Tag Archives: Aidilfitri

Diskaun saman dari 21 April hingga 21 Mei, bayar RM50 sahaja

SELAIN tol percuma dan cuti am tambahan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan kadar khas bayaran saman berjumlah hanya RM50 bagi semua saman trafik PDRM.

Tawaran ini bermula dari 21 April hingga 21 Mei 2023 dan hanya terpakai untuk saman yang dikeluarkan pada 2022 dan tahun-tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, PDRM akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.

Menurut Anwar, ini bagi memastikan kelancaran perjalanan serta keselamatan pengguna jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ini akan diikuti dengan Op Selamat 20 selama tujuh hari bermula Khamis ini (20 April) dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

“PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk memastikan laluan-laluan ‘hotspots’ seperti susur masuk dan keluar di plaza tol tidak mengalami kesesakan lalu lintas,” katanya.

PM umum tol percuma selama 4 hari, cuti am tambahan sempena Aidilfitri

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran tol selama empat hari bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurut beliau, inisiatif Tol Rahmah itu akan ditawarkan bermula 19 April hingga 21 April 2023, dan pada 24 April ini. Ia melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.

“Ikhtiar ini akan dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing, serta memudahkan perancangan perjalanan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Dalam pengumuman sama, Anwar berkata kerajaan turut bersetuju untuk memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung.

Sumber gambar: Facebook Anwar Ibrahim

“Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 21 April, maka kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu, 22 April, maka kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan.

Tambah beliau, bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri boleh mengisyitiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

Enam tips penting servis kenderaan, elak duit ‘melayang’

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kita melupakan penyelenggaraan enjin kenderaan.

Walaupun tidak dapat memandu jauh pulang ke kampung halaman, enjin kenderaan perlu tetap berada dalam keadaan baik.

Maka, di sini kami kongsikan beberapa tips perlu anda tahu mengenai penjagaan kenderaan pada musim perayaan ini.

Enam tips penjagaan kenderaan

1. Lakukan pemeriksaan minyak hitam. Ini penting kerana minyak hitam amat penting bagi memastikan kelancaran enjin kenderaan anda.

2. Cuci cermin kenderaan dengan bahan pencuci khas agar kekal dalam keadaan baik. Pada masa sama, pastikan corong air di bahagian enjin tidak kekeringan.

3. Pastikan air untuk coolant sentiasa berada pada paras sepatutnya. Ini bagi mengelak enjin menjadi terlalu panas.

4. Periksa cecair brek di bahagian enjin. Kadar cecair brek penting untuk memastikan brek berfungsi dengan sempurna.

5. Periksa cecair transmisi. Ramai yang sering lupa untuk memeriksa cecair transmisi sekaligus menyebabkan berlaku kerosakan teruk.

6. Jaga tekanan angin. Ini kerana tayar merupakan antara komponen paling penting bagi sesebuah kenderaan.

Terdapat banyak lagi tips penjagaan kenderaan yang boleh kami kongsikan kepada anda.

Untuk info lanjut sila tonton episod 5+1 Tips Mencegah Kerosakan Kereta yang kami sediakan untuk anda.

Tiada aktiviti ziarah Aidilfitri, ini filem kereta untuk anda ‘layan’

RAMAI sedia maklum berhubung pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dilaksanakan seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Tidak dinafikan keputusan itu mengecewakan sebilangan besar rakyat yang bercadang melakukan aktiviti ziarah pada 1 Syawal nanti.

Bagaimanapun, pengorbanan ini perlu dilakukan demi mengawal penularan pandemik Covid-19 yang kian menunjukkan angka membimbangkan.

Berikut antara friendly reminder prosedur operasi standard (SOP) yang perlu anda patuh ketika memandu atau menaiki kenderaan:

1. Anda dilarang merentas negeri dan daerah kecuali bagi tujuan kecemasan, kesihatan, kerja atau temu janji vaksinasi.

2. Anda tidak dibenarkan menaiki kenderaan melebihi tiga orang termasuk pemandu. Arahan ini tertakluk kepada kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

3. Anda dilarang melakukan aktiviti kunjung-mengunjung. Selain itu, ziarah kubur sempena Aidilfitri turut tidak dibenarkan.

Maka, apa aktiviti yang anda boleh lakukan pada Aidilfitri nanti?

