Proton mengumumkan bahawa Apple CarPlay kini tersedia untuk pemilik Proton X70 2025 yang dilancarkan pada Ogos lalu. Ini menjadikan X70 model pertama Proton untuk menerima ciri sambungan yang popular itu.
Menurut jenama automotif nasional itu, Apple CarPlay untuk X70 2025 boleh didapati menerusi kemas kini Over-the-Air (OTA) mulai 16 Oktober 2024.
Bermula daripada tarikh ini, pemilik kereta akan menerima notifikasi OTA secara berperingkat dan mereka hanya perlu mengikuti langkah-langkah berikut untuk memuat turunnya ke dalam kenderaan mereka:
Langkah 1: Muat turun dan pasang
Pakej kemas kini perisian akan dimuat turun sebaik sahaja ia tersedia untuk kenderaan pelanggan. Pengguna perlu memastikan enjin berjalan sehingga muat turun selesai.
Setelah selesai, pengguna boleh memulakan pemasangan pada bila-bila masa mengikut keselesaan mereka. Setelah pemasangan dimulakan, pengguna perlu memastikan enjin berjalan sehingga kemas kini perisian selesai.
Langkah 2: Sahkan versi perisian
Kemas kini perisian yang berjaya boleh disahkan di Tetapan Kenderaan di bawah [Maklumat Sistem] > [Tentang IHU]. Versi sistem terkini adalah SW3RBA10925H1141.
Versi ini mengandungi Apple CarPlay, prestasi sistem yang dipertingkat, serta pelbagai pembetulan pepijat untuk pengalaman pengguna yang lebih baik.
Langkah 3: Boleh mula guna
Dengan kemas kini perisian terkini dipasang, pengguna boleh menikmati kemudahan Apple CarPlay dengan memasangkan iPhone mereka, sama ada melalui sambungan USB ataupun tanpa wayar (Bluetooth).
Setelah iPhone berjaya dipasangkan ke sistem, pengguna boleh melancarkan antaramuka Apple CarPlay dengan menekan ikon.
Dengan kemajuan teknologi dan juga persaingan yang semakin sengit, pengeluar kenderaan cuba memuatkan sebanyak mungkin ciri dan kelengkapan di dalam kenderaan masing-masing bagi menambahbaik pengalaman pemanduan dan menarik minat pembeli.
Sebelum ini, kami telah senaraikan tujuh ciri yang tidak berguna. Kali ini, jom kita lihat pula ciri-ciri terbaik yang kami rasa patut ada pada semua kereta:
Apple CarPlay/Android Auto
Seperti yang kita semua sedia maklum, penggunaan telefon pintar semasa memandu adalah salah satu punca utama kemalangan jalan raya. Dengan menyambungkan telefon ke skrin sistem infotainment kereta, pemandu boleh membuat panggilan, memainkan muzik dan menggunakan sistem navigasi tanpa perlu melepaskan tangan mereka dari stereng. Bonus jika kereta yang kita beli didatangkan dengan Apple CarPlay/Android Auto versi tanpa wayar.
Fungsi memori untuk kerusi pemandu
Jika anda berkongsi kereta dengan pasangan atau sesiapa sahaja, mengubah posisi kerusi pemandu pastinya menjadi rutin biasa setiap kali sebelum memulakan perjalanan. Dengan fungsi memori, ini bukan lagi satu masalah kerana setiap pemandu boleh menyimpan posisi pemanduan masing-masing dengan hanya menekan satu butang.
Kamera 360 darjah
Percaya atau tidak, saiz kereta semakin lama semakin besar atas faktor keselamatan dan juga keselesaan. Tidak percaya? Anda boleh bandingkan saiz Honda City generasi terdahulu dengan generasi sekarang. Atas sebab ini, kami rasakan kamera 360 darjah sangat penting kerana ia dapat membantu pemandu memandu kereta dengan lebih tepat selain memantau keadaan sekeliling kenderaan bagi keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Pemantau titik buta
Kenderaan-kenderaan seperti SUV, MPV atau trak pikap mempunyai kawasan titik buta yang lebih besar berbanding sedan atau hatchback. Sistem pemantau titik buta dapat mengatasi masalah ini, sekali gus menjadikan pemanduan lebih selamat dengan memberikan amaran visual atau audio kepada pemandu sekiranya terdapat kenderaan lain di dalam kawasan titik buta tersebut.
