Tag Archives: a380

Penerbangan terakhir Boeing 747 ‘melukis’ mahkota di ruang udara

SALAH satu objek paling ikonik dalam rekabentuk kini tidak lagi dikeluarkan. Ya, tiada lagi Boeing 747, selepas 54 tahun memegang takhta sebagai Permaisuri Langit (Queen of the Skies).

Ia mengubah landskap dunia penerbangan, menjadi ikon pelancongan, dan menarik minat serta inspirasi. Krew 747 terakhir membuat penghormatan dengan cara mereka sendiri; melukis di langit negeri Washington.

747 terakhir merupakan 747-8F, varian pengangkut. Ia beroperasi di bawah Atlas Airlines yang menerima penyerahannya di fasiliti Boeing di Everett, Washington.

Menggunakan nombor ekor N863GT, krew berlepas di Paine Field, Everett dan terbang melintasi negeri Washington, semata-mata penerbangan selamat tinggal khas. Krew ini menerbangkan pesawat yang melakar perjalanan bertulis “747”, dengan mahkota di atas nombor ini – merujuk kepada Queen of the Skies.

Melihat kepada laluan penerbangan dalam aplikasi Flightradar24, ia ternyata cukup besar. Krew Atlas terbang melintasi ruang yang besar di negeri itu untuk ‘melukis’ mahkota itu dan ia nampak cukup cantik.

Penerbangan selama kira-kira dua jam setengah itu suatu tugas yang teknikal. Selepas melukis penghormatan itu, mereka terbang ke hab Atlas Airlines di Cincinnati.

Di darat pula, orang ramai berkumpul untuk melihat 747 meninggalkan lokasi yang menjadi ‘rumahnya’ sejak 1967.

Menurut BBC, John Travolta yang juga menerbangkan 747-400 dan seorang peminat dunia penerbangan, juga berada dalam kelompok orang ramai itu. Beliau juga antara pasukan awal yang membangunkan 747 yang mengambil masa cuma 28 bulan.

Boeing 747 merupakan pesawat pertama seumpamanya, dengan kabin dua aisle (lorong) dan mempunyai dua tingkat. Ia memberikan definisi baharu dalam keselesaan penerbangan jarak jauh.

Dengan tiadanya pengganti jet empat-enjin buat masa ini, 747 bertahan lebih lama dari Airbus A380 yang jauh lebih baharu.

Realitinya, jet syarikat penerbangan dengan konfigurasi dua-enjin dan kabin lebar terbukti mampu menjalankan tugas yang sama dengan penggunaan bahan api lebih rendah, menjadikan 747 tidak lagi relevan.

 

Tidak akan ada lagi pesawat sepertinya. Selamat tinggal, 747.

Selamat jalan! Enam pesawat Airbus A380 Malaysia Airlines mula dihantar pulang

SYARIKAT penerbangan negara, Malaysia Airlines telah mula menghantar semula pesawat Airbus A380 miliknya ke tempat simpanan jangka masa panjang di Tarbes, Perancis.

Malaysia Airlines mempunyai enam unit pesawat model itu dan difahamkan, penghantaran pulang dibuat secara berperingkat mulai 14 November 2022.

Pesawat A380 akan disimpan di ‘kubur’ pesawat Airbus di Perancis. Sumber: Facebook

Berdasarkan laporan Avian Source dan Harian Metro, pesawat pertama yang dihantar ke Tarbes mendarat pada 3:12 petang waktu tempatan (Perancis).

Air France adalah syarikat penerbangan pertama yang mengumumkan penamatan operasi pesawat A380 pada 2020.

Syarikat lain yang menghentikan penggunaan pesawat itu adalah Emirates, Etihad, Hi Fly dan Lufthansa.

Bagaimanapun, terdapat syarikat penerbangan di Asia yang kembali menggunakan pesawat komersial terbesar dunia itu berikutan peningkatan permintaan.

Gambar oleh: Malay Mail

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia Airlines akan memulangkan semua enam pesawat A380 miliknya kepada Airbus yang mana adalah sebahagian daripada perjanjian pembelian 20 pesawat A330neo (A330-900) pada Ogos lalu.

Terdahulu, syarikat penerbangan itu mengumumkan akan menghentikan operasi kesemua enam pesawat A380 pada akhir tahun.

Berkemungkinan besar, pesawat itu akan dilupuskan sekiranya masih belum ada pihak berminat untuk membeli selepas setahun Malaysia Airlines mengeluarkan notis tender menjual.

A380 Malaysia Airlines pernah membuat lintas hormat bersama Sukhoi Su-30 MKM milik TUDM di acara LIMA, Langkawi.

Malaysia Airlines menerima pesawat pertama A380 pada Oktober 2012. Bagi rakyat negara ini, pesawat dua tingkat yang diberi jolokan nama Dugong Malaysia itu bukan sekadar kapal terbang biasa.

Selain penerbangan tanpa henti ke destinasi seperti London, Seoul, Tokyo, Hong Kong dan Australia, A380 juga sudah membawa ribuan jemaah ke Madinah serta Jeddah menunaikan haji dan umrah.