Ini mungkin sekali salah sebuah contoh trak pikap yang sarat dengan bermacam-macam aksesori untuk kegunaan off-road yang boleh dijadikan sebagai panduan ubah suai.
Dihasilkan secara sekali oleh pihak Ineos Australia, Grenadier Quartermaster Kaiju (bermaksud raksasa dalam bahasa Jepun) akan digunakan untuk pelbagai acara promosi di seluruh negara itu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Terdapat beberapa nama syarikat aksesori besar yang mengambil bahagian dalam melengkapkan trak pikap ini.
Seperti contoh, pihak Norweld menghasilkan struktur kanopi pada bahagian belakang yang diperbuat daripada aluminium ringan dan turut menyediakan tangki air sebesar 40 liter, laci storan, peti sejuk Bushman sebesar 130 liter dan tempat pemegang jerry can.
Pihak Recarc pula memasang unit penyongsang 2,000W dan bateri lithium 150 Ah yang mampu bertahan lebih 5,000 kitaran pengecasan.
Keempat-empat sudut tayar dipasangkan getah mud terrain BFGoodrich KM3, dibantu dengan sistem suspensi kustom termasuklah remote reservoir electric shocks daripada JMACX.
Selain sistem pencahayaan keliling, Ineos turut memastikan tangki bahan api sebesar 168 liter turut dipasangkan pada trak pikap ini.
Akhir sekali, terdapat beberapa aksesori yang ditawarkan sendiri oleh pihak Ineos seperti bull bar, rock slider, snorkel, bateri tambahan, dan tidak ketinggalan tangga akses.
Nissan Jepun mengumumkan koleksi terbaharu barangan dan aksesori original musim bunga/musim panas yang boleh didapati di seluruh Jepun bermula 16 Mei ini.
Antara yang mencuri tumpuan penulis ialah model diecast Nissan GT-R NISMO 2024.
Di bawah pengawasan pakar, model GT-R tersebut telah dibina dengan teliti, sebelum diakhiri dengan layangan warna NISMO Stealth Gray dan kemasan gentian karbon pada sesetengah tempat.
Selain daripada itu, pemilik dan peminat GT-R juga boleh mendapatkan jam tangan chronograph GT-R berharga 71,500 yen (RM2,181) yang menampilkan binaan casis dan tali jam keluli dan muka jam yang dilindungi oleh kaca sapphire.
Difahamkan, jam tangan chronograph GT-R ini akan ditawarkan secara rasmi bermula bulan depan.
Antara barangan yang turut disenaraikan termasuklah beg tote berlogo warisan Datsun, T-shirt dengan grafik Skyline GT-R R32, R33 dan R34, keychain berbentuk penutup rim klasik, t-shirt polo, patung beruang, sandal kulit, dompet, jam dinding dan bermacam-macam lagi.
Terdapat lebih daripada 180 barangan eksklusif bertemakan Nissan, GT-R, Datsun dan NISMO yang boleh dibeli menerusi jaringan pusat pengedar Nissan, galeri ibu pejabat global, Nissan Boutique di NISSAN CROSSING, serta tidak ketinggalan kedai dalam talian Nissan.
GIVI Malaysia mengumumkan mereka memperkenalkan kotak aksesori motosikal versi Rahmah, iaitu E450N2 dengan harga RM198 sahaja. Harga sebenar untuk model ini ialah RM450.
Givi Malaysia menggunakan hashtag #satusembilanlapan di platform media sosial mereka untuk menekankan harga rendah itu, yang kurang dari separuh dari harga asal. Menurut Givi, ianya merupakan inisiatif untuk menyokong RAHMAH yang diperkenalkan kerajaan.
Kotak Givi E450N2 ini mempunyai ruang cukup besar, dan dikatakan sesuai untuk para penunggang pergi dan balik kerja, “terutamanya yang ulang-alik Johor-Singapura”, kata Givi.
Kunjungi wakil sah Givi atau Givi Point berdekatan untuk mendapatkan kotak motosikal E450N2 edisi Rahmah ini, sementara stok masih ada.
CEO Porsche, Oliver Blume turut turun padang pada acara perlumbaan Le Mans baru-baru ini. Walau bagaimanapun, beliau tidak duduk di ruang VIP dan orang kenamaan.
Sebaliknya, beliau hanya berkhemah bersama penonton-penonton lain yang berada di salah satu kawasan menonton di tepi litar. Oliver memarkir Porsche 911 Turbo S berwarna hitam di Porsche Employee Camp, dengan khemah atas bumbung kereta sports itu.
