Tag Archives: Ativa

Honda WR-V RS boleh buat Perodua Ativa tak duduk senang? – Pandu uji

BILA Honda Malaysia mengumumkan tidak akan membawa masuk BR-V generasi baharu, ramai netizen yang mengeluh kerana merasakan mereka perlu sebuah kenderaan tujuh tempat duduk mampu milik.

Segmen ini – selain Honda BR-V – juga dihuni oleh Mitsubishi Xpander, Toyota Avanza, Perodua Alza, dan Perodua Aruz. Ada pengeluar yang menggelarkan model mereka sebagai crossover, MPV, malah SUV.

 

Bagi penulis, kesemuanya dalam segmen yang sama, gelaran hanya diberi berdasarkan rupa dan bukannya fungsi. Tapi cerita kita hari ini ialah ‘pengganti’ BR-V, iaitu WR-V.

Seperti yang anda telah ketahui, WR-V ialah model segmen-A atau B kompak dengan rupa SUV, dan berkapasiti lima tempat duduk. Ini menjadikannya pesaing kepada Perodua Ativa.

Adakah Honda berpendapat pembeli mereka tidak mahu lagi MPV/crossover tujuh tempat duduk dan mahukan SUV kompak, atau Honda tidak mahu Perodua memonopoli pasaran SUV segmen-A?

Rupa trendy

Sebelum menjawab soalan di atas, kita lihatkan beza harga. Honda WR-V ditawarkan pada harga bermula RM89,900 untuk varian S, tetapi varian RS yang kami uji ini berharga RM107,900. Ativa pula berharga antara RM62,500 hingga RM72,600.

Sudah tentu Ativa lebih mampu milik kerana hadir dengan enjin berkapasiti lebih kecil selain tarafnya sebagai pengeluar kereta nasional.

Tetapi jika diamati penggayaan Honda WR-V, penulis dapati ianya direka untuk memenuhi kehendak dan minat golongan muda masa kini. Trend SUV menular dari segmen lebih atas (C, D, premium) dan kini tiba ke segmen-A. Lihat sahaja Toyota Corolla sedan dengan Corolla Cross, yang mana lebih mudah dijumpai?

Penulis suka rupa keseluruhan WR-V ini kerana ia nampak segar tetapi pada masa yang sama ada ‘family look’ dengan model-model Honda lain. Lampu depan LED mirip City lengkap dengan signal sequential, gril dengan titik-titik krom memberikan rasa premium, pembuka pintu belakang tersorok seperti HR-V, kemudian lampu belakang dengan garisan nyalaan seperti Civic FE.

Saiz WR-V ini terasa cukup-cukup sahaja, sempurna untuk kegunaan keluarga muda yang tinggal di bandar.

Kabin potong ‘stim’

Jujur kata, penulis mula-mula masuk ke dalam WR-V ini rasa sedikit kecewa. Entah kenapa, tapi kabinnya seperti ‘kosong’.

Bila diteliti balik, sebenarnya okay sahaja untuk harga ini. Cuma mungkin penulis terbawa-bawa dengan kecantikan badan luaran, jadi penulis ada harapan tinggi untuk bahagian dalaman.

Banyak plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu, tetapi terdapat elemen hitam glos dan merah dengan balutan kulit lembut di papan pemuka bahagian kiri, sedikit sebanyak menyerikan pemandangan.

Jelas kabin WR-V ini setaraf dengan City walaupun tidak serupa sepenuhnya. Jika dibandingkan, kabin HR-V lebih mempunyai rasa ‘wow’, setaraf dengan Civic. Tetapi harga pun dah jauh berbeza, bukan.

Kelengkapan Honda WR-V ini cukup banyak sebenarnya, ia mendapat kemasan kulit dengan jahitan merah, paddle-shifters, pedal sports, paparan TFT 4.2-inci di antara dua meter analog, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dua soket USB, dan barisan ciri keselamatan Honda Sensing.

 

Tempat duduk pula cukup selesa, penulis tiada rungutan untuk bab ini. Kabin juga terasa lapang di depan dan belakang, Honda memang sentiasa cemerlang memanfaatkan ruang yang ada.

Penawaran semua ini jelas menunjukkan Honda memahami kehendak dan trend pembali mereka masa kini. Spesifikasi semuanya memberikan cukup pilihan bagi mereka yang berkeluarga kecil dan golongan muda yang baru bekerja.

Pemanduan berorientasikan selesa, tetapi…

Honda WR-V dikuasakan oleh enjin 1.5-liter i-VTEC yang kita sudah kenali, ia menghasilkan 119hp dan 145Nm tork. Kuasa dihantar ke roda depan menggunakan transmisi CVT, pakej yang sama seperti Honda City.

Jadi, gaya pecutannya mirip model sedan dan hatchback itu, ramai yang sudah terbiasa dan memang ianya okey. Penghantaran kuasa terasa cukup responsif dan linear, CVT Honda merupakan antara yang terbaik untuk segmennya, bagi penulis.

Bezanya, Honda WR-V ini lebih tinggi dari City. Selain dari lebih mudah keluar dan masuk, anda akan dapat pandangan depan lebih jauh dan meyakinkan. Tetapi talaan suspensi adalah lebih lembut dari sedan, jadi olengan badan lebih jelas.

Bagus juga sebegini, kerana akan mengingatkan anda supaya tidak terlalu laju di selekoh. Yang penting, keselesaan lebih utama untuk WR-V ini.

Cuma satu isu kecil buat penulis, kerana didapati agak kerap penulis melawat stesen minyak. Bukan kerana enjinnya tidak jimat, mungkin kerana tangki minyak WR-V ini yang tidak begitu besar.

Kecekapan enjin elok sahaja, penulis dapat 13.5km per liter secara purata walaupun tidak terlalu mencuba. Tetapi tiada info berkenaan kapasiti tangki minyak WR-V ini yang dapat dijumpai, tidak mengapalah.

Apa pun, untuk perjalanan jauh, ciri keselamatan aktif dari Honda Sensing seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist System (LKAS), dan Auto High beam (AHB) sangat membantu mengurangkan ‘beban’ kepada pemandu.

Honda faham pembeli Malaysia?

Untuk kita jawab semula persoalan di atas tadi, bagi penulis, dua-dua sebenarnya. Honda faham keperluan pembeli mereka masa kini, dan juga mereka tidak mahu biarkan Perodua terlalu selesa dalam segmen SUV kompak ini.

Hal ini pastinya bagus untuk pengguna. Anda ada pilihan membeli model jenama tempatan, atau tambah sedikit untuk model bukan nasional. Pilihan seperti biasa, bukan?

Jadi, ada yang masih rindukan BR-V?