Banyak perkara yang boleh dilakukan pada Aidilfitri antaranya termasuk menonton filem.

Di sini EnGear nak recommend beberapa ‘filem kereta’ yang boleh anda tonton:

The Fast and the Furious

Terdapat lebih sembilan episod yang anda boleh ‘layan’ masa Aidilfitri nanti.

Apa yang menarik setiap episod filem ini mempunyai tarikan tersendiri yang penuh dengan aksi mendebarkan.

Bagi penulis, The Fast and the Furious (2001) paling best terutama ketika babak Dominic Toretto (Vin Diesel) cuba merompak sebuah lori sedang bergerak.

Initial D

Movie ini diadaptasi daripada komik Jepun yang amat terkenal suatu masa lalu.

Ia berkisarkan kisah seorang anak muda bekerja dengan bapanya sebagai penghantar tauhu menggunakan sebuah kereta vintage.

Nak tahu apa jalan ceritanya? Tonton sendiri nanti ya!

Lauda: The Untold Story

Lauda: The Untold Story bukan sebuah filem tetapi merupakan dokumentari.

Dokumentari ini menceritakan kehidupan pelumba profesional Niki Lauda yang berdepan kemalangan pada tahun 1976.

Pelbagai kisah suka dan duka Lauda dapat dihayati menerusi dokumentari selama 1 jam 30 minit ini.

Cars

Filem animasi ini amat sesuai ditonton oleh seisi keluarga.

Menceritakan mengenai ‘dunia kereta’, kanak-kanak pasti menyukai filem ini yang penuh dengan elemen jenaka.

Evolution of KL Drift 2

Filem arahan pengarah Syamsul Yusof ini tidak kurang hebatnya.

Menerusi filem ini anda dapat saksikan kelibat kereta seperti Nissan 350Z, Mazda RX-7, Nissan Silvia S13 dan Toyota Supra.

Jangan terkejut kerana filem ini juga banyak mempamerkan aksi mencemaskan!

Demikian antara filem yang anda boleh tonton pada Hari raya Aidilfitri nanti.

Akhir kata, nasihat kami terus patuhi arahan pihak berkuasa.

Ia bukan sahaja hanya semata-mata kerana undang-undang tetapi paling utama untuk mengawal penularan Covid-19.

Semoga kita semua dipanjangkan usia untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan rakan taulan di tahun mendatang.

Amin!

Covid-19: Tips ziarah 1 Syawal, jangan sampai langgar SOP

HARI Raya Aidilfitri kali ini merupakan tahun kedua diraikan dalam suasana berjaga-jaga ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pelbagai prosedur standard operasi (SOP) perlu dipatuhi selain terus mengamalkan norma baharu.

Selain itu, kerajaan turut menetapkan larangan rentas negeri seluruh negara serta daerah bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, terdapat kelonggaran pada 1 Syawal yang mana aktiviti ziarah dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 15 individu berada dalam sebuah kediaman pada satu masa.

Justeru, di sini EnGear kongsikan beberapa peringatan atau tips pemanduan bagi aktiviti kunjung-mengunjung pada 1 Syawal nanti.

Lima tips ziarah Aidilfitri

1. Bilangan penumpang tidak melebihi kapasiti kenderaan

Aktiviti ziarah tidak dinafikan memang seronok dilakukan secara beramai-ramai atau berkumpulan.

Namun, anda dinasihati tidak menaiki kenderaan dengan bilangan penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.

Selain melanggar SOP ditetapkan ia juga berbahaya kerana berisiko mengundang kecelakaan jalan raya.

2. Ketahui had sempadan daerah atau negeri

Anda perlu tahu had sempadan daerah atau negeri.

Ini penting bagi mengelak secara tidak sengaja masuk ke daerah lain sekaligus berdepan tindakan undang-undang.

Nasihat kami gunakan aplikasi seperti Waze atau Google Maps untuk ketahui had sempadan daerah atau negeri.

3. Servis kenderaan anda

Walaupun tidak dapat berjalan jauh namun, pastikan kereta anda diselenggara dengan baik.

Anda pasti tidak mahu ‘tersangkut’ di tepi jalan raya sekaligus menyusahkan pemandu lain akibat kesesakan lalu lintas.

Perlu diingat kos membaiki kenderaan juga berkemungkinan lebih tinggi berbanding di luar musim perayaan.