Porsche Employee Camp ialah lokasi khas untuk kakitangan syarikat itu menyaksikan perlumbaan. Oliver berkhemah di situ bersama isterinya selama dua malam semasa perlumbaan berlangsung.
Porsche memperkenalkan aksesori semua-musim itu pada tahun lepas. Ia mampu memuatkan dua orang dewasa dan hadir dengan tilam polyfoam. Ia juga mempunyai dua tingkap sisi dan satu ruang cahaya di atas.
Khemah ini turut dilengkapi dengan penghalau serangga, dan sudah tentu terdapat banyak tulisan penjenamaan Porsche padanya. Di dalam, ia menampilkan motif lukisan berbentuk gunung. Khemah ini dibangunkan dan dihasilkan oleh Porsche Tequipment, iaitu divisyen aksesori dan naik taraf.
Walaupun Oliver tampil cukup bergaya dan fancy dengan berkhemah bersama 911 Turbo S, khemah itu boleh dipadankan dengan hampir semua model Porsche, tidak kira sama ada ia mempunyai rel bumbung atau tidak.
Anda boleh memasang khemah ini pada Panamera, Taycan, Macan, dan Cayenne. Oliver tidak perlu risau akan hujan yang akan menyulitkan urusan beliau dan isterinya sepanjang perlumbaan, kerana khemah itu turut datang dengan zip kalis air dan pelapik tambahan.
Ia juga pasti cukup selesa kerana diperbuat dari fabrik campuran kapas, dan terdapat aksesori tambahan bakal menyusul seperti penebat suhu lebih baik, selimut, dan ruang simpanan kasut.
Porsche mula menjual khemah ini pada November lepas, dengan pilihan warna hitam kelabu cerah atau gelap. Ianya berharga USD7,029 (RM32.8k). Ia boleh dilipat dan disimpan dalam bekas keras.
Kami rasa ini suatu teknik pemasaran cukup baik dari Porsche kerana penampilan Oliver dengan aksesori khemah ini pasti menarik perhatian. Ia juga menunjukkan bahawa orang atasan Porsche juga meminati sukan permotoran dan ‘turun padang’ semasa perlumbaan hujung minggu.
TIDAK seperti FK8 yang kelihatan seperti robot Gundam, Honda Civic Type R generasi baharu (FL5) hadir dengan reka bentuk yang lebih matang dan bersahaja. Pemilik yang ingin menyerlahkan lagi penampilan jentera mereka tanpa membuatkannya kelihatan terlalu agresif kini boleh mendapatkan kit aksesori oleh Honda Access.
Anda mungkin perlu melihat dengan teliti untuk membezakannya dengan versi standard. Ini kerana, untuk bahagian luaran, perubahannya terhad kepada cermin sisi berwarna merah dan juga spoiler belakang yang diperbuat daripada gentian karbon.
Menurut Honda, spoiler Honda Access ini 1 kg lebih ringan berbanding spoiler standard. Ia dipasang di atas tapak yang sama namun rekaan spoiler ini lebih aerodinamik dengan bahagian tengah yang menjungkit dan panel sisi yang lebih tajam.
Untuk ruang dalaman pula, pelanggan boleh menaikkan seri kabin menerusi aksesori seperti karpet eksklusif berwarna merah, tombol gear dengan balutan kulit dan trim gentian karbon untuk konsol tengah.
Lampu lopak (puddle lamp) yang memancarkan logo Type R, pengecas wayarles, filem perlindungan cat untuk bampar dan skirt sisi, lampu LED but dan luggage tray juga disediakan.
Menurut laporan, kit aksesori Honda Access ini akan ditawarkan untuk model pasaran Jepun sahaja. Harga masih belum diumumkan.
Apa pendapat anda tentang aksesori ini? Adakah anda akan membelinya atau tunggu penawaran yang lebih sporti dan agresif seperti kit Mugen?
UMW Toyota Motor telah memperkenalkan rangkain aksesori GR (Gazoo Racing) untuk beberapa model terpilih iaitu GR Yaris, Vios GR-S, Vios dan Yaris. Kini kereta Toyota anda boleh tampil lebih dinamik dan sporti!
Semua aksesori ini boleh didapati secara eksklusif di lima GR Garage seluruh negara dan 39 cawangan GR (pengedar Toyota yang bersaing dalam siri perlumbaan Vios Challenge). Senarai alatan aksesori GR yang terlibat termasuklah:
Eksklusif untuk GR Yaris edisi terhad dan hanya boleh didapati di GR Garage seluruh negara ialah lima naik taraf penggayaan dan prestasi.
