Tag Archives: adventure touring

CFMoto 700MT mendarat di Malaysia – harga RM33,888

CFMoto Malaysia baharu sahaja melancarkan jentera adventure touring terbaharu 700MT untuk pasaran Malaysia, membawakan tanda harga RM33,888 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran).

Dari segi kuasa, 700MT 2025 dijana dengan enjin dua silinder 693 cc yang mampu menghasilkan kuasa 67 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 60 Nm @ 6,000 rpm.

CFMoto 700MT dilengkapi dengan sistem suspensi boleh laras yang terdiri daripada fork hadapan 43 mm jenis terbalik dengan jarak pergerakan roda 150 mm, diikuti dengan penyerap hentak tunggal dengan jarak pergerakan roda 148 mm.

Sistem brek pula menggunakan khidmat rotor berkembar 300 mm di depan, dibantu dengan rotor brek tunggal 240 mm di belakang.

Ciri bantuan tunggangan yang disertakan termasuklah ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS), dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Terdapat skrin paparan TFT sebesar lima inci yang turut menyokong navigasi pemetaan Google Maps.

Ciri lain termasuklah skrin penghadang angin boleh laras, fungsi pemanas untuk pelana dan pemegang bar hendal, pelana setinggi 800 mm dan tangki bahan api sebesar 20 liter untuk perjalanan sejauh 400 km.

Jentera adventure touring Cyclone RX650 bakal masuk Malaysia, harga jangkaan bawah RM30k

Selain daripada Cyclone RT3E, pihak MForce turut mengambil kesempatan memperlihatkan jentera adventure touring 650 cc Cyclone RX650 yang bakal masuk pasaran Malaysia kelak.

Dari segi kuasa, RX650 dijana dengan enjin parallel-twin 650 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 70 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 62 Nm @ 7,000 rpm.

RX650 dilengkapi dengan fork teleskopik hadapan jenis terbalik (USD), diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek terdiri daripada rotor berkembar di hadapan, rotor tunggal di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman (TCS).

Selain itu, RX650 mendapat teknologi seperti sistem pencahayaan LED, Cornering ABS, sistem penukaran gear pantas (quickshifter), kawalan jelajah, radar pengesan titik buta dan sistem kamera perakam tunggangan depan dan belakang.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 20 liter, rim 17 inci, tinggi pelana 820 mm, skrin penghadang angin boleh laras, serta skrin paparan TFT berwarna penuh.

Kami difahamkan harga jualan Cyclone RX650 bermula bawah RM30,000 apabila model ini masuk pasaran Malaysia secara rasmi menjelang pertengahan tahun ini.

Zontes ZT 703 F Adventure, jangkaan pelancaran pertengahan 2025

Sebuah lagi model motosikal yang bakal dilancarkan oleh pihak Zontes Malaysia pada tahun hadapan ialah jentera adventure tourer ZT 703 F Adventure.

Mengikut spesifikasi, ZT 703 F Adventure ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 700 cc yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 97 hp @ 10,000 rpm dan daya kilas 76 Nm @ 7,500 rpm.

 

Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan dan bantuan quickshifter.

Jentera ini menggunakan bahan aluminium untuk binaan casis termasuklah lengan ayun belakang, dibantu dengan sistem suspensi yang terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal belakang, kedua-duanya daripada Marzocchi.

Aspek pemberhentian menggunakan sistem brek J.Juan yang terdiri daripada rotor brek berkembar di hadapan, rotor brek tunggal di belakang serta bantuan sistem ABS dua saluran.

Ia menggunakan rim lidi bersaiz 21 inci di depan dan 18 inci di belakang.

Ciri lain termasuklah tangki sebesar 22 liter, penghadang angin boleh laras elektronik, tinggi pelana sekitar 845 mm, pemanas grip bar hendal, skrin TFT sebesar 6.75 inci, slot pengecas USB dan sistem tanpa kunci.

Selain daripada ciri elektronik seperti kawalan cengkaman, 703 F Adventure ini turut dilengkapi dengan sistem amaran titik buta di mana ia menggunakan bantuan penderia radar di bahagian belakang.

Lebih banyak perincian termasuklah harga jualan bakal diumumkan menjelang pelancaran rasminya pada tahun hadapan.