Tag Archives: AHTV

DRB-Hicom, Geely tandatangani dua MoU dengan MIDA, MARii jadikan AHTV hab global NxGV

DRB-HICOM Berhad dan Zhejiang Geely Holding Group telah menandatangani dua perjanjian untuk membangunkan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak menjadi hab global untuk Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV) dan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Perjanjian pertama yang ditandatangani dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memberikan tumpuan kepada kerjasama untuk menarik pelaburan khususnya dalam pembangunan AHTV, dengan sasaran untuk memupuk pertumbuhan, keupayaan dan daya saing industri automotif negara.
Tumpuan utama kerjasama ini adalah untuk menggalakkan transformasi industri automotif tempatan dan Industri 4.0 bagi membantu Malaysia menjadi negara peneraju EEV di ASEAN.
Ia juga bertujuan mengubah AHTV menjadi hab automotif global yang akan memberikan tumpuan kepada pengeluaran NxGV, pembuatan pintar bagi komponen automotif berteknologi tinggi, serta pangkalan eksport untuk rantaian bekalan kenderaan dan alat ganti global yang lengkap.

Perjanjian kedua yang dibuat dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan memberikan tumpuan kepada kerjasama di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat untuk AHTV.

Skop kerjasama merangkumi pembinaan pusat pengujian dan R&D bagi kenderaan NxGV, serta penubuhan Pusat Pengujian dan Homologasi Negara yang khusus untuk ujian dan homologasi EEV serta pemanduan autonomi.

Selain daripada itu, pihak yang terlibat juga bersetuju untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam komponen kritikal seperti motor elektrik, sistem pengurusan bateri dan unit pengagihan kuasa dengan bantuan daripada Geely Holding.

DRB-Hicom, Geely muktamadkan rangka kerja untuk pembangunan AHTV

DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group telah menandatangani Perjanjian Kolaborasi Utama (MCA) bagi menetapkan prinsip-prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama dalam pembangunan projek Automotive Hi-Tech Valley (AHTV), termasuk peranan khusus yang perlu dilaksanakan untuk pembangunan dan inisiatif promosi.

Perjanjian ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Hartanah dan Perancangan & Strategi Korporat, Azri Zaharuddin bagi pihak DRB-HICOM dan Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Operasi, Dr Wei Mei bagi pihak Geely Holding.

Majlis tandatangan yang diadakan di Proton Tanjong Malim ini turut disaksikan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Perjanjian ini akan membawa kerjasama antara DRB-Hicom dan Geely Holding ke peringkat seterusnya. Ia adalah susulan daripada pemeteraian Dasar-Dasar Utama Perjanjian (HOA) oleh kedua-dua syarikat tersebut awal tahun ini di Forum Perniagaan Malaysia-China di Beijing.

Selain MCA, pemeteraian HOA antara Altel Communications dan syarikat pelaburan strategik Geely Holding, Zhejiang Geespace Technology  turut berlangsung.

HOA ini memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi dan akan mempercepatkan perlaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor-sektor seperti pelabuhan pintar.

Menandatangani bagi pihak Altel ialah Richard Kitts, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, manakala Geespace diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tony Wang.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, AHTV akan menarik pelaburan tempatan dan luar negara yang akan mendorongnya menjadi sebuah hab automotif antarabangsa untuk NEV.

Tumpuannya bukan sahaja kepada pengeluaran kereta pelbagai jenama, tetapi juga dalam pembuatan komponen dan alat ganti berteknologi tinggi untuk NEV. Ini akan memperluaskan lagi keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan berteknologi tinggi.

Geely akan labur USD10 bilion di Tanjung Malim – Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Geely akan membuat pelaburan sebanyak USD10 bilion (RM45.6 bilion) untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil terbesar di rantau ini.