Kemasukan tanpa kunci dan Walk Away Auto Lock
Ini adalah antara ciri yang cukup digemari oleh penulis. Dengan kemasukan tanpa kunci, pemandu tidak lagi perlu menekan butang pada kunci untuk membuka pintu. Anda hanya perlu letak kunci di dalam poket atau beg dan buka pintu seperti biasa. Fungsi Walk Away Auto Lock pula bertindak untuk mengunci pintu secara automatik sebaik sahaja anda berlalu pergi. Sangat berguna untuk mereka yang pelupa.
ADAS
Penulis adalah seorang yang old school, bermakna penulis kebiasaannya cuba mengelak daripada terlalu bergantung kepada ciri-ciri moden semasa memandu. Namun perlu diakui bahawa ciri-ciri Advanced Driver-Assistance Systems (ADAS) seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Adaptive Headlights dan banyak lagi sebenarnya sangat berkesan dalam menjadikan pemanduan lebih selamat.
Pencahayaan ambien
Benar, pencahayaan ambien atau ambient lighting adalah satu ciri yang bersifat estetika semata-mata. Dalam erti kata lain, kegunaannya hanya satu iaitu untuk membuatkan ruang kabin nampak lebih cantik. Namun setelah memandu pelbagai jenis model dari pelbagai jenama, penulis mendapati pencahayaan ambien sangat berkesan dalam membangkitkan mood dan menghilangkan rasa mengantuk semasa memandu pada waktu malam.
SEPERTI industri-industri lain, industri automotif telah mendapat banyak manfaat daripada kemajuan teknologi. Dari dahulu hingga ke hari ini, kepelbagaian inovasi yang dibawa ke hadapan oleh para pengeluar telah menjadikan pemanduan semakin efisien, seronok dan selamat.
Namun ketika syarikat-syarikat kereta berlumba-lumba memperkenalkan teknologi terkini kepada pengguna, tidak dinafikan ada di antara rekaan yang dihasilkan tidak membawa sebarang kelebihan kepada pemanduan, malah menyusahkan serta mengganggu tumpuan pemandu.
Pada pendapat penulis, ini adalah tujuh ciri kereta yang paling tidak berguna:
Integrasi aplikasi pemesejan
Sistem seperti Apple CarPlay dan Android Auto sangat berguna jika anda inginkan akses cepat ke aplikasi navigasi seperti Waze dan penstriman muzik seperti Spotify. Tetapi fungsinya tidak terhad setakat itu sahaja – ia juga boleh membaca dan membalas mesej yang anda terima dalam aplikasi Whatsapp atau Telegram menerusi arahan suara. Ini sudah tentu akan mengganggu tumpuan pemandu.
Arahan suara
Fungsi arahan suara direka untuk membantu pemandu mengawal fungsi-fungsi tertentu kereta tanpa perlu menggunakan tangan. Bunyi macam bagus tetapi berdasarkan pengalaman penulis, ada sistem arahan suara yang sukar mengenal pasti dialek Bahasa Inggeris yang dituturkan oleh pemandu Malaysia, jadi keseluruhan proses menjadi lebih rumit dan akhirnya, pemandu tidak dapat menumpukan perhatian.
Kawalan gestur
Ini satu lagi ciri yang tidak ada kegunaan sebenar selain menjejaskan tumpuan pemandu di jalan raya. Fungsi sistem ini sama sahaja dengan arahan suara tetapi ia tidak menggunakan suara, sebaliknya pergerakan tangan untuk melakukan kerja-kerja mudah seperti menguatkan atau memperlahankan radio atau menerima panggilan. Apa salahnya guna butang dan tombol yang dah disediakan?
