BARISAN Mercedes-AMG GT generasi kedua kini semakin berkembang dengan kehadiran varian baharu yang dikenali sebagai GT 63 Pro 4Matic+.
Ditala khas untuk mereka yang gemar menyertai track day, GT 63 Pro boleh dibezakan menerusi lubang ambilan udara yang lebih besar dan pemesong udara pada bahagian hadapan.
Seperti Mercedes-AMG One, kereta ini juga mempunyai pemesong udara pada bahagian bawah badan bagi mempercepatkan lagi aliran udara.
Digabungkan dengan sistem kawalan udara aktif Airpanel pada apron depan dan spoiler tetap, Mercedes berjaya mengurangkan 30 kg daya angkat (lift) pada gandar depan dan menambah 15 kg daya turun (downforce) pada gandar belakang.
Ia juga didatangkan sekali dengan pakej gentian karbon dan rim AMG Performance 21 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 5 berukuran 295/30 di depan dan 305/30 di belakang. Pelanggan boleh mendapatkan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2R tanpa sebarang bayaran tambahan.
Sebahagian besar ruang kabin dikekalkan standard namun untuk Pro, Mercedes menambah tempat duduk AMG Performance dan stereng AMG Performance yang dibalut kulit Nappa dan mikfrofiber Microcut.
Enjin 4.0-liter twin-turbo V8 kini menghasilkan 612 PS dan 850 Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 27 PS dan 50 Nm berbanding GT 63 bukan Pro.
Dengan transmisi AMG Speedshift sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, ia hanya memerlukan 3.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 312 km/j.
Untuk memastikan ia boleh beraksi di litar tanpa sebarang masalah, Mercedes meletakkan dua radiator tambahan pada bahagian kiri dan kanan dapra untuk membantu menyejukkan trenkuasa.
Selain itu, terdapat juga sistem penyejukan aktif untuk differential depan dan belakang, dan plat pelindung brek yang direka semula untuk mengalirkan lebih banyak udara ke bahagian brek.
Bercakap tentang brek, GT 63 Pro dilengkapi dengan cakera seramik berukuran 420 mm pada gandar depan, iaitu cakera seramik paling besar yang ditawarkan oleh Mercedes-AMG. Ia digandingkan dengan angkup enam piston di depan dan angkup piston tunggal di belakang.