Tag Archives: amerika

Hampir separuh pemilik EV di Amerika mahu beralih semula kepada petrol – kajian

BEBERAPA tahun lepas, pengeluar kenderaan membentangkan perancangan mereka untuk mengubah barisan model mereka kepada kenderaan elektrik (EV). Malah ada yang menetapkan tarikh untuk penamatan pengeluaran kenderaan menggunakan minyak (diesel dan petrol).

Tetapi kini banyak yang menilai semula masa depan. Jualan semakin sendu, minat pelanggan semakin berkurang, dan kini hampir separuh pemilik EV di Amerika mahu beralih semula kepada petrol. Apa yang berlaku?

Menurut kajian oleh McKinsey & Co. 2024 Mobility Consumer Pulse, mereka mendapati 46 peratus pemilik EV di Amerika Syarikat (AS) mahu beralih semula ke kenderaan petrol kerana infrastruktur pengecasan yang tidak mencukupi.

Angka ini adalah jauh lebih tinggi dari purata global 29 peratus yang mahu beralih semula ke bahan bakar fosil.

35 peratus responden global berkata rangkaian pengecasan awam belum cukup bagus. 34 peratus berkata kos pemilikan EV masih sangat tinggi, dan 32 peratus berkata EV terlalu memberi kesan kepada corak pemanduan jarak jauh mereka.

Setakat Mei, AS mempunyai 183,000 pengecas awam EV, tetapi ia masih belum mencukupi. Bipartisan Infrastructure Law pada 2021 memperuntukkan geran USD5 bilion untuk membina pengecas pantas, tetapi pelaksanaannya terlalu lama.

Sebab lain yang diberikan oleh para pemilik untuk beralih semula ke petrol ialah kerana tidak boleh mengecas di rumah (24 peratus), kerisauan mengenai pengecasan (21 peratus), dan keperluan pengecasan mobiliti (16 peratus.

Hanya 13 peratus yang berkata mereka tidak menyukai pengalaman pemanduan. Sesetengah pemandu lebih gemar memandu kenderaan enjin pembakaran, iaitu sebanyak 18 peratus di AS dan 28 peratus di Jerman.

Menariknya, rakyat Amerika bukan paling ramai yang hendak beralih semula ke petrol, tetapi Australia, dengan 49 peratus dari jumlah pemilik EV.

Kemudian Jepun pula paling sedikit, hanya 13 peratus pemilik EV mahu kembali ke petrol. Negara-negara lain dengan peratusan rendah adalah Itali (15 peratus), Perancis (18 peratus), Jerman (24 peratus), dan China (28 peratus).

Volvo S60 akan dihenti jualannya di AS, jualan sendu, beri laluan kepada EX90

VOLVO S60 di Amerika menjadi alternatif yang sepi kepada BMW 3-Series dan Mercedes-Benz C-Class. Kini sedan eksekutif itu tiba ke akhir hayatnya.

Volvo mengesahkan bahawa jualan S60 akan ditamatkan di Amerika Syarikat (AS) selepas 24 tahun, merangkumi tiga generasi.

“Selepas lima tahun Volvo Cars mengakhiri pengeluaran sedan S60 di Ridgeville, South Caroline pada Jun 2024 untuk AS dan beberapa pasaran untuk memberi fokus kepada EX90 serba baharu,” jurucakap Volvo memberitahu Motor1.

Volvo S60 generasi ketiga mula dilancarkan sebagai model tahun 2019 dan dikeluarkan di fasiliti South Carolina. Beberapa varian ditawarkan sepanjang pengeluaran, dari versi asas T5 berkuasa 252hp hinggalah model prestasi Polestar Engineered.

Berbanding pesaing-pesaingnya, jualan Volvo S60 agak sendu di AS. Jualannya tidak pernah melebihi 20,000 unit setahun. Secara purata ia dijual sekitar 10,000 hingga 12,000 unit setahun.

Sebagai perbandingan, BMW dan Mercedes masing-masing menjual 33,000 unit 3-Series dan C-Class tahun lepas.

Pada masa yang sama, penamatan Volvo S60 diharapkan membuka ruang kepada lebih banyak keuntungan buat Volvo apabila mereka memperkenalkan EX90 nanti.

EX90 ialah SUV elektrik sepenuhnya (EV) tiga-baris pertama Volvo, dibekalkan dengan bateri 111kWh dengan output 496hp dan jarak pemanduan sehingga 480km.

Honda CR-V 2022 generasi ke-6 dilancar di AS, kabin macam Civic!

HONDA CR-V 2022 serba baharu telah diperkenalkan di peringkat global. Dengan identifikasi tahun model 2023, SUV generasi ke-6 ini merupakan antara paling popular di Amerika Utara dan kini diperbaharui luar dan dalam, serta mendapat pilihan janaan kuasa hibrid.

Rupa luaran Honda CR-V 2022 menampilkan gril depan lebih besar dan lampu LED nipis. Untuk varian Sport dan Sport Touring di AS, ia mendapat gaya depan dan belakang lebih agresif.

Dari segi dimensi, CR-V 2022 ini 6.9cm lebih panjang, dan kira-kira 1.2cm lebih lebar berbanding model sebelumnya. Jarak roda juga kira-kira 4cm lebih panjang, menjadikan CR-V generasi ke-6 ini model paling besar pernah dihasilkan.

Bahagian dalam Honda CR-V 2022 – seperti dijangka – menggunakan senibina yang serupa dengan Civic FE.

Dapat dilihat di sini skrin sesentuh bersaiz 7-inci di tengah, paparan instrumen digital 7-inci, serta beberapa pilihan warna kulit mengikut trim dan varian. Paling ketara adalah corong pendingin hawa mendatar yang ‘ditarik’ hampir sama lebar dengan papan pemuka.

Apple CarPlay dan Android Auto didatangkan secara standard, selain pakej keselamatan termaju Honda Sensing. Untuk generasi terkini, ia menampilkan kamera bersudut-lebat dengan sudut pandangan 90-darjah serta radar dengan sudut pengesanan 120-darjah. Untuk pertama kali juga, Hill Descent Control didatangkan secara standard untuk CR-V.

Bergantung kepada varian, Honda CR-V dikuasakan oleh pilihan enjin petrol dan hibrid. Unit petrol adalah 1.5-liter turbo 4-silinder seperti sebelum ini, dengan output 190hp.

Unit hibrid pula merangkumi enjin 2.0-liter 4-silinder dengan 204hp dan 334Nm tork. Transmisi adalah serupa untuk kedua-dua jenis enjin, iaitu CVT.

Harga Honda CR-V 2022 belum diumumkan, tetapi ia dijangka mula dijual pada musim panas ini. Varian Sport dan Sport Touring pula menyusul menjelang hujung tahun.

Kami jangkakan ia tiba di Malaysia suku pertama tahun depan. Apa pendapat anda mengenai Honda CR-V serba baharu setakat ini?

Toyota Tundra 2022 dengan pilihan enjin V6 dan hibrid, suspensi belakang independent, Safety Sense 2.5

PERCAYA atau tidak, Toyota Tundra generasi kedua dijual di pasaran sejak 2007 lagi. Selepas 14 tahun, trak pikap saiz penuh itu akhirnya mendapat model pengganti serba baharu yang bukan sahaja tampil dengan reka bentuk yang lebih gagah, malah pilihan enjin yang lebih berkuasa serta pelbagai kelengkapan dan teknologi terkini.

Bakal memasuki pasaran Amerika Syarikat pada akhir tahun ini sebagai model 2022, Tundra generasi ketiga dibina di atas platform F1 dengan kerangka steel-ladder berkekuatan tinggi dan bed yang diperbuat daripada aluminium komposit.

Penggunaan platform baharu ini membolehkan Toyota menggunakan suspensi multi-link pada bahagian belakang bagi menggantikan suspensi leaf spring pada model terdahulu. Gandingan kerangka yang lebih tegar dan suspensi baharu ini memberikan Tundra kapasiti muatan maksimum 880kg dan kapasiti menunda maksimum 5,443kg, iaitu 11 dan 17.6 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Suspensi hadapan pula adalah jenis double wishbone yang ditala untuk meningkatkan kestabilan ketika memecut di laluan lurus, di samping berupaya mengurangkan olengan badan sebanyak 25 peratus ketika membelok. Penyerap hentak tiub berkembar pada suspensi hadapan dan belakang disertakan secara standard.

Bagaimanapun, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan pakej TRD Off-Road yang merangkumi penyerap hentak Bilstein. Mereka yang memilih pakej TRD Pro pula akan mendapat penyerap hentak Fox, serta beberapa penambahbaikan berfokuskan prestasi off-road seperti bar penstabil hadapan, skid plate aluminium, plat perlindungan bawah badan dan tayar all-terrain Falken.

Tundra akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol twin-turbo V6. Yang pertama adalah enjin i-Force 3.5-liter Dual-VVTi yang menjana 389hp dan 649Nm.

Pilihan yang kedua iaitu i-Force Max menggunakan enjin V6 yang sama namun dengan teknologi hibrid yang terdiri daripada sebuah motor elektrik yang terletak di antara enjin dan transmisi dan bateri Ni-MH 288V di bawah tempat duduk penumpang belakang. Ia mempunyai kuasa keseluruhan sebanyak 437hp dan 790Nm.

Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik ECTi 10 kelajuan dengan mod penukaran gear manual, mod Tow/Haul serta mod Sport dan Sport+ untuk i-Force Max. Bergantung kepada varian, Tundra juga didatangkan dengan Multi-Terrain Select, fungsi Crawl Control yang bertindak sebagai kawalan luncur pada kelajuan rendah dan Downhill Assist Control.

Kelengkapan yang ada pada trak ini tidak tertumpu pada prestasi off-road semata-mata. Sistem multimedia serba baharu yang disertakan tidak kurang hebatnya, dengan pilihan skrin berukuran lapan- atau 14-inci, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, fungsi arahan suara Intelligent Assistant, kemaskini perisian secara atas udara (OTA) dan pelbagai lagi. Turut disertakan adalah kluster instrumen digital 12.3-inci.

Juga dititikberatkan adalah sistem keselamatan, di mana Toyota Safety Sense 2.5 disertakan secara standard pada semua varian Tundra. Antara ciri yang disertakan termasuklah Pre-Collision System dengan pengesanan pejalan kaki, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Auto High Beam dan Road Sign Assist.