4. Rancang perjalanan

Setiap perjalanan bagi aktiviti ziarah perlu dirancang sebaik mungkin bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Hal ini kerana kerajaan hanya membenarkan aktiviti ziarah pada 1 Syawal bagi kawasan PKP dan ia pasti mengundang kesesakan.

Tambahan pula, orang ramai tidak dapat merentas negeri atau daerah dan pasti itu akan menyebabkan berlaku peningkatan jumlah kenderaan atas jalan raya.

5. Kongsi kenderaan ketika ziarah

Sanak saudara yang ingin melakukan aktiviti ziarah 1 Syawal nanti mungkin boleh berkongsi kenderaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Tapi perlu diingat jangan sampai lebih kapasiti kenderaan pula. Tak pasal-pasal kena saman dengan encik polis pula nanti.

Kongsi kenderaan juga pada masa sama menjimatkan tenaga dan petrol. Maklumlah, harga petrol sekarang pun boleh ‘tahan’ harganya.

Demikian antara lima tips ziarah yang EnGear dapat kongsikan kepada anda.

Apa yang penting terus patuh SOP dan amalkan norma baharu kerana kita belum menang dalam memerangi Covid-19.

Anda yang tidak dapat beraya di kampung halaman pula jangan terlalu bersedih.

Gunakan handphone canggih anda untuk berhubung dengan keluarga tersayang ya!

#SelamatHariRayaAidilfitri

Anih jangka 100,000 kenderaan guna KLK, LPT1 sempena Aidilfitri

ANIH Bhd menjangkakan purata harian kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) meningkat sehari sebelum Aidilfitri sehingga 17 Mei.

Syarikat konsesi itu menjangkakan jumlah kenderaan bakal meningkat lebih 100,000.

Pengarah Eksekutif Anih Bhd berkata, pihaknya menjangkakan sejumlah 70,180 kenderaan menggunakan KLK sementara 40,250 bagi LPT1 menjelang Aidilfitri.

“Semua fasiliti di sepanjang KLK dan LPT1 mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP).

“Pengguna dinasihatkan sentiasa mematuhinya ketika menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R),” kata Datuk Nik Fauzi Nik Hussein dalam satu kenyataan.

KLK dan LPT1 merupakan antara lebuh raya paling sibuk ketika menjelang sesuatu perayaan.

Kedua lebuh raya itu menghubungkan beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Anih Bhd bersedia dalam usaha menguruskan operasi tol, trafik dan fasiliti.

Langkah terbabit dibuat memandangkan negara berdepan peningkatan kes Covid-19 yang kian membimbangkan.

Sementara itu, orang ramai ingin mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan di KLK dan LPT1 boleh layari laman web Anih Berhad atau akaun media sosial.

Miliki Volkswagen Passat R-Line untuk minyak percuma selama setahun

PANDEMIK Covid-19 tidak menghalang kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Sehubungan itu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) tampil melancarkan kempen Aidilfitri khas bagi seluruh pelanggannya.

Bermula hari ini sehingga 31 Mei, pelanggan Volkswagen berpeluang menikmati rebat duit raya sebanyak RM1,000 untuk model terpilih.

Antara model tersebut termasuk varian Passat Elegance dan Passat R-Line.

Passat Elegance hadir bersama insurans percuma selama setahun sementara Passat R-Line ditawarkan dengan petrol percuma selama setahun!

Dua varian Passat ini ditawarkan dengan penjimatan tambahan dalam talian sebanyak RM3,500 jika pelanggan menempah menerusi Volkswagen eShowroom.

Selain Passat, model Tiguan Allspace Highline 2021 juga ditawarkan dengan tawaran menarik.

Pelanggan Tiguan Allspace Highline turut menikmati rebat duit raya sebanyak RM1,000 selain penjimatan dalam talian berjumlah RM3,500.

Sementara itu, kempen raya selepas jualan VPCM pula berlangsung sehingga 13 Jun depan.

Pelanggan menghantar kenderaan untuk diservis akan menikmati potongan sebanyak 20 peratus untuk minyak enjin tulen Volkswagen.

Mereka yang berbelanja minimum RM1,200 pula akan menerima kit penjagaan kereta secara percuma.

Terdapat juga penambahan baharu bagi kempen selepas jualan raya iaitu promosi bilah pengelap cermin.