Spesifikasi Honda WR-V RS

Harga: RM107,900
Enjin: 1.5-liter i-VTEC 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: CVT
Kuasa: 121hp @ 6,600rpm
Tork: 145Nm @ 4,300rpm

Honda WR-V rasmi tiba di Malaysia, bermula dari RM89,900

SATU model yang ditunggu-tunggu tahun ini dari Honda telah dilancarkan, iaitu WR-V. Ianya sebuah SUV segmen-B dalam kelas yang sama dengan Perodua Ativa.

WR-V juga mengambil tempat BR-V yang generasi baharunya tidak dibawa masuk ke Malaysia, walaupun kedua-dua model ini merupakan kenderaan berbeza (BR-V 7 tempat duduk, WR-V 5 tempat duduk).

Baik, kita terus fokus ke WR-V. Empat varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga seperti berikut:

WR-V 1.5 S: RM89,900
WR-V 1.5 E: RM95,900
WR-V 1.5 V: RM99,900
WR-V 1.5 RS: RM107,900

Dari segi dimensi, ia berukurans 4,060mm panjang, 1,780mm lebar, dan 1,608mm tinggi. Sebagai perbandingan dengan Ativa, WR-V ini 5mm lebih pendek, 70mm lebih lebar, dan 27mm lebih rendah. WR-V juga mempunyai kelegaan tanah sebanyak 207mm dan ruang kargo 380 liter.

Nadi kepada Honda WR-V ini ialah unit 1.5-liter DOHC i-VTEC dengan 121hp dan 145Nm tork. Output disampaikan ke roda depan melalui transmisi CVT.

Antara ciri pada WR-V (bergantung kepada varian) adalah lampu depan LED dengan DRL LED, rim 16- atau 17-inci, auto-lock, paparan instrumen analog dengan skrin MID 4.2-inci, enam pembesar suara, tempat duduk kombinasi kulit-fabrik, stereng balutan kulit, dan pendingin hawa automatik.

WR-V juga didatangkan dengan kamera undur pelbagai paparan, paddle-shifter, dan sistem Honda Connect. Ciri keselamatan pula terdiri dari Honda Sensing, ADAS, LaneWatch, dan enam beg udara.

Pilihan warna untuk SUV kompak ini termasuklah Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl, Stellar Diamond Pearl, Meteoroid Grey Metallic dan Crystal Black Pearl.

Honda Elevate dilancar di India: SUV kompak dengan 1.5 i-VTEC, pilihan 6MT

PASARAN SUV dan crossover segmen-B di India kini begitu hangat. Baru-baru ini Hyundai Exter dilancarkan, bersaing dengan model-model lain seperti Kia Seltos, Volkswagen Taigun, dan Maruti Suzuki Grand Vitara.

Kini pemain terbaharu pula dilancarkan iaitu Honda Elevate, dan India merupakan negara pertama di dunia mendapat model itu. Honda Elevate ini mempunyai saiz mirip Perodua Ativa di negara kita.

Ia ditawarkan dengan enjin petrol buat masa ini, tetapi dikhabarkan varian EV akan menyusul dalam masa tiga tahun. Dari segi dimensi, ia berukuran 4,312mm panjang, 1,790mm lebar, dan 1,650mm tinggi dengan jarak roda 2,650mm.

Honda berkata rekaan Elevate menggunakan tema “bold and masculine” atau lantang dan maskulin. Oh ya, walaupun bersaiz kompak, kapasiti kargonya tidak mengecewakan, sekitar 458 liter.

Elevate dipacu oleh enjin 1.5-liter i-VTEC dengan 119hp dan 145Nm tork, dihantar ke roda depan. Pelanggan di India boleh memilih sama ada menggunakan kotak gear manual 6-kelajuan atau automatik CVT.

Walaupun merupakan model bajet dan kompak, spesifikasinya cukup tinggi. Ia dilengkapi bumbung suria berkuasa, pengecas telefon tanpa-wayar, skrin infotainmen 10.25-inci, dan pendingin hawa belakang.

Terdapat juga soket kuasa 12V di depan dan belakang, kamera undur, serta pelbagai ciri keselamatan terkini di bawah Honda Sensing. Tempahan Elevate akan dibuka pada Julai, dan harga juga kan diumumkan kemudian.

Berminat? Untuk pasaran Malaysia, Honda akan menawarkan model kompak WR-V dan pelancarannya tidak lama lagi. Nantikan laporan kami bila kami mendapat info lanjut.

Hyundai Exter dengan saiz Ativa dilancar untuk India, RM32k sahaja

CROSSOVER paling kecil Hyundai yang ada di pasaran Malaysia ialah Kona yang hadir dengan enjin 2.0 naturally-aspirated, 1.6 turbo, dan EV. Tetapi di India, terdapat model SUV yang lebih kecil iaitu Exter.

Ia menampilkan rekaan kompak dan berkotak berserta imej rugged dengan cladding plastik di sekeliling badan dan skid plate depan. Warna utamanya ialah Ranger Khaki yang disulami dengan kemasan hitam di atas termasuklah rel bumbung.

Crossover terbaharu Hyundai ini mempunyai panjang kurang empat meter, dan diposisikan di bawah Venue yang juga dijual di India.

Dari beberapa imej yang tersiar, dapat dilihat Hyundai Exter dilengkapi dengan lampu DRL LED berbentuk-H, dan lampu utama petak yang mengapit gril di tengah. Yang agak janggal ialah, namanya dieja di bampar depan, di bawah kemasan hitam yang menghubungkan dua DRL.

Kita belum dapat melihat rupa belakang Exter buat masa ini, tetapi yang jelas ia mempunyai tiang belakang bertekstur. Crossover segmen-A ini juga mendapat ruang tingkap yang besar dan rim aloi dwi-tona.

Untuk enjin, Hyundai India berkata Exter 2023 akan didatangkan dengan unit 1.2-liter petrol yang digandingkan dengan kotak gear manual 5-kelajuan atau AMT. Terdapat juga 1.2-liter yang boleh diisi dengan CNG (gas asli termampat), juga dengan manual 5-kelajuan.

Jualan dijangka bermula pertengahan tahun ini, dengan pilihan varian EX, S, SX, SX(O) , dan SX(O) Connect. Harga pula sekitar 600,000 Rupee (RM32,523), menjadikannya kira-kira 20 peratus dari harga Kona dan Creta di sini.

Hyundai Kona N Line: “Tekan tekan preggy” versi Korea – Pandu uji

BEBERAPA tahun selepas pengenalan Perodua Ativa, bilangan pemilik semakin ramai dan group-group Facebook semakin aktif, banyak lah gelagat dan kerenah dapat kita lihat.

