Tag Archives: aerodinamik

Apa fungsi spoiler pada kereta?

SPOILER memang cantik apabila dipasang pada kereta yang betul, namun tahukah anda yang komponen ini sebenarnya mempunyai fungsi lain selain menaikkan seri kereta?

Spoiler dinamakan sedemikian kerana tugasnya adalah untuk mengacau (spoil) aliran udara yang menjejaskan kestabilan kereta. Dalam erti kata lain, spoiler digunakan bagi mengurangkan kesan negatif aliran udara.

Populariti spoiler mula meningkat sekitar era 1960-an ketika pengeluar kenderaan sedang berlumba-lumba mencari jalan untuk meningkatkan aerodinamik kereta lumba.

Ia kemudiannya mula digunakan secara meluas pada kereta-kereta penumpang bagi membolehkan pengeluar mencapai tahap kecekapan bahan api yang lebih baik. Kereta pertama yang didatangkan dengan spoiler adalah Dodge Charger 1967.

Sebut sahaja perkataan spoiler, anda mungkin terbayangkan komponen yang nampak seperti sayap yang diletakkan pada bahagian belakang kereta.

Ya, itu memang spoiler tetapi spoiler juga datang dalam pelbagai bentuk dan saiz, serta boleh dipasang pada bahagian depan dan sisi kereta bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik.

Semakin laju kereta bergerak, semakin kuat udara yang lalu pada bahagian badannya. Udara yang masuk ke bahagian bawah badan kenderaan akan menghasilkan daya angkat (lift) yang boleh menjejaskan tahap cengkaman sekali gus menjadikan kereta kurang stabil.

Fonemena ini boleh dihalang dengan memasang spoiler atau splitter pada bahagian bampar depan. Ia akan mengurangkan jumlah udara yang lalu di bahagian bawah kereta.

Di belakang, pergolakan udara lebih kuat jadi spoiler digunakan untuk menghasilkan downforce, satu daya yang akan ‘menekan’ kereta ke bawah. Ini akan memberikan kereta lebih cengkaman dan menjadikannya lebih stabil dan lincah di selekoh.

Bagaimanapun, memasang spoiler juga ada keburukannya. Selain berat tambahan, masalah paling utama spoiler adalah ia juga menghasilkan daya seret atau drag yang boleh menjejaskan kelajuan maksimum dan kecekapan bahan api.

Selain itu, spoiler yang tinggi boleh mengganggu penglihatan pemandu terutamanya ketika melihat cermin pandang belakang ketika mengundur.

Seiring dengan perkembangan teknologi, kini pengeluar kenderaan mula menawarkan sistem aerodinamik aktif pada kenderaan mereka. Kelebihan utama sistem ini adalah ia boleh mengubah ciri aerodinamik secara automatik berdasarkan kelajuan kenderaan.

Antara komponen utama aerodinamik aktif termasuk gril depan, splitter depan, diffuser dan spoiler. Kereta pertama yang mempunyai ciri aerodinamik aktif adalah Porsche 959, diikuti dengan Volkswagen Corrado.

Wing belakang Aprilia RS-GP ini macam mainan, tapi ada kesan aerodinamik!

DALAM pada beberapa pasukan MotoGP mengurangkan saiz wing (sayap/spoiler) depan untuk mendapat kelajuan maksima di litar Mugello, Aprilia pula menambah satu wing yang inovatif di belakang.

Imej oleh: MotoGP

Wing itu dilihat di belakang jentera RS-GP penunggang ujian Lorenzo Savadori semasa sesi latihan pada Jumaat lepas.

Walaupun ciri aerodinamik ini tidak dicuba oleh Aleix Espargaro yang mencatatkan masa terpantas pada hari itu, dia menerangkan bahawa wing itu direka untuk meningkatkan beban di roda belakang, menambah baik prestasi membrek di peringkat awal:

“Saya tidak dapat mencuba wing belakang baharu itu, tapi saya dapat melihat data dari terowong angin dan ia cukup menarik,” kata Espargaro. “Ia nampak seperti pemasaran semata-mata, tetapi percayalah, ia memberi kesan.”

“Ya, ia mengingatkan anda kepada Formula Satu, tetapi ia memberi banyak kesan di beberapa tempat dan kini di MotoGP kita bercakap mengenai perincian.”

Imej oleh: Crash.net

“Kami kekurangan sedikiti berat di belakang. Ini sebabnya saya tidak dapat meningkatkan brek enjin, jadi saya meminta mereka untuk mendapatkan sedikit beban di belakang.”

“Mereka berusaha di beberapa aspek untuk menambah baik dan satu solusi ialah aerodinamik,” terangnya.

Tetapi dengan keputusan cukup baik di Mugello, Espargaro berpendapat dia hanya akan mencubanya di sesi Catalunya nanti.