Tag Archives: APAD

Kementerian Pengangkutan sedia laksana ‘proof of concept’ e-hailing motosikal

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya terbuka kepada maklum balas mengenai penilaian semula perkhidmatan e-hailing motosikal.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk melaksanakan proof of concept (POC) perkhidmatan e-hailing motosikal, termasuk mana-mana permintaan daripada pengendali yang berhasrat melakukan ujian lapangan (sandbox) untuk perkhidmatan berkenaan.

“Sekiranya terdapat mana-mana pengusaha yang ingin membuat ‘sandbox’ atau projek perintis yang serupa, kami terbuka untuk menjalankan POC sekiranya Putrajaya dapat mengenal pasti kawasan yang sesuai,” kata Loke.

Bagaimanapun, beliau menganggap budaya di Malaysia tidak terlalu cenderung kepada perkhidmatan e-hailing motosikal, namun tidak menolak yang tanggapan beliau itu mungkin tidak tepat.

“Sekiranya POC berjaya, saya terbuka dengan idea ini dan berharap ia dapat membantu meringankan beban pengangkutan batu pertama dan batu terakhir (first-mile and last-mile),” jelas Loke.

Tambah beliau lagi, perbincangan untuk kelulusan POC akan diadakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Perkhidmatan Awam Darat (APAD) sekiranya terdapat permohonan dikemuka.

Sistem pendawaian tidak teratur punca insiden renjatan dalam bas ekpres

Laman berita Bernama melaporkan sistem pendawaian elektrik yang tidak teratur merupakan antara punca insiden renjatan elektrik dalam sebuah bas ekspres yang berlaku tempoh hari.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, selain itu sistem pendawaian dalam bas tersebut dilakukan oleh pihak yang tidak mendapat tauliah daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).

Laporan awal oleh Pasukan Petugas Khas juga turut mendapati sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket dipasang secara terbalik.

“Pendawaian bas ini baharu, tetapi apa yang dikenal pasti oleh pasukan ini ialah ada pendawaian tidak teratur menyebabkan ia tidak selamat, iaitu pendawaian soket dipasang secara terbalik jadi ada input dan output terbalik.

“Voltan yang tinggi dikeluarkan melalui soket tersebut dan bila voltan itu mengalir dalam badan mangsa menyebabkan kematian berlaku. Itu yang kita kenal pasti antara punca insiden ini berlaku,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

gambar hiasan. Sumber: KTM ETS

APAD sebelum ini telah mengeluarkan larangan penggunaan soket 3-pin dan USB dalam semua bas ekspres pada 6 Nov lepas yang berkuat kuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan baharu dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Syarikat pengendali digalakkan untuk menghantar bas berkenaan menjalani pemeriksaan pendawaian tambahan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Suruhanjaya Tenaga. Sekiranya lulus mereka boleh serahkan kepada APAD untuk guna semula soket itu,” katanya.

Bagi proses pelesenan, APAD juga mewajibkan syarikat pengendali bas baharu dan sedia ada mengemukakan keputusan laporan atau sijil pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.

Mereka juga perlu mengemukakan laporan pendawaian dan kelengkapan elektrik tambahan, contohnya kabel, soket alur keluar dan peranti arus baki yang digunakan semua kenderaan perdagangan.

Pada masa sama, Loke berkata pihaknya sedang membangunkan satu garis panduan pendawaian tambahan baharu bagi semua syarikat pengendali bas yang dijangka siap sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.

Had usia teksi, e-hailing kini dinaikkan kepada 15 tahun

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) hari ini mengumumkan bahawa pelanjutan had usia penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing di seluruh negara kini telah dinaikkan kepada 15 tahun.

Dalam satu kenyataan, APAD memaklumkan bahawa langkah itu sejajar hasrat Kementerian Pengangkutan untuk melestarikan industri teksi dan e-hailing ke arah penambaikan sistem pengangkutan negara.

Menurut agensi itu lagi, pelanjutan tersebut terguna pakai bagi kenderaan dalam kelas lesen teksi dan e-hailing yang telah mencapai had usia maksimum bermula 1 Jan tahun ini.

Antara syarat lain ialah semua kenderaan yang akan diberi kelulusan tersebut mematuhi dan melepasi semua syarat pemeriksaan berkala wajib Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), selain mematuhi syarat operasi lain yang ditetapkan bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan, keselesaan pengguna dan imej industri terjamin, menurut kenyataan itu.

“Sehubungan itu, pihak APAD berharap pemain industri teksi dan e-hailing dapat meningkatkan mutu perkhidmatan seterusnya menjadikan perkhidmatan ini sebagai mod pilihan rakyat yang diyakini dan berkualiti,” katanya.

Maklumat dan pertanyaan lanjut boleh didapati di laman portal rasmi APAD iaitu www.apad.gov.my atau hadir terus ke pejabat APAD berhampiran.