Selain seronok dan teruja dengan SUV berenjin turbo, timbul pula satu trend yang nampaknya telah menjadi meme, iaitu “tekan, tekan preggy”. Bunyi semacam?

Ayat ini kami percaya asalnya adalah “tekan, tekan pergi” untuk menunjukkan kemampuan pecutan Ativa yang mempunyai prestasi agak menarik walaupun berenjin 1.0-liter. Tetapi kemudian mungkin telah berlaku typo “pergi” menjadi “pregi”, maka lahirlah ayat di atas tadi.

Penulis tidak mahu ulas terlalu panjang mengenai hal ini, tetapi kenapa perkara ini disebut dalam laporan pandu uji Hyundai Kona N Line?

Sebabnya penulis rasa Kona N Line ini ibarat SUV “tekan, tekan preggy” versi Korea. Sama seperti Ativa, model ini merupakan SUV kompak, dan mempunyai enjin turbo.

“Nuleuda, nuleuda gasoghada”

Nadi kepada Kona N Line ini ialah enjin 1.6-liter turbo petrol dengan output 195hp pada 6,000rpm dan 265Nm tork pada 1,800rpm.

Kona N Line diasaskan dari varian 1.6 turbo yang duduk di atas varian permulaan 2.0, cuma N Line digayakan dengan kit badan dan rupa lebih sporti. Kami ada pandu uji Kona 2.0 Active kira-kira setahun lepas.

Rupa pada N Line ini mirip dengan Kona N berkuasa 280hp dan 392Nm yang tidak masuk pasaran kita. N Line ialah versi ‘lebih lembut’, sama seperti AMG Line dan M Sport. Apa pun, Kona N Line ini tetap menawarkan prestasi cukup mengujakan untuk segmennya di sini.

Sebagai perbandingan, Honda HR-V 1.5 turbo menghasilkan 174hp dan 240Nm, manakala Mazda CX-3 2.0 menjana 154hp dan 204Nm. Proton X50 hampir menyamai kuasa Kona N Line ini, dengan 175hp dan 255Nm.

Itu dari segi angka, tapi bagaimana dengan ‘feel’ pemanduannya? Pengeluaran kuasa itu dapat kita nikmati dengan lebih jelas disebabkan enjin Kona N Line ini dipadankan dengan kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan.

Ianya berbeza dengan Kona 2.0 naturally-aspirated yang menggunakan kotak gear automatik 6-kelajuan jenis torque converter. Pecutan Kona N Line adalah lebih direct, terasa lebih clean, malah pertukaran gear jauh lebih pantas.

Semasa upshift, ia tidak menyentap sehingga membuatkan kita rasa tidak selesa atau seolah-olah kotak gear itu didera. Ia masih lancar, tetapi downshift pula cukup sporti, lengkap dengan blip enjin seperti kereta sports.

Bercakap mengenai enjin, ia memberikan bunyi sporti terutamanya semasa cold start. Pertama kali penulis menekan butang Start sewaktu mengambil kereta ini, terdetik “wow” di dalam hati, seperti memberi singkapan awal mengenai prestasi keseluruhan Kona N Line ini.

Kemudian apabila jalan raya mulai berliku, kita dapat rasakan talaan stereng dan suspensi Kona N Line jelas berbeza dari Kona biasa.

Sterengnya lebih berat dan ketat. Semasa penulis mula memandu keluar kereta ini dari perkarangan Hyundai Sime Darby di Ara Damansara, melalui beberapa selekoh sahaja sudah dapat memberikan keterujaan.

“Ok, ini lain macam. Bukan biasa-biasa,” detik hati penulis. Tidak disangka pula perbezaannya agak ketara dari Kona 2.0.

Talaan spring dan penyerap hentak lebih kemas dan tegap, mengingatkan penulis kepada model-model MINI. Gandingan stereng, suspensi, enjin dan kotak gear mampu memberikan kepuasan.

Ibaratnya jika anda sebelum ini semasa bujang memandu hatchback seperti Volkswagen Golf 1.4 atau Polo GTi, atau Honda Civic Type-R (FD2 dan FN2), kemudian sudah berkeluarga, penulis jamin pemanduan Kona N Line dapat mengubat rindu anda terhadap pemanduan penuh sensasi itu.

Jika dilihat pada spesifikasi atas kertas juga memang sukar untuk menjustifikasi harga lebih RM150,000 untuk crossover segmen-B keluarga ini, tetapi bila memandu lebih laju, anda sedar kemana duit dan pelaburan anda pergi.

Praktikal untuk kegunaan seharian?

Dari segi praktikaliti, biasa-biasa sahaja Hyundai Kona N Line. Tiada yang terlalu istimewa, tetapi tiada juga rungutan dari penulis.

Ruang kabin cukup okay, luas dan selesa untuk empat orang dewasa. Ruang kargo juga agak baik, 361 liter. Walaupun model paling sporti dalam kelasnya, tetap tidak mengorbankan aspek ini, ruang kargo Kona lebih besar dari Proton X50 dan Subaru XV.

Pemilihan bahan seperti model-model Hyundai lain, cukup baik. Hyundai Kona N Line tidak berpura-pura menjadi crossover premium atau luas, tetapi ‘berterus-terang’ dengan imej sporti.

Tempat duduk kulitnya berwarna hitam dengan beberapa bahagian mendapat permukaan baldu seperti Alcantara, serta jahitan merah. Begitu juga dengan papan pemuka, roda stereng dan tombol gear. Semuanya hitam berjahitan merah. Cukup jelas.

Penulis cukup suka dengan ergonomik tempat duduk dan pelarasan stereng. Mudah untuk mendapatkan posisi yang sedap dipandu untuk semua keadaan, sama ada ke kedai runcit atau melayan selekoh tajam.

Satu sahaja rungutan dari aspek praktikaliti pada Kona N Line ini ialah dari segi menu sistem keselamatannya.

Kelengkapan keselamatan aktif padanya dikira hampir setanding dengan pesaingnya, dilengkapi dengan ciri seperti Autonomous Emergency Braking dan Lane Departure Warning berserta Steering Assist.

Memang bagus, cuma bila kita tak perlukan sistem-sistem ini contohnya semasa memandu dalam bandar, kitab oleh matikannya, tetapi tetapan ini tidak kekal. Sebaik kita matikan enjin dan hidupkan semula, semua sistem ini akan aktif semula.

Bagi penulis ianya agak menjengkelkan jika kerap keluar masuk kereta untuk pemanduan dekat, dalam bandar yang sibuk. Tak dinafikan sistem-sistem ini berguna bila memandu dalam perjalanan jauh dan di lebuh raya.

Siapa patut beli?