Meter daya G
G-Force (G untuk graviti) ialah ukuran pecutan, yang dicipta apabila objek memecut, memperlahankan atau menukar arah. Di dalam pesawat, meter daya G penting supaya juruterbang tahu yang mereka tidak melangkaui batasan semasa membuat penerbangan. Di dalam kereta? Ia hanya digunakan untuk menunjuk-nunjuk sama sesi track day.
Pengecas tanpa wayar
Kebanyakan, kalau bukan semua, kenderaan masa kini didatangkan dengan port pengecas USB Type A dan Type C bagi membolehkan penumpang mengecas peranti mereka ketika berada di dalam kereta. Kabel sudah cukup baik untuk pengecasan namun kabin boleh menjadi agak berselerak. Oleh itu, pengeluar mula meletakkan pengecas tanpa wayar di dalam kabin. Bagus cuma ia mengambil masa yang lama untuk mengecas dan selalunya, telefon akan menjadi panas.
Auto Start/Stop
Foto: bestride.com
Sistem ini direka khas untuk menjimatkan penggunaan bahan api namun cara ia beroperasi sangat mengganggu pemanduan, terutamanya ketika memandu di dalam trafik yang agak sesak. Malah, perkara pertama yang penulis lakukan apabila mengambil kereta pandu uji adalah dengan memadamkan fungsi ini. Berapa banyak sangat petrol yang dapat dijimatkan dengan sistem ini? Belum lagi sentuh bab wear and tear.
Pendingin hawa yang boleh dikawal menerusi skrin sentuh
Semakin lama, jumlah butang dan tombol fizikal yang digunakan di dalam kereta semakin berkurangan. Semua fungsi kini disepadukan di dalam sistem infohibur dan hanya boleh diakses menerusi skrin sentuh. Pendekatan ini memang berkesan dalam menghasilkan kabin yang lebih kemas tetapi sebagai pemandu, fungsi-fungsi tertentu seperti pendingin hawa masih memerlukan kawalan secara fizikal bagi membolehkan kami mengekalkan tumpuan di jalan raya.
Siapa yang ada memiliki peranti pintar Apple iPhone sudah pasti arif dengan sistem Apple CarPlay yang diintegrasikan dalam kebanyakan kenderaan masa kini – ringkas dan mudah untuk digunakan.
Generasi baharu Apple CarPlay telah pun diperlihatkan pada tahun 2022, di mana Apple merancang untuk mula menawarkannya secara rasmi pada tahun ini.
Berbanding sistem sedia ada yang dihadkan kepada skrin infohibur semata-mata, generasi baharu Apple CarPlay telah direka supaya dapat disesuaikan dan diintegrasikan untuk semua jenis kenderaan yang mempunyai jumlah skrin paparan melebihi dua unit.
Ini bermakna, selain daripada skrin tengah anda juga boleh menukar paparan skrin kluster digital dan skrin tambahan dengan antara muka CarPlay yang lebih moden dan seragam.
Generasi baharu CarPlay ini mempunyai satu ciri unik, ia menawarkan fungsi penyesuaian (customization) yang lebih meluas di mana pelbagai kandungan dinamik boleh disusun dan dipaparkan mengikut keperluan dan cita rasa.
Paling penting, anda boleh memilih untuk menggunakan pelbagai jenis rekaan grafik meter analog untuk dipaparkan pada skrin di belakang stereng bagi mengubat kerinduan terhadap ciri meter analog klasik yang kini diambang kepupusan.
Sistem terbaharu ini juga dikatakan mampu untuk menyokong pelbagai fungsi kenderaan termasuklah kawalan iklim, pilihan mod pemanduan, tetapan bantuan pemandu, kawalan kamera dan sebagainya, bergantung kepada bagaimana pengeluar menetapkan sistem tersebut untuk berfungsi.
Setakat ini, dua pengeluar sudah mengesahkan akan menawarkan sistem Apple CarPlay generasi baharu ini pada kenderaan mereka, iaitu Aston Martin dan Porsche.
Anda boleh mengetahui dengan lebih mendalam sistem terbaharu Apple CarPlay ini menerusi penerangan Pereka Antara Muka Manusia Apple CarPlay, Ben Crick pada pautan video YouTube dibawah: