Tag Archives: akira

Syarikat Jepun hasilkan motosikal elektrik yang diinspirasi daripada anime ‘Akira’

Sekali imbas, anda mungkin akan menyangka ia sebuah motosikal futuristik daripada animasi Akira tahun 1988 yang direalisasikan dalam dunia nyata.

Yang sebetulnya, motosikal ini dihasilkan oleh firma rekaan daripada Jepun, Ichiban dengan mengambil inspirasi daripada motosikal fiksyen yang disebutkan tadi.

Tidak seperti motosikal fiksyen Akira, jentera dua roda Ichiban ini membawakan pendekatan yang lebih minimalis.

Selain panel badan dan penutup ruang ‘enjin’ yang bersegi, ia juga menampilkan bar hendal yang agak ringkas, lengkap dengan skrin paparan digital dengan animasi seakan permainan video era 80-an.

Ia juga turut dilengkapi dengan unit lampu utama LED berbentuk seakan pil, serta lampu belakang dengan grafik garisan melintang yang bertindih.

Akhir sekali, motosikal Ichiban ini dilayangkan dengan skema warna dua tona merah putih – sekali lagi mengingatkan kita pada motosikal daripada anime Akira.

Berdasarkan info di laman web rasmi, motosikal Ichiban ini dikuasakan oleh dua motor elektrik 6.7 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh masa 3.5 saat, dan jarak tunggangan sejauh 250 km.

Menariknya, terdapat mod “Godzilla” yang membenarkan anda mengekalkan kelajuan 100 km/j dalam tempoh 10 saat.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah sistem brek anti-kunci (ABS) dan juga kawalan cengkaman.

Harus diingatkan, jentera dua roda elektrik Ichiban ini masih lagi merupakan sebuah model konsep, namun besar kemungkinan ia akan memasuki fasa produksi prototaip sebelum dijual kepada umum.

CFMoto Papio Akira Edition mendarat di Filipina 

CFMoto telah melancarkan Papio SS edisi istimewa di Filipina yang menampilkan watak anime dan manga popular, Akira. 

Menurut CFMoto, Papio SS Akira Editio itu lahir dari kerjasama antara CFMoto dan jenama barang kemas 13 Lucky Monkey. 

Diinspirasikan dari filem anime Akira yang diterbitkan pada 1988, Papio SS tersebut menampilkan elemen dan grafik yang terdapat pada motosikal Akira yang ditunggang protagonis, Kaneda. 

Untuk itu, Papio SS ini juga datang dengan warna merah dan menampilkan pelekat yang terdapat pada Akira sekaligus mmemberikan suasana 80an. 

Pengarah Kreatif 13 Lucky Monkey, Dante Dizon mendedahkan dia merupakan peminat besar anime Akira. 

Bagaimanapun, disebalik inspirasi Akira itu aspek lain kekal sama termasuk enjin satu silinder 126cc dengan sistem penyejuk udara yang menawarkan 9.4hp pada 8,250rpm dan 9.2Nm pada 6,500rpm. Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan. 

Untuk rekod, CFMoto Papio turut ditawarkan di Malaysia dan dijual pada harga RM8,888.