Hyundai Kona N Line ini kami rasa sangat sesuai untuk mereka yang mahukan kelainan, tak sama dengan orang lain, dan yakin dengan pilihan sendiri. Crossover ini juga sesuai untuk mereka yang mahukan pemanduan paling sporti untuk kategori ini.

Spesifikasi Hyundai Kona 1.6 N Line

Harga: RM156,888
Enjin: 1.6-liter turbo 4-silinder suntikan terus bahan api
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 195hp @ 6,000rpm
Tork: 265Nm @ 1,800rpm

TAS 2023: Toyota Hiace dan Perodua Ativa versi retro dari Alpine Style

JIKA anda peminat modifikasi kereta moden bertemakan retro, maka anda perlu tengok hasil kerja terbaharu Alpine Style ini.

Mereka mempersembahkan Carica dan Havana di Tokyo Auto Salon 2023 (TAS 2023), iaitu versi retro bagi van Toyota Hiace dan SUV Perodua Ativa (Toyota Raize dan Daihatsu Rocky).

Carica

Nama Carica merupakan singkatan dari “California Dreaming Car”, kini menukar rupa Hiace menjadi seperti sebuah van Scooby Doo.

Terdapat dua versi bagi Carica ini, pertamanya gaya Amerika dengan warna badan dwi-tona, panel putih dan bahagian krom pada gril, bampar, cermin sisi, belakang, dan rim. Gaya Euro pula mendapat bampar brushed dan kemasan hitam di bahagian lain badannya.

Di dalam kabin pula menampakkan teknologi Alpine. Terdapat skrin infotainmen 11-inci, cermin pandang belakang digital 12-inci, dan paparan 12.8-inci untuk penumpang belakang.

Sistem audio juga jenis fancy, dengan stereo dinaik taraf berserta lampu. Ciri tambahan pula adalah khemah yang boleh dikembangkan di belakang untuk anda bermalam.

Havana

Havana pula mengambil inspirasi dari kenderaan-kenderaan lama di ibu negara Cuba. Toyota Raize (Perodua Ativa) itu dilengkapi komponen gaya retro seperti gril, perumah lampu depan, dan bampar krom. Di bawah lampu depan terletaknya DRL LED dan lampu isyarat.

Di dalam pula, aksesori Alpine merangkumi paparan infotainmen 9-inci dan cermin pandang belakang digital 12-inci. Sistem audio juga dinaik taraf, manakala paparan untuk penumpang belakang merupakan aksesori tambahan.

Harga permulaan untuk Carica adalah sekitar 4.98 juta Yen (RM168k) manakala untuk Havana pada 3.98 juta Yen (RM134k).

Honda WR-V dilancar di Indonesia – SUV kompak 1.5L, inilah pesaing Perodua Ativa

INDONESIA menjadi negara pertama di dunia menerima Honda WR-V serba baharu. SUV segmen-B ini lebih kecil dari HR-V dan menjadi pesaing kepada Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, iaitu kembar kepada Perodua Ativa.

WR-V mempunyai ukuran dimensi 4,060mm panjang, 1,780mm lebar, dan 1,608mm tinggi. Sebagai perbandingan dengan Ativa, WR-V ini 5mm lebih pendek, 70mm lebih lebar, dan 27mm lebih rendah. WR-V juga mempunyai kelegaan tanah sebanyak 220mm dan ruang kargo 380 liter.

Nadi kepada Honda WR-V ini ialah unit 1.5-liter NA dengan 121hp dan 145Nm tork. Output disampaikan ke roda depan melalui transmisi CVT.

Antara ciri pada WR-V (bergantung kepada varian) adalah lampu depan LED dengan DRL LED, rim 16- atau 17-inci, auto-lock, paparan instrumen analog dengan skrin MID 4.2-inci, enam pembesar suara, tempat duduk kombinasi kulit-fabrik, stereng balutan kulit, dan pendingin hawa automatik.

WR-V juga didatangkan dengan ciri keselamatan seperti Honda Sensing, ADAS, LaneWatch, dan enam beg udara. Pilihan warna untuk SUV kompak ini termasuklah Taffeta White, Meteoroid Gray Metallic, dan Crystal Black Pearl. Warna Stellar Diamond Pearl dan Ignite Red Metallic pula hanya untuk varian RS.

Untuk harga, Honda WR-V dijual pada harga bermula Rp.271.9 juta (RM82k) untuk E, hingga Rp.309.9 juta (RM94k) untuk RS dengan Sensing.

Sebagai perbandingan, Honda HR-V di Malaysia bermula pada harga RM114,800 manakala Perodua Ativa berharga antara RM62,500 hingga RM72,600.

Perodua mulakan kajian pengguna dengan Ativa Hybrid Subscription

PERODUA akan memulakan kajian kenderaan elektrik (EV) pertamanya serta mobility jangka panjang melalui kajian pasaran perkhidmatan melibatkan 300 pelanggan bagi Ativa Hybrid.

Kajian ini terbahagi kepada dua bahagian, yang pertama untuk memahami tingkah laku pemanduan berkumpulan kenderaan hibrid di lokasi seperti Lembah Klang, Johor Bahru, dan Pulau Pinang.

Tujuan lain adalah untuk memahami penerimaan para pengguna terhadap perkhidmatan “langganan” 5-tahun, yang ditawarkan kepada pelanggan di bawah EZ MOBi.

“Perodua Ativa Hybrid adalah kenderaan terbaik untuk kami mendapatkan pandangan unik tingkah laku rakyat Malaysia sebagai kumpulan terawal, kerana data ini akan digunakan untuk mengenalpasti keperluan para pelanggan kami apabila menggunakan EV,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’Sri Zainal Abidin Ahmad.

Perodua Ativa Hybrid menggunakan sistem hibrid bersiri dimana set motor elektrik menggerakkan roda kenderaan manakala enjin bertindak sebagai penjana kuasa untuk mengecaj bateri.

Model ini menggunakan enjin 1.2-liter (WA-VEX), bateri 4.3Ah, dan transmisi HEV Transaxle baharu. Pakej ini membolehkan Ativa Hybrid mendapat kecekapan sehingga 31.3km per liter (berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia).

Beliau berkata, program perintis oleh Perodua ini juga akan membolehkan syarikat itu melihat tahap penerimaan para pelanggan terhadap program langganan jangka panjang sebagai alternatif kepada pembelian dan pemilikan tradisional kereta.

“Walaupun kami percaya bahawa pemilikan kenderaan masih lagi menjadi perniagaan utama kami, namun ada kemungkinan perniagaan langganan kenderaan ini diterima oleh lebih ramai pengguna dalam masa terdekat.

“Inilah yang kami maksudkan dengan ‘langganan’ – satu perkhidmatan yang mana semua kewajipan lain untuk memiliki kenderaan seperti jadual servis, insurans dan pembaharuan cukai jalan akan diuruskan sepenuhnya oleh kami.

