Tag Archives: AAPICO

Purem bekerjasama dengan AAPICO buka kilang ekzos baharu di Malaysia

PUREM by Eberspaecher dan AAPICO Hitech Public Company Limited (AAPICO) telah meraikan pembukaan rasmi kilang pertama mereka di Malaysia.

Kerjasama itu dijangka menghasilkan ekzos bagi pelbagai model kereta dari jenama-jenama terkemuka negara ini.

“Ini merupakan pencapaian penting untuk aktiviti perniagaan kami di pasaran ASEAN”, kata Rakan Kongsi Pengurusan Eberspaecher Group, Martin Peters.

“Ia menunjukkan bahawa produk dan teknologi kami untuk mobiliti bersih amat dinantikan dan kami berbesar hati bakal menyediakannya bersama rakan kongsi kami, AAPICO.”

Purem by Eberspaecher merupakan peneraju global dalam teknologi ekzos. Penyelesaian mampan dimilikinya memenuhi piawaian emisi global untuk mobiliti yang bersih dan senyap.

Bersama-sama dengan rakan kongsi usaha sama AAPICO, syarikat Jerman berkenaan kini memasuki pasaran yang terus berkembang di Malaysia dan Thailand.

“Ini merupakan pelaburan alat ganti kedua kami di Malaysia pada tahun ini. AAPICO mempunyai keyakinan terhadap masa hadapan industri kenderaan di Malaysia.

“Saya berbangga untuk membawakan Purem by Eberspaecher, antara pengeluar ekzos terbesar dan utama di dunia ke Malaysia”, kata Presiden & CEO AAPICO Hitech PLC, Yeap Swee Chuan.

Kilang baharu di Rawang meliputi kawasan seluas 4,000 meter persegi bagi pengeluaran rawatan susulan gas ekzos.

Ini termasuk apa yang dikenali sebagai peralatan hot ends iaitu penukar pemangkin (catalytic converter) dan perongga (manifold) serta peralatan cold ends iaitu peredam bunyi dan paip.

Menampilkan teknologi terkini, kira-kira 100 pekerja akan mengeluarkan dan menyediakan lebih kurang 400,000 komponen setiap tahun untuk empat model kereta berbeza bagi sebuah syarikat pengeluar automotif terkemuka di Malaysia.

Untuk masa depan, perancangan membabitkan pengeluaran selanjutnya dengan pelanggan tempatan baharu di samping perluasan teknikal di kemudahan pengeluaran bagi saduran pemangkin (catalyst).

Menerusi potensi kemudahan yang boleh diperluaskan sehingga 7,000 meter persegi dan beroperasi pada kapasiti penuh, usaha sama ini bakal menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri alat ganti di Malaysia dengan kewujudan peluang pekerjaan baharu, pengenalan teknologi terkemuka dan peningkatan kemahiran tenaga kerja, dan pada masa yang sama menyediakan sistem ekzos bertaraf dunia yang mampan kepada kalangan pengeluar OEM.

Proton, Aapico jalin kerjasama keluarkan komponen, alat ganti

PROTON baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan Aapico Hitech Public Company Limited (Aapico) menerusi anak syarikatnya, Advance Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVEE Global) untuk pengeluaran komponen dan alat ganti.

Menerusi kerjasama ini, Aapico akan mengambil alih 60 peratus pegangan dalam AVEE Global daripada Proton, manakala baki 40 peratus pegangan yang dimiliki Proton dalam syarikat itu akan dinamakan semula sebagai Aapico Avee Sdn Bhd.

Perkongsian ini akan menyaksikan Aapico, salah sebuah syarikat alat ganti kenderaan terbesar di Thailand, melaksanakan pelaburan awal sebanyak RM40 juta ke atas kemudahan seluas 20 ekar AVEE Global.

Ini akan disusuli dengan pelaburan sebanyak RM100 juta untuk perluasan kilang dan pemerolehan jentera baharu pada 2024.

Aapico akan menguruskan operasi dan memperkenalkan penggunaan teknologi baharu untuk mengeluarkan alat ganti yang lebih berkualiti, menambah baik pengeluaran dan menjimatkan kos.

Syarikat itu juga merancang untuk melaksanakan pembangunan modal insan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk menarik pekerja berkemahiran tinggi ke negara ini.

Bagi Proton, kerjasama ini mengukuhkan lagi cita-citanya untuk menjadi pemain utama dalam pasaran automotif ASEAN.

Dengan skala ekonomi dan pelaburan Aapico, serta teknologi sedia ada Proton seperti hot press forming, syarikat berkenaan berharap untuk berada di barisan hadapan dalam rantau automotif yang paling pesat berkembang di dunia.

Kerjasama strategik Aapico-Proton merupakan usaha sama kedua Aapico dalam sektor alat ganti kenderaan di Malaysia. Awal tahun ini, syarikat dari Thailand itu menandatangani perjanjian usaha sama dengan Purem, salah satu pembekal sistem ekzos terbesar di dunia.

Sebelum ini, kehadiran Aapico di Malaysia adalah menerusi perniagaan pengedaran keretanya, yang mana ia memiliki dan menjalankan operasi enam syarikat pengedar kereta termasuk empat pengedar Proton.