Tag Archives: ACO Tech

ACO Tech, MARii, dan Geno bekerjasama kaji penyelesaian blockchain untuk infrastruktur EV

PEMBEKAL mobiliti pintar, ACO Tech, telah bekerjasama dengan Geno dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bagi mengkaji penggunaan penyelesaian rantaian blok (blockchain) bagi infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Memorandum Kerjasama (MoC) itu akan meneroka penyelesaian rantaian blok termasuk kontrak pintar, pengurusan jejak digital rantaian bekalan, penyelesaian tokenomik dan teknologi perlindungan privasi bagi melengkapkan penyelesaian ACO Tech untuk Platfom Perkhidmatan Mobiliti Elektrik (EMSP).

Usaha ini boleh memastikan privasi dan hak milik data, membolehkan pengewangan data, dan memanfaatkan pelabur strategik melalui pelaburan jangka panjang.

Kecekapan dan keupayaan bersama ACO Tech, Geno, dan MARii dijangka dapat menangani kebimbangan berkaitan pemilikan EV seperti kekurangan port pengecasan dan kadar pengecasan yang tidak konsisten.

Penggunaan penyelesaian teknologi rantaian blok memperkasakan pengeluar EV, penyedia perkhidmatan, dan pemilik/pengguna untuk berinteraksi secara lebih interaktif melalui sistem lejar tidak berpusat yang tidak boleh disunting.

Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kos, meningkatkan pengalaman dan keyakinan pengguna, serta membentuk rekod penjejakan dan penyelenggaraan yang lancar.

Selain itu, ia memudahkan perkongsian tenaga dan pengecas, memastikan ketelusan sepanjang kitaran hidup produk dan perkhidmatan.

Kolaborasi ini sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR).

Kerajaan mensasarkan untuk mencapai 20 peratus EV menjelang 2030, 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.

Perjanjian ini membuka jalan bagi sektor automotif menjadi sektor pertama menggunakan teknologi rantaian blok secara meluas dalam industri di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, Li Pu berkata, “Kami teruja dengan prospek pertumbuhan sektor mobiliti di Malaysia dengan adanya sokongan Kerajaan dan polisi yang progresif.

“Kami yakin kerjasama seperti ini adalah langkah ke hadapan dalam pemerkasaan ekosistem EV yang komprehensif dan kondusif untuk Malaysia, dengan penekanan pada keselamatan.”

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz menegaskan komitmen mereka dan berkata, “Kerjasama kami dengan ACO Tech, sebuah syarikat usaha sama antara Proton, ECARX dan Altel Communications, dan Geno, merupakan langkah penting yang dapat mencorak masa depan ekosistem EV di Malaysia.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Geno, Zhang Yi Ian menyatakan kebanggaannya dengan sumbangan pasukan Geno kepada projek ini.

“Inisiatif ini merupakan aplikasi industri rantaian blok yang pertama. Matlamat utamanya adalah untuk memudahkan transformasi bagi perusahaan yang terlibat ke arah model yang berfokus pada perkhidmatan,” katanya.

“Langkah strategik ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan dengan pelanggan pengguna akhir, membolehkan interaksi yang lebih awal, mendalam, dan berkekalan,” tambahnya.

Proton DX tawar pengalaman digital kepada peminat kereta dan teknologi

ACO Tech, sebuah syarikat yang bernaung di bawah kumpulan Proton, hari ini melancarkan pusat pengalaman digital pertamanya yang dikenali sebagai Proton DX (Digital Experience).

Terletak di Quill City Mall, Kuala Lumpur, Proton DX dibuka untuk menarik peminat kereta dan teknologi dari semua peringkat usia, selain menjadi platform untuk mengembangkan minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pusat berkeluasan 5,275 kaki persegi ini menawarkan pengalaman yang unik menerusi gabungan elemen teknologi interaktif, rekreasi dan gaya hidup. Ia mempunyai enam zon iaitu Kokpit Virtual, Zon Aktiviti, Aico Cafe, Zon Gaya Hidup, ATLAS Mall dan Delivery Bay.

Sebagai tumpuan utama, Kokpit Virtual membolehkan pengunjung mengalami mobiliti pintar menerusi pemanduan maya di dalam sebuah ruang seakan teater tertutup.

Zon Aktiviti pula merupakan satu ruang interaktif di mana pengunjung boleh menikmati permainan pengesan pergerakan secara individu atau bersama keluarga dan rakan-rakan.

Selepas melakukan pelbagai aktiviti, pengunjung boleh berehat dan menikmati pelbagai minuman dan makanan di Aico Cafe.

Selain itu, pengunjung boleh membeli aneka barangan cenderahati di Zon Gaya Hidup yang menampilkan pakaian aktif unik dan barangan gaya hidup hasil kolaborasi antara Proton DX dan Joma.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh mendapatkan produk yang dijual di dalam aplikasi ATLAS Auto, serta barangan rasmi daripada jenama lain dalam Kumpulan Geely seperti Lynk & Co dan Zeekr di ATLAS Mall.

Akhir sekali, Proton DX juga mempunyai perkhidmatan penghantaran kereta khas di Delivery Bay bagi meningkatkan keterujaan pelanggan.

Proton DX dibangunkan oleh ACO Tech dengan kerjasama Proton dan China Construction Bank (CCB). Ia dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam dan terletak di Tingkat Bawah (Ground Floor), Quill City Mall, 1018, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.