“Apa yang pelanggan perlu lakukan ialah membayar yuran langganan untuk menikmati pakej tersebut,” tambah Dato’ Sri Zainal.

Langganan Perodua Ativa Hybrid

Berminat? Anda tidak boleh beli Perodua Ativa Hybrid ini, sebaliknya hanya ditawarkan dalam program langganan.

Mereka yang layak perlu membuat bayaran RM2,150, dan diikuti RM500 dalam bulan-bulan berikutnya. Ya, itu sahaja.

Bayaran dibuat selama 5 tahun atau 100,000km, yang mana dahulu.

Seperti program-program langganan kenderaan lain, anda tidak perlu risaukan perkara-perkara seperti insurans, cukai jalan, penyelenggaraan dan servis. Sebaliknya, kesemua ini akan diuruskan oleh Perodua.

Selepas 100,000km atau 5 tahun itu tadi, anda harus memulangkan Ativa Hybrid kepada pihak Perodua. Oh ya, model ini merupakan unit CBU dari Jepun dan hanya ditawarkan dalam warna Pearl White.

Dari segi kosmetik, terdapat beberapa perbezaan luaran dan dalaman antara Ativa Hybrid dengan model biasa yang dijual di bilik pameran.

Antaranya adalah rekaan bampar depan dan belakang, rim baharu dan menggunakan lima skru (rim Ativa biasa menggunakan empat skru), dan tiada sebarang identifikasi varian di belakang, hanya tulisan “ATIVA”.

Di bahagian dalam, Ativa Hybrid dilengkapi brek parkir elektronik, sistem pendingin hawa automatik digital, dan beberapa corong udara dalam kabin untuk menyejukkan bateri hibrid di bawah tempat duduk belakang.

Ativa Hybrid juga tidak mempunyai tayar ganti, sebaliknya ruang di bawah tempat kargo menempatkan bateri (yang biasa diletakkan di ruangan enjin), dan kit membaiki tayar di dalam dinding kanan ruang kargo.

5 pandu uji pilihan Engear sepanjang 2021

JIKA semalam kami ada tulis senarai pelancaran pilihan sepanjang tahun, kali ini Amirul mahu berkongsi lima pandu uji paling bermakna untuk 2021.

Ayat romantik? Bukanlah… Paling bermakna di sini mungkin bermaksud pandu uji itu sangat unik dan istimewa yang mungkin akan diingati untuk satu tempoh yang lama.

Tidak semestinya kereta itu berharga RM1.1 juta atau berkuasa 650hp, pandu kereta biasa pergi adventure bersama kawan pun boleh jadi bermakna.

Tanpa berlengah lagi, jom tengok kereta pertama!

1. Perodua Ativa

Ini bukan sahaja penting untuk Perodua, tetapi Ativa akan diingati kerana ia membawakan satu pakej yang jauh maju ke depan dari model-model lain pengeluar itu.

Dengan enjin turbo pertama, kotak gear D-CVT, padat dengan teknologi dan ciri keselamatan, serta rupa yang cukup moden dan bergaya membuatkan Amirul hampir menyambar satu. Harga pun boleh tahan.

Perodua Ativa juga mengubah persepsi mengenai kemampuan sebenar pengeluar nasional yang berpangkalan di Rawang itu, membuatkan kami tidak sabar menunggu produk mereka yang akan datang.

2. Suzuki Swift Sport

Suzuki Swift Sport ini ada yang menepati jangkaan, ada yang di luar jangkaan penulis. Yang menepati jangkaan ialah betapa luasnya kabin walaupun sebuah hatchback sporti dan betapa menjimatkan minyak jika dipandu secara biasa.

Tetapi yang di luar jangkaan ialah betapa selesa kereta ini walaupun mempunyai pengendalian mantap, serta betapa lazatnya stereng Swift Sport ini. Sterengnya cukup tepat dan responsif lalu menyumbang kepada keseluruhan kepuasan pemanduan.

Bukan kuasa dan pecutan semata-mata, tetapi maklumbalas dan feel stereng juga penting untuk kereta sebegini. Suzuki Swift Sport membuktikan anda tidak semestinya perlu kuasa 300-400hp untuk berseronok.

3. Porsche Taycan

Kereta ketiga ini sedikit istimewa, kerana ianya elektrik sepenuhnya (EV) iaitu Porsche Taycan. Lebih istimewa lagi, kami dapat memandunya di Litar Antarabangsa Sepang, tempat paling sesuai untuk meneroka kebolehan sebenar kereta ini.

Semua varian telah kami uji di Sepang, dari Taycan 4S, Taycan Turbo hingga yang paling berkuasa, Taycan Turbo S. Dengan dua motor elektrik berkuasa tinggi di gandar depan dan belakang, Porsche Taycan menjanjikan pecutan 0 ke 100km/j dengan kepantasan sebuah supercar, kira-kira 3 hingga 4 saat sahaja.

Pemanduannya juga cukup solid seperti sebuah Porsche biasa 911 atau Cayman, dapat menakluki selekoh-selekoh di litar Sepang dengan cukup meyakinkan dan selamba. Kira tak segan lah kalau parkir Porsche Taycan ini di acara track day bersebelahan dengan Mitsubishi Evo, Ferrari 458 atau Mercedes-AMG C63.

Dalam acara sama pemanduan Taycan, Amirul juga diberi peluang memandu 911 GT3 terbaharu. Nikmat enjin NA (naturally-aspirated) tekan hingga 9,000rpm itu lain macam…

4. Land Rover Defender

Amirul tidak pernah memandu Land Rover atau Range Rover terkini sebelum ini. Tetapi pernah memandu Land Rover Defender klasik beberapa tahun lepas.

Jadi, pengalaman pemanduan Land Rover Defender 2021 dikira sangat unik walaupun hanya untuk tempoh masa yang singkat.

Ada yang berkata dengan harga permulaan sekitar RM800,000 dan padat dengan teknologi, ‘sayang’ untuk memandunya di laluan off-road mencabar. Tetapi harus diingat, semua Land Rover direka untuk mampu mengharungi laluan lasak.

Jadi jika diberi peluang, pasukan Engear akan cuba pandu Defender ini masuk jalan kebun!

5. Toyota Harrier

Amirul jarang sukakan SUV tetapi Toyota Harrier dirasakan wajar tersenarai dalam kompilasi ini. Ya, ia tidak lagi mendapat enjin turbo seperti Harrier generasi sebelum ini, tetapi enjin 2.0-liter NA itu dibantu oleh kotak gear Direct Shift CVT yang menjadikan pemanduannya cukup lancar.

Ditambah pula dengan kabin yang begitu senyap dan mewah, penumpang anda pasti gembira balik kampung dengan Harrier 2021 ini.

Oh ya, rupa luarannya pun kini semakin berani dengan lampu belakang dramatik serta beberapa ciri canggih seperti bumbung suria elektrokromik yang boleh dimalapkan. Menarik.

Penghargaan khas

Izinkan Amirul tambah satu lagi kereta, dikira sebagai penghargaan khas dalam artikel ini. Ya, Toyota GR Yaris! Mana boleh lupa kereta paling istimewa yang dipandu sepanjang tahun 2021.

Silap-silap GR Yaris ini boleh jadi kereta paling istimewa dipandu sepanjang masa.

Kenapa? Terlalu banyak sebab. Antaranya, ia direka hasil dari homologasi khas untuk menyertai kejuaraan rali WRC (World Rally Championship), ia mendapat enjin 3-silinder paling berkuasa di dunia, dan banyak komponen unik padanya tidak dikongsi dengan model-model Toyota lain.

GR Yaris juga satu-satunya kereta pandu uji dengan transmisi manual yang dipandu sepanjang 2021. Dan paling Amirul suka, mod pemanduan Normal, Sport dan Track yang bukan melaras respon enjin, sebaliknya mengawal agihan kuasa pada gandar depan dan belakang.

Sekian sahaja beberapa artikel kompilasi hujung tahun, anda boleh baca artikel lain di sini.

Selamat Tahun Baharu 2022 dan jumpa lagi!

7 pelancaran kereta pilihan Engear sepanjang 2021

WALAUPUN 2021 ditemani dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama beberapa bulan dan kilang-kilang serta pusat pengedar terpaksa menghentikan operasi mereka, ini tidak bermakna pengeluar tidak membawa masuk model-model baharu ke pasaran kita.

Pelancaran model-model sepanjang 2021 dibuat secara fizikal seperti biasa dan ada masanya dibuat secara maya (online).

Banyak model-model menarik dan mengujakan dilancarkan tahun ini, dan kali ini, kami ingin senaraikan tujuh (7) pelancaran kereta yang kami rasa anda wajib tahu.

Senarai ini hanyalah pilihan peribadi penulis dan ia disusun mengikut kronologi dari awal hingga hujung tahun.

1. Proton Iriz dan Saga R3 Limited Edition

Kita mulakan dengan pengeluar nasional pertama kita, iaitu Proton. Pada 18 Februari 2021, Proton memperkenalkan Iriz dan Saga versi R3 Limited Edition.

Bagi kami, ia wajar masuk senarai ini kerana pelancaran itu sedikit sebanyak mengubat kerinduan peminat terhadap produk R3 dari Proton.

Walaupun R3 Limited Edition ini lebih kepada kosmetik dan tiada penambahbaikan dari segi prestasi, sekurang-kurangnya lebih baik ada dari tiada langsung, bukan? Dan mungkin juga kita boleh harapkan lebih banyak lagi model Proton menerima sentuhan R3 di masa depan, terutamanya dari segi prestasi.

2. Perodua Ativa

Nombor dua dalam senarai kita ialah Perodua Ativa. Tidak dinafikan lagi Ativa menjadi antara model terpenting buat Perodua dan menjadi perhatian seluruh negara dan peminat automotif khususnya.

Ini kerana ia bukan sahaja menandakan kembalinya Perodua dalam segmen SUV setelah lebih sedekad menghilang, Ativa juga merupakan model turbo pertama pengeluar itu. Selain itu, Ativa mendapat banyak teknologi terkini dari segi casis, enjin, kotak gear dan sistem keselamatan.

3. BMW iX

Seterusnya kita beralih pula ke jenama premium, dan model pilihan kami ialah BMW iX. Sebenarnya BMW melancarkan agak banyak model ke Malaysia tahun ini seperti 5-Series baharu, M3 dan M4 serta beberapa model facelift.

Namun iX menunjukkan langkah BMW yang seterusnya iaitu ke arah elektrifikasi. Ya, BMW iX merupakan sebuah SUV elektrik sepenuhnya dengan kuasa sekitar 240kW (322hp) dan mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam hanya 6.1 saat. Ia juga menawarkan jarak pemanduan sehingga 425km untuk setiap caj.

4. Suzuki Jimny

Suzuki Jimny pula sebuah ikon dan generasi terkini dilancarkan di Malaysia pada 2021 walaupun pasaran kita tidak mendapat model generasi sebelum ini.

Kenderaan 4×4 kecil ini merupakan model kedua yang dilancarkan setelah Suzuki kembali ke Malaysia di bawah naungan baharu iaitu Naza.

Ia ditawarkan pada harga agak tinggi iaitu hampir RM170k tetapi orang tidak beli Jimny ini kerana spesifikasi dan praktikaliti, sebaliknya atas faktor cool. Lihat sahaja bentuknya yang bersegi, flared fender, dan warna terang, pasti menarik perhatian.

5. Hyundai Staria

Kita ke jenama Korea pula, perkenalkan Hyundai Staria. Walaupun MPV besar ini bukan disasarkan pada pembeli umum, tetapi ia menjadi perhatian kerana penampilannya yang nampak sangat futuristik.

Ditambah pula dengan Hyundai yang mensasarkan Staria untuk bersaing dengan MPV mewah seperti Toyota Alphard dan Vellfire, ia menimbulkan perdebatan di kalangan netizen yang memberi pandangan serta pendapat masing-masing.

Dan entah bagaimana, video Hyundai Staria kami di Facebook mendapat jumlah tontonan begitu tinggi, kini sudah melebihi 1,000,000 view! Hyundai Staria dijual pada harga sekitar RM360k.

6. Perodua Myvi

Kembali ke jenama tempatan, kali ini, King atau Perodua Myvi! Siapa yang tidak kenal, dan mana mungkin terlepas dari masuk ke senarai ini.

Bukan hanya kerana ia sebuah Myvi iaitu kereta paling popular di Malaysia, tetapi kerana facelift kali ini membawakan penambahan cukup signifikan.

Rupa luarannya diperbaharui sedikit, dan perubahan terbesar adalah di bahagian yang kita tidak nampak iaitu kotak gear D-CVT baharu serta ciri keselamatan, kini dengan ASA 3.0.

King akan terus bertakhta.

7. Honda City Hatchback

Akhir sekali, sebuah model bukan jenama tempatan tetapi turut mendapat perhatian umum iaitu Honda City Hatchback. Model popular kegemaran para fresh grad sebagai simbol kejayaan ini kini ditawarkan dalam versi hatchback, menggantikan Honda Jazz yang ditamatkan pengeluarannya.

