Tag Archives: AES

Saman ekor boleh dipertikai di mahkamah – Pakar undang-undang

Pakar undang-undang, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menjelaskan bahawa saman tembak laju atau saman ekor berfungsi seperti Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), sah di sisi undang-undang walaupun tidak ditandatangan.

Beliau bagaimanapun berkata, penerima notis atau pemilik kenderaan yang tidak melakukan kesalahan boleh mempertikaikan saman tersebut di mahkamah.

Menurutnya, ia hanya boleh dipertikai sekiranya tidak selaras dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana peraturan bawah akta tersebut.

“Saman ekor telah dilaksanakan berpuluh-puluh tahun. Ia berfungsi seperti AES. (Namun) AES sendiri saya tidak pernah dengar ia dipertikaikan di mahkamah.

“Untuk saman ekor, pemilik kenderaan akan menerima saman melalui pos dan perlu buat bayaran. Sekiranya gagal, penerima notis boleh dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, tempoh tujuh hari diberikan dalam notis saman untuk pemilik kenderaan membuat bayaran atau menyatakan maklum balas mengenai kesalahan tersebut sebelum tindakan mahkamah diambil.

“Di mahkamah, penerima-penerima saman boleh mempertikaikan saman tersebut dengan memberi alasan (bukti) bahawa mereka tidak melalui jalan tersebut,” jelas Nik Kamal.

AWAS: Hanya 12,307 daripada 84,116 saman dijelaskan sejak 2018

SISTEM Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) masih lagi beroperasi dan mengikut kaedah serta garis panduan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, lebih RM9 juta telah dikutip hasil pembayaran kompaun menerusi AWAS sejak 1 September 2018 hingga 30 September 2021.

Jelas Datuk Henry Sum Agong, AWAS juga kini diselenggara sepenuhnya oleh JPJ sejak bulan September 2018.

“Objektif utama pelaksanaan sistem ini untuk mengubah minda serta memberi pengajaran dan kesedaran kepada orang ramai untuk patuhi peraturan jalan raya demi.

“Mulai 1 September 2018, semua aspek pengoperasian, penyelenggaraan, pembangunan dan penguatkuasaan AWAS diambil alih sepenuhnya oleh JPJ,” katanya.

Berdasarkan rekod Kementerian Pengangkutan, sebanyak 84,116 saman dikeluarkan pada 2018.

Daripada jumlah itu, 77,233 saman berkaitan kesalahan had laju manakala 6,883 membabitkan kesalahan lampu isyarat.

Bagaimanapun, hanya 10,604 individu melunaskan saman berkaitan kesalahan had laju dan 1,703 bagi kesalahan lampu isyarat.