dan Service dengan tujuh warna.

Skrin di tengah pula boleh memaparkan maklumat seperti navigasi, media, sambungan telefon pintar, sistem kenderaan, dan banyak lagi. Ia juga menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar, selain pertambahan port USB-C dan pengecas tanpa-wayar.

Dari segi janaan kuasa, tiada perubahan besar untuk setiap varian. Mercedes A200 dikuasakan oleh enjin 1.3-liter dengan output 163hp dan 270Nm tork, membolehkannya melakukan pecutan ke 100km/j dalam 8.3 saat.

Varian A250 yang lebih berkuasa dipacu oleh enjin 2.0-liter yang menjana 224hp dan 350Nm tork. Pecutan 0-100 boleh dibuat dalam 6.4 saat, lebih pantas kerana pertambahan kuasa selain sistem all-wheel drive 4Matic.

Seterusnya versi paling berkuasa Mercedes-AMG A35 pula dipacu oleh enjin 2.0-liter tetapi output ditambah menjadi 225hp dan 400Nm, cukup untuk meletakkannya selesa dalam liga hot hatch. Pecutan ke 100km/j boleh dibuat dalam 4.8 saat, dan kelajuan maksima ialah 250km/j.

Penampilan boleh dibezakan dimana A200 tampil lebih ‘jinak’ dengan gril geometri dan rim aero 17-inci, manakala A250 lebih garang dengan gril serta rim 18-inci AMG.

Ciri keselamatan juga dinaik taraf untuk kedua-dua model, yang mana kini mendapat lampu LED dan Parking Package. Terdapat juga Active Parking Assist, Blind Spot Assist, Exit Warning Assist, dan Active Brake Assist. A250 4Matic ditambah dengan Sports Brake System untuk lebih prestasi.

Galeri Mercedes A200 Progressive Line

Galeri Mercedes A250 4Matic AMG Line