Honda City Hatchback berkongsi hampir semua spesifikasi teknikal dengan versi sedan yang dilancarkan pada 2020, cuma buat pertama kali, ditawarkan dengan bentuk badan seperti ini. Ia juga bersaing terus dengan Toyota Yaris yang diasaskan dari model Vios.

 

Jom rebut peluang memiliki sebuah kereta jenis Suzuki Swift. – Foto ihsan Suzuki

Sekian sahaja tujuh pelancaran pilihan kami untuk tahun 2021. Ada lagi beberapa pelancaran lain yang tidak kurang menariknya iaitu Toyota Corolla Cross, Suzuki Swift Sport, dan Proton Persona serta Iriz facelift.

Di segmen premium pula, kita menyaksikan pengenalan Volkswagen Arteon R-Line, Land Rover Defender, Hyundai Palisade, dan Mercedes-Benz S-Class.

Dan untuk segmen kereta impian atau sports dan supercar, Malaysia telah menerima ketibaan Ferrari SF90 Spider dan Porsche 911 GT3 baharu.

Nantikan artikel kompilasi kami yang seterusnya esok!

Daihatsu hasilkan kompak hybrid elektrik sepenuhnya menjelang 2030

SYARIKAT Daihatsu Motor Co. mengumumkan akan menukar strategi perniagaan dengan menghasilkan kenderaan hybrid elektrik sepenuhnya menjelang 2030.

The Japan Times melaporkan, Daihatsu turut bercadang melancarkan kereta kompak elektrik penuh (EV) menjelang tahun 2025 bermula di pasaran Jepun terlebih dahulu.

Foto ihsan Daihatsu

Setakat ini, model EV kompak berkenaan dianggarkan akan dijual sekitar RM37,000 sehingga RM74,000.

Presiden Daihatsu mengakui, persaingan sengit penghasilan kenderaan EV sedikit sebanyak mendorong syarikat itu untuk mengubah pelan perniagaannya.

Hal ini terbukti apabila Nissan, Mitsubishi, Honda dan Suzuki dikhabarkan bakal memperkenalkan model EV kompak masing-masing seawal April 2022.

Foto ihsan Daihatsu

“Daihatsu perlu menghasilkan kenderaan elektrifikasi atau EV ini dan ia tidak boleh dielak.

“Untuk itu, kami akan menggunakan kelebihan kepakaran kenderaan hibrid dalam membangunkan kereta elektrik ini nanti,” kata Soichiro Okudaira.

Soichiro berkata demikian pada pelancaran model baharu van Hijet Cargo di Jepun pada Isnin.

Pada November, Daihatsu telah melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terbaharunya iaitu Rocky e-Smart Hybrid di Jepun.

Ia memiliki sistem hibrid jenis range extender dengan enjin tiga silinder 1.2 liter WA-VEX.

Teknologi ini membolehkan ia mengecas kuasa elektrik dan disimpan dalam bateri lithium ion berkapasiti 4.3 Ah.

Secara tidak langsung, Rocky e-Smart Hybrid boleh mencapai penggunaan bahan api serendah 28 km/l (3.6 l/100 km)!

Foto ihsan Daihatsu

Sementara itu, model ini juga mempunyai sistem Smart Pedal, iaitu mod pemanduan menggunakan hanya satu pedal.

Sebelum ini, Rocky e-Smart Hybrid pernah dibawa ke Malaysia untuk diuji oleh Perodua.

Jadi, adakah selepas ini kembar kepada Rocky e-Smart Hybrid iaitu Ativa bakal menerima teknologi serupa?

Sama-sama kita nantikan!

Alza D27A baharu sah lancar tahun depan! Perodua mahu beri teknologi terkini

PERODUA telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan Alza serba baharu tahun depan. MPV dengan kod nama D27A ini akan mendapat generasi kedua setelah lebih 12 tahun berada dalam pasaran.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad semasa kami menyertai sesi pandu uji Myvi facelift 2022 bersama rakan-rakan media lain ke Johor Bahru beberapa hari lepas.

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad

Ketika ditanya para media, Dato’ Zainal walaubagaimanapun berkata dia tidak dapat memastikan dengan tepat bila Alza baharu itu akan dilancarkan.

“Akan ada satu model baharu tahun depan (Alza), tetapi kami tidak boleh beritahu bila kerana beberapa perkara seperti Covid-19,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Perodua mampu memperkenalkan satu model baharu (Full Model Change atau FMC) serta dua facelift (Minor Change) setiap tahun.

“Berdasarkan kapasiti R&D dan jumlah kakitangan kami seperti jumlah jurutera, pada masa ini kami mampu memperkenalkan satu FMC dan dua MC setiap tahun,” katanya.

Alza satu model unik

Dato’ Zainal turut berkongsi bahawa Perodua Alza merupakan satu model unik dengan jumlah pengikut dan peminat tersendiri.

“Hingga kini, kami masih menerima kira-kira 1,500 unit tempahan setiap bulan.

“Jika mengambil kira dari sudut perniagaan, saya tak akan menggantikannya dengan model baharu kerana ia satu model yang telah dilunaskan (fully amortised).

“Tetapi, Perodua ialah satu syarikat kereta yang bertanggungjawab. Kami mahu rakyat Malaysia mendapat ciri keselamatan serta menikmati teknologi baharu,” tambah Dato’ Zainal.

Lakaran Perodua Alza 2022. Imej oleh: Theophilus Chin

Kita boleh jangkakan Perodua Alza 2022 akan menjadi kembar kepada Toyota Avanza/Daihatsu Xenia.

Ia akan menampilkan ciri dan teknologi terkini seperti lampu depan LED dengan Adaptive Driving Beam, dan mungkin beberapa varian lebih tinggi akan mendapat Autonomous Emergency Braking serta Adaptive Cruise Control.

Enjin berkemungkinan mengekalkan penggunaan 1.5-liter Dual VVT-i NR seperti sekarang, tetapi kami yakin ia akan dipadankan dengan kotak gear baharu D-CVT (sama seperti Myvi dan Ativa).

Perodua buat kajian pasaran, bakal perkenal Ativa hybrid?

SYARIKAT Perodua mengesahkan sedang menguji kenderaan jenis Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid sebagai sebahagian daripada rancangan kajian pasaran di negara ini.

Presiden merangkap CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, unit ujian Daihatsu Rocky Hybrid itu akan dinilai dan sebarang perincian lanjut bakal diumumkan kelak.

Katanya, ujian itu penting bagi mendapatkan maklum balas daripada para pelanggan termasuk pihak berkepentingan lain.

“Perodua menjalankan kajian pasaran serta meninjau sejauh mana penerimaan (hybrid) di Malaysia.

