Tag Archives: agensi penguatkuasaan maritim malaysia

Kotak hitam helikopter AW139 APMM ditemui 760 meter dari lokasi kejadian

KOTAK hitam helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) AW139 (M72-01) yang melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat pada 5 Mac lalu di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor ditemui semalam.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kotak hitam itu ditemui pasukan penyelam penyelamat Maritim Malaysia selepas misi pencarian memasuki hari ke-44.

Menurut beliau, ekor pesawat helikopter terbabit dikesan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa iaitu kira-kira 760 meter dari lokasi nahas berlaku.

“Setelah berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam itu dibawa ke makmal untuk dianalisa data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, jelas beliau, Maritim Malaysia menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan teruk.

erdahulu, katanya, operasi pencarian kotak hitam berkenaan melibatkan 21 penyelam berhadapan dengan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.

Tambah beliau, selain penyelam penyelamat Maritim Malaysia, misi pencarian kotak hitam turut disertai kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Negeri Selangor.

Fasa pertama pencarian kotak hitam pesawat berkenaan telah dilaksanakan bermula 6 Mac hingga 24 Mac lalu dengan lokasi tumpuan adalah di sekitar satu kilometer radius di kawasan helikopter terbabit melakukan pendaratan cemas.

Dalam kejadian jam 9.55 pagi itu, helikopter dengan pendaftaran M72-01 dinaiki empat anggota dan pegawai Maritim Malaysia yang melakukan latihan menyelamat, bagaimanapun, kesemua mereka dilaporkan selamat.

Helikopter yang mendarat cemas itu diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi.

Turut bersama dalam helikopter terbabit adalah seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

Gambar kredit: Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Malaysia Coast Guard)

APMM bakal terima empat unit helikopter maritim AW189 baharu

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memutuskan untuk memperolehi empat buah helikopter AW189 yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo Helicopters.

Majlis penyerahan Surat Setuju Terima bagi perolehan empat buah helikopter AW189 milik APMM  itu telah disempurnakan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi pada Selasa lepas.

Kontrak perolehan helikopter bersaiz sederhana itu telah dianugerahkan kepada Syarikat Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd, namun kenyataan di dalam akuan FB Kementerian Dalam Negeri itu tidak menyatakan kos perolehannya.

AW139 milik APMM. Gambar oleh: helis.com

Pada ketika ini, APMM mengoperasikan tiga unit AW139 yang merupakan model lebih kecil berbanding AW189, serta tiga unit AS365 Dauphin. Sementara itu, dua buah helikopter AW189 digunakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

AW189 milik JBPM.

Helikopter AW189 Leonardo Helicopters itu dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan untuk melaksanakan misi-misi yang mencabar.

Dengan berat 8,300kg hingga 8,600kg serta dilengkapi dengan dua enjin Safran atau General Electric, helikopter medium-lift itu berkeupayaan terbang selaju 294km/j.

Dengan dua krew, helikopter AW189 itu boleh membawa sehingga 19 orang penumpang. AW189 juga boleh dilengkapi dengan keupayaan untuk melaksanakan misi-misi perubatan dan menyelamat yang mencabar.

Ia adalah helikopter paling baik di dalam kelasnya dari segi kelajuan, jarak operasi dan muatannya bagi membolehkan ia melaksanakan prestasi paling tinggi dalam misi-misi SAR (Search and Rescue) dan Medical Evacuation (MEDEVAC).

Jarak operasi dan ketahanan helikopter AW189 memberikan ia kelebihan besar dalam melaksanakan misi-misi yang penting dalam menyelamatkan nyawa.

Helikopter AW189 memastikan juruterbangnya dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini dalam aspek penerbangan helikopter dan juga ciri-ciri keselamatan.

Avionik moden milik helikopter itu dengan digital glass cockpit bersepadu memberikan ia kesedaran tentang situasi tertinggi dengan set sensor yang komprehensif.

Kabin helikopter AW189 adalah paling besar di dalam kelasnya, dengan kemampuan untuk menempatkan sembilan penumpang bersama-sama tiga buah stretcher dan kelengkapan-kelengkapan penting untuk misi menyelamatkan nyawa.