Ini merangkumi spoiler depan GR dengan lanjutan spoiler belakang, skirting sisi GR, spoiler bampar belakang GR, sports muffler GR dan set panel dalaman gentian karbon GR.
Aksesori lain turut tersedia untuk Vios GR-S, Vios dan Yaris. Ini bagaimanapun tidak termasuk butang suis penghidup GR, lencana GR serta pelapik kaki GR yang sudahpun didatangkan sebagai standard untuk Vios GR-S.
“Ketersediaan dan jualan aksesori GR ini adalah lanjutan Toyota untuk merancakkan usahanya mengukuhkan kedudukan dalam sukan permotoran di Malaysia,” ujar Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.
Presiden UMW Toyota Motors, Ravindran K. pula berkata penawaran aksesori GR ini membolehkan pelanggan menjadikan kereta mereka lebih personal dan unik, terutama mereka yang berkongsi minat yang sama dalam sukan permotoran.
Semua alatan dan aksesori GR datang dengan jaminan setahun dan untuk memastikan pemasangan yang betul, pelanggan boleh melakukannya di GR Garage dan cawangan GR yang ada.
Lima GR Garage seluruh negara termasuklah Fokus Tetap (Shah Alam, Selangor), PCM Klang Motor (Klang, Selangor), Wing Hin Auto (Balakong, Selangor), Telagamas (Kulim, Kedah) dan Mutiara Motorsports (Masai, Johor).
Untuk senarai lengkap cawangan GR pula, serta maklumat lain, layari laman web UMW Toyota Motors di www.toyota.com.my.
BERITA gembira untuk semua pemilik jentera Ducati di Malaysia.
Ducati Malaysia menawarkan diskaun sehingga 15 peratus untuk alat ganti bagi sebarang pembaikan yang tidak lagi dilindungi waranti.
Selain itu, syarikat berkenaan turut menawarkan diskaun khas sehingga 35 peratus bagi aksesori dan pakaian kepada pelanggan yang membuat temujanji.
Pengurus Besar Ducati Malaysia Dennis Michael berkata, tawaran ini sebagai penghargaan kepada para pelanggan yang sentiasa menyokong jenama itu.
“Ini adalah tanggungjawab kami kepada para pelanggan dan pemilik jenama Ducati dalam mengharungi pandemik Covid-19 yang mencabar ini,” katanya.
Foto ihsan Ducati Malaysia
Sementara itu, Ducati Malaysia turut menawarkan lanjutan masa sehingga tiga bulan bagi kenderaan yang tempoh jaminannya berakhir antara Ogos 2021 hingga September 2021.
Lanjutan jaminan ini khusus kepada pemilik jentera yang berdepan masalah menghantar motosikal untuk diselenggara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, para pelanggan dinasihatkan membuat temujanji dengan pusat servis Ducati berdekatan.
Program lanjutan jaminan berakhir 15 Oktober 2021.
DISEBABKAN ramai yang menambah aksesori dari senarai kami sebelum ini, dan ada yang meminta sambungan, ini kami beri Part 2. Aksesori kereta yang HARAM dibeli. Bukan kami jatuhkan hukum, tapi benda yang tida baik, memudaratkan, membahayakan, buat apa beli, kan?
1. Lampu brek kelip-kelip
Yang pertama ialah lampu brek jenis berkelip. Jurutera dah kira untuk semua keadaan, ambil kira pelbagai faktor termasuk psikologi, bahawa lampu brek yang menyala macam biasa itulah paling berkesan untuk beri amaran pada pemandu di belakang.
Mengapa perlu kita semakkan pemandangan orang belakang dengan lampu berkelip? Cerah pula tu.
Ya betul, kereta-kereta moden sekarang yang canggih sikit ada fungsi Emergency Stop Signal yang akan berkelip begantung kepada kadar brek. Tapi kemudian komputer akan ubah supaya lampu dia menyala kekal selepas itu.
Yang ubahsuai lampu brek berkelip ni mungkin dia tak puas beraya kot?
2. Penutup/alas papan pemuka
Mungkin penutup atau alas papan pemuka (dashboard) ini cantik di mata anda. Boleh diletakkan hiasan, susun model kereta mainan, dengan pelbagai jenis bahan. Siap ada jenis macam rumput lagi.
Tapi masalahnya, pada papan pemuka dan beberapa lagi bahagian lain dalam kereta, ada bahan letupan. Tak percaya? Beg udara kereta anda tu, rasa-rasa macam mana dia boleh dikembangkan sekelip mata semasa kemalangan?
Ya, ada bahan letupan yang melancarkan atau mengembangkannya.
Jadi, sudah tentu bukan idea yang baik untuk meletakkan sesuatu yang akan menghalang pengeluaran/letupan beg udara ini. Sama ada ia tidak akan keluar dengan sempurna atau boleh mencederakan anda.
Simpan sahaja hiasan tu di rumah.
3. Menukar warna lampu asal
Masih lagi bab lampu. Kali ni yang jenis tukar-tukar warna mentol. Ini pun penyakit tak habis nak beraya ni.
Engineer dah elok-elok buat lampu brek merah, lampu signal amber/oren/kuning, sesuai untuk semua keadaan cuaca, dia pandai-pandai tukar.
Lampu brek biru ada, signal putih pun ada. Kemudian bila brek nak masuk simpang, orang langgar sebab tak nampak. Lebih-lebih lagi waktu siang, signal putih memang tak nampak.
Yang tint lampu pun sama dalam kategori ni, mengubah warna.
Sesetengah manufacturer memang ada versi lampu smoked, contohnya Porsche varian GTS, lampu lebih gelap, tapi itu lens dia gelapkan. Bukan tint. Yang datang dari kilang dah tentu selamat buat ikut piawaian, bukan suka-suka macam kita.
4. Brek tiruan
Dalam banyak-banyak aksesori hari ini, yang ini rasanya paling bahaya; brek berjenama tiruan.
Pakai big brake kit fuh tayang Brembo, AP Racing, warna menyerlah. Amboi sedap tayang, rupanya tiruan.
Risikonya ialah cakera brek boleh retak. Ini kerana pembuat brek tiruan tidak menggunakan acuan atau ramuan yang sama dengan pembuat asli. Pembuat brek yang asli sudah tentu menjalankan kajian dan ujian untuk produk mereka.
Bayangkan turun dari Genting Highlands dan cakera rosak atau retak, faham-faham sendiri lah ya.
Kalau anda nak naik-taraf brek tapi bajet terhad, lebih baik guna sistem (hardware) brek asal, tapi dengan pelapik (brake pad) lebih berkualiti dan lebih tinggi prestasi. Ini lebih baik dari brek tiruan.
Janganlah kita abaikan komponen-komponen kritikal seperti brek kerana ia berkaitan nyawa kita, penumpang dan pemandu lain.
5. Child seat tanpa sijil ECE R44/04
Yang ini mungkin sensitif sedikit, iaitu tempat duduk kanak-kanak tanpa sijil. Kalau kita beli tempat duduk untuk anak kita, pastikan yang betul-betul selamat dengan sijil ECE R44/04.
Jika sesuatu produk itu mempunyai sijil, bermakna ia telah diuji untuk mencapai tahap keselamatan tertentu. Mungkin dengan membeli produk bersijil ini, ikhtiar kita akan memberikan perlindungan sewajarnya untuk anak kita.
Mahal? Sebenarnya bukan semua yang ada ECE tu mahal. Kalau pandai cari, bawah RM200 pun ada.
6. Mentol HID atau LED pada lampu reflector
Ya betul, mentol HID dan LED banyak kebaikan berbanding halogen. Ia lebih terang, pencahayaan lebih jauh, jimat tenaga, dan kurang panas.
Tapi, perlu tengok jenis lampu juga. HID dan LED hanya berfungsi dengan mentol jenis projektor. LED pun ada jenis reflektor, tapi jenis lain, memang direka untuk LED.
Jika lampu anda jenis halogen reflektor dan anda tukar mentol HID atau LED, cahayanya akan bersepah dan menyilaukan orang depan. Ini kerana HID atau LED mempunyai corak nyalaan berbeza dari mentol halogen.
Cara terbaik untuk nyalaan lebih baik bagi lampu halogen reflektor ialah menukar kepada mentol halogen lebih berkuasa tinggi dan lebih baik.
7. Tilam udara
Akhir sekali, tilam udara. Kenapa haram, bahaya kah?
Tilam udara sebenarnya tidak merbahaya dan kami rasa sesuai digunakan semasa berkelah atau berkhemah, semasa kereta tidak bergerak. Atau anda ada sebarang ‘urusan peribadi’, terpulanglah.
Tapi yang jadi bahaya jika benarkan anak-anak atau penumpang tidur dan berbaring semasa kereta sedang bergerak. Ini kerana sekiranya berlaku sebarang kecemasan, tiada mereka yang sedang berbaring ini tidak ‘diikat’ sebaiknya, senang berguling atau tercampak.
