Tag Archives: AP Terbuka

Pekema gesa kerajaan kawal jumlah syarikat AP Terbuka

KERAJAAN digesa mengawal ketat jumlah syarikat yang diberi permit import (AP) terbuka bagi memastikan industri automotif negara kekal berdaya saing.

Presiden Persatuan Pengimport Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Mohamed Nazari Noordin mencadangkan agar cadangan untuk melantik lebih banyak syarikat AP terbuka dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

“Pemilihan yang teliti perlu dilakukan untuk memastikan hanya syarikat-syarikat yang mampu menyumbang positif kepada industri automotif diberi peluang, dengan penekanan kepada kualiti berbanding kuantiti.

“Keutamaan harus diberikan kepada syarikat yang benar-benar layak dari segi pengalaman dan modal.

“Pekema bimbang sekiranya syarikat yang dilantik tiada pengalaman, ini boleh mengakibatkan mereka mengalami kerugian kerana kereta import terpakai ada susut nilai yang ketara,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) semalam mengumumkan pelaksanaan Dasar AP Terbuka yang lebih telus dan inklusif berkuatkuasa 1 Julai 2024, yang membolehkan mana-mana syarikat Bumiputera, termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif memohon menjadi syarikat AP Terbuka.

Empat syarat utama dikenakan ialah syarikat berkenaan berstatus Sendirian Berhad; pemilikan 100 peratus Bumiputera; mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta; dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun

Syarikat bumiputera boleh mohon AP Terbuka mulai 1 Julai

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan bahawa mulai 1 Julai, syarikat bumiputera boleh mula memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia.

Menurut MITI, langkah itu adalah selaras dengan usahanya untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka. Permohonan itu terbuka kepada mana-mana syarikat Bumiputera termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif.

“Pelaksanaan dasar ini dijangka menarik lebih banyak syarikat bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif. Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Selasa.

Syarat utama permohonan ialah syarikat perlu berstatus sendirian berhad, pemilikan 100 peratus bumiputera, mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

Justeru, syarikat bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan boleh merujuk di https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796 bagi mendapatkan garis panduan, borang permohonan dan senarai semak.

Tambah MITI, objektif utama kerajaan adalah untuk terus memperkasakan agenda sosio-ekonomi bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan bumiputera yang berdaya saing untuk terlibat dalam sektor automotif.

Menurut kementerian itu, dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak 1970 telah berjaya melahirkan syarikat bumiputera yang berdaya maju, bukan sahaja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan malah juga dalam aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik.

Dasar tersebut merupakan antara dasar berkaitan bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara seperti yang ditetapkan Dasar Ekonomi Baharu.