Menurut Anwar, hasrat gergasi automotif dari China itu, yang dinyatakan menerusi surat yang disampaikan kepada beliau baru-baru ini, akan membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

“Ini pertama kali saya nyatakan Geely yang bersama-sama mengeluarkan kereta dengan Proton telah menulis surat sebanyak 10 halaman kepada saya,” katanya.

“Syarikat itu memaklumkan mahu meneruskan untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil kereta yang terbesar di rantau ini dan akan memulakan (pelaburan) sebanyak AS$10 bilion atau RM40 bilion,” tambah beliau lagi.

“Untuk apa semua ini…untuk saya ambil komisen atau hadiah? Atau untuk menjamin ekonomi kita naik dan ribuan anak kita akan mendapat kerja,” katanya.

Anwar juga berkata bahawa kerajaan Arab Saudi dan syarikat minyak dan gas (O&G) Aramco dari negara itu akan menumpukan pelaburan dan perkembangan operasinya di Malaysia.

Gambar oleh: Malay Mail

“Ketua Pegawai Eksekutif Aramco Amin Nasser berjumpa saya dan memaklumkan bahawa Aramco sekarang senang dengan dasar dan pimpinan kerajaan dan membuat keputusan untuk menjadikan Malaysia hab perkembangan O&G bagi Arab Saudi di Asia Tenggara.

“Kebetulan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunaikan haji (baru-baru ini), dan baginda duduk di sebelah Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Al Saud dan memberitahu pelaburan Arab Saudi untuk Asia tertumpu pusatnya di Malaysia,” katanya.

DRB-Hicom dan Geely jalin kerjasama, sasar tarik pelaburan RM32 bilion ke AHTV

Berikutan pemeteraian perjanjian antara DRB-Hicom dan Geely untuk membangunkan Automotive High Tech Valley (AHTV) pada April lalu, kedua-dua syarikat itu kini melanjutkan kerjasama mereka untuk menarik pelaburan menerusi Konvensyen Pelabur & Vendor Global 2023.

Diadakan di Kuala Lumpur pada 17 Julai, konvensyen anjuran Proton itu berjaya menarik lebih 200 peserta yang terdiri daripada pegawai agensi kerajaan, wakil pengurusan dari DRB-Hicom, Geely dan Proton, serta vendor tempatan dan luar negara yang diwakili oleh 42 pembekal automotif dari China.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz.

Selain menyediakan platform untuk pelabur luar negara bertemu dengan agensi kerajaan yang berkaitan serta rakan kongsi berpotensi, persidangan itu juga mempamerkan kemajuan yang dicapai di tapak projek, ketersediaan insentif kerajaan dan prospek untuk syarikat menubuhkan perniagaan baharu di AHTV.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, AHTV yang terletak di Tanjung Malim akan dibangunkan untuk menjadi hab untuk Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) serta sebuah bandar automotif bersepadu pada masa depan.

Apabila direalisasikan sepenuhnya, AHTV akan menjadi pusat penyelidikan berasaskan tropika yang diiktiraf di
peringkat global dan pembangunan komponen automotif berteknologi tinggi.

Ia juga merangkumi universiti penyelidikan yang bertujuan untuk memperluaskan keupayaan pekerja automotif Malaysia dan membantu negara menjadi peneraju serantau dalam pendidikan untuk kejuruteraan automotif, teknologi maklumat, kecerdasan buatan, dan pembangunan perisian.

Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan, DRB-Hicom, dan Pengerusi Proton

Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan, DRB-Hicom, dan Pengerusi Proton berkata konvensyen itu merupakan salah satu usaha DRB-Hicom dan Geely untuk menarik pelaburan luar negara ke AHTV dan negara, dengan sasaran untuk menarik pelaburan sebanyak RM32 bilion, termasuk apa yang telah diperuntukkan oleh Proton.

“Apabila peralihan kepada Kenderaan Tenaga Baharu semakin pantas, AHTV akan menerima perubahan landskap automotif dengan menawarkan ekosistem bersepadu yang akan membantu sektor automotif Malaysia selaras dengan hala tuju Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, yang akan memastikan negara terus bersemangat seperti negara- negara jirannya,” katanya.

