JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melancarkan helikopter ambulans udara pertama yang dinamakan Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS). Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, EMARS ialah permulaan terbaik dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada setiap lapisan masyarakat selari dengan hasrat kerajaan yang menitikberatkan ketersampaian perkhidmatan agensi kerajaan ke akar umbi.
“EMARS akan digunakan untuk pemindahan mangsa dari hospital ke hospital dan memudahkan ketersampaian perkhidmatan kepada penduduk di kawasan pedalaman khususnya komuniti Orang Asli yang diketahui sukar untuk menggunakan laluan darat,” katanya.
Menurutnya, ketika ini JBPM memiliki sembilan helikopter pelbagai jenis terdiri daripada Mil Mi-17, Agusta A109E, AgustaWestland AW139 serta AW189 dan sebuah helikopter Agusta A109E akan diubah suai bagi dilengkapkan dengan kemudahan perubatan awal pesakit bagi pelaksanaan EMARS.
Turut menyerikan majlis adalah dengan kehadiran YB Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia dan YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sempena kempen keselamatan tersebut antaranya, pameran kebombaan, program mewarna Kelab 3K, agihan bubur lambuk, pameran serta pertunjukan Helikopter Bomba serta tidak lupa agihan kuih raya kepada semua Pengarah Bomba .
Sebagai tanda simbolik kempen musim perayaan, YB Tuan Nga Kor Ming telah membuat sesi pelepasan ke atas pasukan ‘Kesiapsiagaan Musim Perayaan JBPM’ yang akan bertugas di musim perayaan ini nanti.