Pemilik bakal menerima diskaun sebanyak 20 peratus ke atas semua bilah pengelap cermin sehingga 30 Jun.

PKP di Selangor, pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan

PERGERAKAN rentas daerah tidak dibenarkan di seluruh negeri Selangor bermula 6 hingga 17 Mei ini.

Arahan dikeluarkan kerajaan selepas mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah negeri itu.

Antara daerah terlibat termasuk Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Bagaimanapun, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah pada 1 Syawal bagi kawasan PKP dengan jumlah tetamu tidak melebihi 15 individu pada satu masa.

Sementara itu, aktiviti ziarah dibenarkan selama tiga hari bermula 1 Syawal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Aktiviti ziara pusara tidak dibenarkan sama sekali bagi semua kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kerajaan juga melarang penganjuran rumah terbuka Aidilfitri seluruh negara tahun ini.

Rai kemeriahan Aidilfitri bersama Volvo

HARI Raya Aidilfitri telah memasuki tahun kedua ia disambut dalam situasi berjaga-jaga akibat penularan pandemik Covid-19.

Kebimbangan ini menyaksikan kerajaan masih menetapkan larangan rentas negeri bagi mereka yang ingin menyambut Aidilfitri.

Namun, bagi Volvo Malaysia ia tidak bermakna faktor keselamatan jalan raya boleh diabaikan.

Justeru, Volvo Malaysia tampil dengan kempen terbaharu sebagai tanda menghargai pelanggannya.

Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam Volvo Car Malaysia berkata, pihaknya komited memastikan keselamatan terus diutamakan menerusi kempen dan insentif menarik.

“Kami memahami perlunya mengutamakan keselamatan dan pada kesempatan istimewa Aidilfitri, kami ingin meraikan pelanggan dan komuniti yang lebih besar.

“Kami berhati-hati dengan keadaan semasa dan menyedari perlunya langkah pencegahan diambil.

“Oleh itu, tawaran baharu kami akan membantu memantapkan elemen keselamatan termasuk melalui prosedur operasi standard (SOP),” kata Akhtar Sulaiman.

Individu berminat mendapatkan kenderaan Volvo bakal menikmati pengecualian cukai jualan sehingga  30 Jun 2021.

Volvo Car Malaysia turut menawarkan kadar faedah dari serendah 1.88% dengan skim pembiayaan pengurangan baki untuk semua model barharu dalam tempoh kempen.

Pemilik baharu juga akan menerima pakej perkhidmatan penyelenggaraan selama lima tahun secara percuma (VSA 5+) bernilai RM9,200.

Eksklusif Aidilfitri bersama Volvo

Semua pemilik Volvo berpeluang mendapatkan pemeriksaan kenderaan secara percuma bermula 19 sehingga 31 Mei ini.

Selain itu, Volvo juga menawarkan cucian kereta secara percuma.

Terdapat diskaun 20 hingga 30 peratus bagi pelbagai aksesori kenderaan Volvo termasuk

Setiap pembelian (GWP) juga layak menerima dua bagasi Thule Crossover 2!

Peraduan #MYVolvoRaya

Semua pemilik kenderaan Volvo yang menerima servis pada 26 April hingga 23 Mei berpeluang mengambil bahagian dalam peraduan #MYVolvoRaya.

Pelbagai hadiah mingguan bakal diberikan termasuk produk Bowers dan Wilkins Formation Flex.

Pemilik perlu membawa kereta mereka untuk diservis dan berkongsi pengalaman unik Volvo pada borang disediakan secara dalam talian.

Pengalaman paling kreatif akan dinobatkan sebagai pemenang.

KKM cadang tangguh rentas negeri sambut Aidilfitri

HASRAT bagi kebanyakan individu yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri mungkin terpaksa dilupakan.

Memetik laporan Malay Mail, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mencadangkan pergerakan rentas negeri ditangguhkan susulan situasi pandemik Covid-19 masih membimbangkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, cadangan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor utama.

Antaranya majoriti rakyat memohon kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan rentas negeri bagi mengelak situasi lebih buruk.

Tahun lalu, Malaysia berdepan tindakan sama apabila kerajaan melarang aktiviti rentas negeri semasa perayaan Aidilfitri.

Langkah itu dibuat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac.

Untuk rekod, terdapat 1,889 kes Covid-19 semalam berbanding 1,767 pada Selasa.