Tag Archives: air asia

AirAsia kembali beroperasi di Lapangan Terbang Subang selepas 23 tahun

AirAsia memperluas semula operasinya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang. Ini sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai syarikat penerbangan terbesar di Malaysia.

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, operasi AirAsia di Lapangan Terbang Subang akan bermula dengan dua destinasi domestik iaitu Kuching dan Kota Kinabalu.

Katanya, penerbangan pertama dijadualkan bermula pada 30 Ogos 2024, menandakan pencapaian penting dalam sejarah syarikat penerbangan itu selepas 23 tahun tidak beroperasi di Lapangan Terbang Subang.

“Keputusan untuk kembali beroperasi di Lapangan Terbang Subang sebagai lapangan terbang kedua di Kuala Lumpur didorong oleh beberapa faktor dan peluang yang ditawarkan.

“Lokasi lapangan terbang ini yang berdekatan dengan pusat bandar menawarkan pengalaman perjalanan lebih mudah untuk tetamu di kawasan setempat.

“Selain itu, saiznya yang lebih kecil dan jumlah penumpang yang lebih rendah memastikan perjalanan lebih lancar untuk pengembara, sejajar dengan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman para tetamu secara keseluruhan dengan menawarkan lebih fleksibiliti dan pilihan, serta menggalakkan persaingan sihat dalam industri penerbangan negara.

“Kami optimis dengan beroperasi semula di Lapangan Terbang Subang juga akan meningkatkan rangkaian domestik AirAsia Malaysia daripada 920 penerbangan mingguan kepada 948 penerbangan mingguan dengan sejumlah 40 laluan,” katanya kepada media.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group, Tan Sri Tony Fernandes.

Fareh berkata, pihaknya optimis untuk menjadikan Subang sebagai hab keenamnya di Malaysia pada masa hadapan bagi memperkukuh rangkaian, memperluas kapasiti dan menawarkan lebih banyak destinasi kepada pelanggan.

Beliau berkata, operasi tambahan ini dijangka mendorong fasa pertumbuhan AirAsia bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh rantau ini.

“Kami berharap untuk menambah lebih banyak laluan dari Subang, terutamanya laluan antarabangsa yang kini dalam perancangan dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

”Buat masa ini kami diberi kebenaran untuk dua destinasi iaitu Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

”Kami percaya seiring peningkatan permintaan akan lebih banyak destinasi lain bakal diumumkan kelak,” katanya.

Bagi meraikan pengumuman ini, AirAsia menawarkan tambang promosi untuk penerbangan dari Subang ke Kuching bermula daripada RM88 termasuk semua sehala dan ke Kota Kinabalu bermula daripada RM99 termasuk semua sehala dan bagasi daftar masuk 15 kilogram percuma.

RM599 harga maksimum penerbangan kelas ekonomi ke Sabah dan Sarawak untuk Hari Raya Aidilfitri

KERAJAAN menetapkan RM599 sebagai harga maksimum penerbangan sehala bagi kelas ekonomi dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun ia tidak menyelesaikan keseluruhan masalahnya, namun dapat membantu lebih ramai perantau pulang ke kampung masing-masing.

“Dalam Semenanjung kita tak ada harga maksimum sebab di Semenanjung ada pilihan pengangkutan lain seperti bas, kereta api dan sebagainya, sebaliknya bagi Sabah dan Sarawak tidak ada pilihan maka kerajaan menetapkan harga maksimum,” katanya.

“Apabila kekurangan tiket, harga melambung naik, kita maksimumkan RM599, jadi sebarang kenaikan melebihi harga tersebut akan ditampung melalui subsidi kerajaan untuk tiga hari tersebut.”

Malaysia Airlines. Gambar: Malay Mail

Beliau berkata lagi, bagaimanapun pihaknya akan meminta pandangan daripada semua pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memastikan tarikh sebenar Aidilfitri sebelum penetapan harga tiket itu dilaksanakan.

“Selain harga maksimum yang sudah ditetapkan itu, ada syarikat penerbangan seperti Air Asia yang mengambil inisiatif menetapkan harga tetap tambang lebih murah namun penerbangan hanya pada waktu malam sahaja.

Dalam pada itu, ditanya mengenai terdapat individu yang menyewa helikopter untuk pulang ke kampung pada musim perayaan, beliau berkata, ia belum menjadi norma masyarakat namun perlulah disewa daripada syarikat penerbangan yang sah dan diiktiraf sahaja.

“Sebarang bentuk penerbangan di dalam negara ini perlu mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan antaranya kapal terbang atau helikopter perlu didaftarkan.

“Mesti ada hubungan komunikasi dua hala dengan menara kawalan, tidak boleh suka-suka terbang atau mendarat di mana ia suka,” jelasnya.