Tidak seperti pemandu dan penumpang depan yang duduk memakai tali pinggang keledar, lebih selamat dan mempunyai perlindungan optima.
Ya betul, kejadian buruk seperti kemalangan jarang berlaku, tapi jika sudah berlaku, minta maaf atau menangis air mata darah pun tiada guna.
Jadi, macam mana dengan senarai aksesori haram kali ini? Anda setuju?
BUKAN semua aksesori kereta yang dijual itu bagus, ada yang kurang selamat. Senang cerita kami haramkan terus lah! Jom terus tengok senarai lima aksesori yang haram dibeli.
1. Dummy seat belt clip
Ini paling kami pantang. Kenapa nak beli? Semata-mata tak tahan bunyi bising seat belt reminder (penggera tali pinggang)?
Lepas tu pandu tak pakai tali pinggang, bila kemalangan, kereta ‘ingat’ anda pakai, sebenarnya tak pakai, bila beg udara meletup, jadi lagi bahaya.
Kita beli kereta mahal-mahal mahu macam-macam sistem keselamatan, kenapa tak ‘izinkan’ ciri keselamatan itu berfungsi? Doa sahaja tak cukup, perlu ada ikhtiar sekali.
Ini haram dibeli dan dijual.
2. Removable car tint
Ya, Malaysia memang panas. Tetapi removable car tint atau filem penebat haba jenis sementara ini bahaya sebab biasanya terlalu gelap dan besar, terutamanya yang jenis plastik.
Ada yang hingga menutup separuh tingkap depan, jadi kami rasa aksesori ini lebih banyak bahaya dari kebaikan. Pemandu kurang nampak persekitaran, bahaya keluar simpang, tak nampak penunggang motosikal di luar kereta, dan macam-macam.
Kalau anda nak kabin selesa, boleh labur dengan filem penebat haba berkualiti. Tak perlu terlalu gelap, masih ikut spesifikasi JPJ, tapi mampu tapis/pantulkan UV dengan baik.
3. Steering wheel knob
Anda pandu kereta atau forklift? Jentera berat seperti forklift atau backhoe dipandu perlahan dan banyak membelok semasa bekerja, dan kadang2-kadang ada beban berat, jadi knob atau tombol ini memudahkan operasi stereng.
Kereta anda tak perlu. Kita pandu kereta pada kelajuan lebih tinggi, dan tak banyak buat belokan tajam. Sebenarnya jika anda tahu cara belok stereng dengan betul, anda takkan perlu tombol forklift ini.
Dari aspek keselamatan, tombol ini boleh menjadi bahaya sekiranya dalam situasi kecemasan atau perlanggaran.
4. Pemegang telefon stereng (steering-mounted phone holder)
Tak dinafikan zaman sekarang kita memandu berpandukan aplikasi seperti Waze dan Google Maps untuk mudah sampai ke destinasi.
Tapi perlu kita pertimbangkan untuk pasang telefon pintar kita di tempat yang sesuai dan tak mengganggu pandangan. Paling tak sesuai ialah pasang di kawasan stereng.
Dari segi praktikal, bagaimana kita nak pandang telefon dengan betul bila stereng dipusing-pusing, bukan? Selain itu, mata kita akan banyak bergerak turun naik untuk padang telefon dan jalan di depan.
Dari segi keselamatan, sama macam tombol di atas tadi, sebarang objek di stereng boleh mengundang bahaya.
Jadi cara terbaik ialah letak telefon pintar anda di kawasan pandangan mata seperti sekitar papan pemuka atau cermin depan.
5. Lampu strobe
Akhir sekali aksesori haram kita hari ini ialah lampu strob.
Jika anda tak tidur semasa kursus sekolah memandu, anda pasti masih ingat bahawa kita perlu memberi laluan kepada kenderaan kecemasan dengan lampu strob dan siren seperti kereta polis, ambulans, bomba, atau petugas-petugas keselamatan lain.
Tetapi kita sebagai orang awam tidak dibenarkan memasang lampu sebegini kerana akan mengelirukan pengguna jalan raya lain.
Jadi kalau anda berhasrat nak beli salah satu dari lima aksesori ini, janganlah teruskan. Buang saja barang itu dari cart Shopee itu.
Dan kalau anda telah beli dan sedang guna, kami sarankan buang sahaja dan lupakan terus. Sama-samalah kita jadi pemandu bijak.