Sementara itu, Proton yang telah beroperasi selama 20 tahun di Tanjung Malim, berpeluang mendapat manfaat daripada pembangunan hab automotif itu dengan memanfaatkan kehadiran pembekal teknologi tinggi.

Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Syarikat juga akan membawa faedah tambahan kepada kawasan sekitarnya apabila ia memindahkan sepenuhnya kemudahan pembuatan dan penyelidikan dan reka bentuknya di sana menjelang tahun 2026.

“AHTV akan menjadi hab NxGV serantau, tetapi Proton akan terus mempunyai kehadiran besar di sana sebagai pemilik projek ini, DRB-Hicom dan Geely, juga merupakan pemegang saham Proton,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

“Oleh itu, syarikat akan terus terlibat dalam usaha menarik pelabur luar negara ke projek ini, melaksanakan aktiviti R&D di AHTV sambil mengembangkan lagi tawaran kami, dan mewujudkan peluang pekerjaan selaku berusaha ke arah mencapai matlamat jangka panjang kami,” tambah Dr Li.

DRB-HICOM, Geely meterai perjanjian bangunkan AHTV

DRB-HICOM Berhad dan Geely telah menandatangani Dasar-Dasar Utama Perjanjian (HOA) bagi mengukuhkan jalinan kerjasama antara kedua-dua syarikat bagi fasa seterusnya.

Perjanjian ini ditandatangani di Forum Perniagaan Malaysia-China yang berlangsung sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim ke China. HOA ini bertujuan membolehkan Automotive High-Tech Valley (AHTV) dibangunkan sebagai hab kenderaan generasi akan datang di Tanjung Malim.

Menurut DRB-HICOM, AHTV akan merangkumi rantaian nilai penyelesaian automotif dan mobiliti secara meluas, daripada pusat penyelidikan dan pembangunan global berteknologi tinggi sehingga kepada kluster pembuatan dan perkhidmatan sokongan serta ekosistem yang berkaitan.

Fokus HOA tersebut ialah pembangunan bandar raya automotif bersepadu yang akan melahirkan hab bagi industri kenderaan tenaga baharu (NEV). Keluasan kawasan AHTV diaggarkan kira-kira 1,000 ekar dan boleh diluaskan lagi mengikut keperluan masa hadapan.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Sri Syed Faisal Albar bagi pihak DRB HICOM, manakala Geely diwakili oleh Daniel Li Donghui, Ketua Pegawai Eksekutif Geely Holding Group. Majlis ini disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar dan turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook dan ramai lagi.

 

Dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai kira-kira RM32 bilion, termasuk pelaburan daripada Proton. AHTV juga akan memperolehi faedah secara langsung serta tidak langsung daripada rancangan Proton untuk memindahkan semua fasiliti pembuatannya ke Tanjong Malim menjelang 2026.

AHTV juga akan mempunyai universiti penyelidikan untuk memupuk bakat baharu dan pembangunan di dalam bidang teknologi baharu untuk industri dan sektor automotif secara amnya. Ia juga akan menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan yang membolehkan pembuat kereta menguji kenderaan dalam persekitaran tropika.

Dengan trend dunia yang menjurus kepada NEV, peranan Geely dalam pembangunan AHTV adalah tepat, memandangkan pengalaman luas pembuat kereta China ini dalam sektor tersebut. Jenama utama Geely iaitu Geely Auto telah melancarkan beberapa NEV, termasuk jenama EV pintar dan mewah Zeekr.

Syarikat itu juga telah melabur dalam pelbagai teknologi bateri dan mempunyai bahagian tenaga baharu khusus yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengeluaran NEV. Syarikat tersebut telah mengumumkan rancangannya untuk melancarkan lebih daripada 30 model tenaga baharu di bawah jenama-jenamanya menjelang 2025.