“Ia termasuk takat harga yang boleh diterima serta melihat sama ada model hybrid kami mampu menepati peraturan dan keperluan badan kawal selia yang ada,” katanya.

Zainal berkata demikian pada ketika majlis memperkenalkan model Perodua Myvi 2022, semalam.

Sebelum ini, sebuah model Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid kelihatan di jalan raya sekitar Kuala Lumpur lalu tular di media sosial.

Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid dikuasakan oleh hybrid mempunyai persamaan dengan sistem terdapat pada e-Power Nissan.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) ini mempunyai kuasa 106 PS pada 170 Nm dengan enjin WA-VEX 1.2 liter kitaran Atkinson tiga-silinder.

Bagi enjin petrolnya pula, ia menghasilkan 82 PS pada 5,600 rpm dan 105 Nm tork dari 3,200 hingga 5,200 rpm.

Daihatsu memaklumkan antara kelebihan lain terdapat pada sistem ini adalah bateri lithium-ion yang bersaiz kecil selain menjimatkan kos.

Jualan meningkat, Perodua mohon pelanggan sabar tunggu kenderaan dibeli

PERODUA mencatatkan jualan memberansangkan pada bulan lalu.

Menurut kenyataan Perodua, syarikat itu telah melakukan penghantaran lebih 14,160 unit kenderaan pada September.

Jumlah itu meningkat 102 peratus daripada 6,988 unit terjual pada bulan Ogos.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad. – Foto ihsan Perodua

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, syarikat itu bagaimanapun akan terus berusaha untuk mencatatkan peningkatan jualan.

“Rangkaian bekalan automotif telah menunjukkan peningkatan. Bagaimanpun, ia masih belum mencapai potensi penuh.

“Perodua akan terus berusaha dengan para pembekal dan pengedar untuk meningkatkan produktiviti dan keselamatan,” kata Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Setakat ini, Perodua telah menjual 119,093 kenderaan dengan berbaki tempoh dua bulan sebelum memasuki tahun 2022.

Namun, jumlah itu sedikit menurun berbanding 145,012 kenderaan terjual pada tahun 2020.

Model Perodua Aruz merupakan antara kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mendapat permintaan tinggi di Malaysia. – Foto ihsan Facebook/Perodua Aruz

Terdahulu, Zainal meminta para pelanggan bersabar menunggu kenderaan yang ditempah.

Jelasnya, Perodua kini sedang meningkatkan produktiviti selain terus memastikan kualiti produk dihasilkan pada tahap terbaik.

“Terima kasih kepada para pelanggan yang terus bersabar kerana kami kini sedang meningkatkan pengeluaran kami.

“Kami juga memohon maaf di atas kesukaran dihadapi disebabkan oleh kelewatan penghantaran.

“Kami akan membantu para pelanggan untuk memastikan kenderaan mereka dihantar secepat mungkin,” katanya lagi.

Anda kini boleh pandu Perodua Ativa dengan Flux, hanya RM57 untuk bulan pertama

JIKA anda berminat memiliki Perodua Ativa, anda kini boleh memilih untuk subscribe atau langgan SUV kompak itu dengan Flux. Dengan promosi Merdeka, mereka menawarkan langganan RM57 untuk bulan pertama.

Untuk masa ini, Flux mempunyai Perodua Ativa 1.0H iaitu varian pertengahan yang berharga RM66,100. Ia dikuasakan oleh enjin 1.0-liter 3-silinder turbo yang menjana 97hp dan 140Nm tork, dipadankan dengan CVT.

Kelengkapan dalaman termasuklah tempat duduk fabrik dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 7-inci serta kluster instrumen digital.

Dari segi keselamatan, Ativa didatangkan dengan segala ciri terkini seperti enam beg udara, ABS, Vehicle Stability Control dan Traction Control.

Ia juga dilengkapi pakej sistem keselamatan termaju Advanced Safety Assist yang terdiri dari Pre-Collision Warning And Braking, dan Lane Departure Warning And Prevention.

Seperti biasa, Flux menawarkan kenderaan mereka dengan kontrak sehingga 36 bulan. Anda hanya perlu membayar pendahuluan RM2,303, kemudian langganan setiap bulan berjumlah RM1,425 selama 36 bulan.

Untuk langganan lebih pendek, anda boleh pilih RM1,601 untuk kontrak 24 bulan, atau RM1,901 untuk 12 bulan.

Pelan Flux hadir dengan pakej perbatuan Lite sebanyak 1,250km sebulan, tetapi anda boleh naik-taraf kepada 2,000km sebulan atau tanpa had dengan kos tambahan. Yang penting, semuanya fleksibel mengikut keperluan anda.

Apabila kereta perlu diservis, Flux mempunyai perkhidmatan concierge yang akan mengambil dan menghantar kereta ke pusat servis, jadi anda tidak perlu bersusah payah membuat temujanji dan sebagainya.

Menarik? Jika anda berminat, hanya muat turun aplikasi Flux atau layari https://driveflux.com untuk maklumat lanjut.

Dr Mahathir puji Ativa, bangga dengan Perodua

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memuji syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang memberi saingan hebat dalam pasaran automotif.

Dr Mahathir berkata, produk dihasilkan Perodua bukan sahaja berkualiti malah memilki harga munasabah.

Jelasnya, ia sekaligus menjadikan kenderaan keluaran syarikat itu sebagai antara pilihan utama pengguna.

“Saya bangga Perodua kini menggunakan tenaga pakar anak tempatan yang kian bertambah dari masa ke masa dalam pengeluaran produknya.

“Sekarang anak tempatan turut terlibat dalam pembikinan reka bentuk dan enjin. Saya fikir harga Perodua juga munasabah selain berkualiti.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Terdahulu, sebuah video ringkas menunjukkan Dr Mahathir diperkenalkan dengan model terkini kenderaan utiliti sukan (SUV) Ativa.

Video dimuat naik akaun Dr Mahathir bin Mohamad di Facebook.

Perodua melancarkan model Ativa pada Mac lalu.

Model SUV terkini Perodua itu dilapor menggunakan lebih 95 peratus komponen tempatan.

Pengguna berminat boleh mendapatkan Ativa pada harga bermula RM61,500 hingga RM72,000 tanpa insurans.

Ativa terima permintaan tinggi, Perodua catat peningkatan jualan 29 peratus

PERODUA Ativa menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di negara ini sejak dilancarkan awal bulan lalu.

Dibuka untuk tempahan pada 19 Februari, terdapat lebih 14,574 tempahan diterima bagi model Perodua Ativa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya akan terus berusaha memenuhi permintaan tinggi bagi model SUV Ativa walau terpaksa berdepan rintangan tertentu termasuk kekurangan bekalan komponen.

“Buat masa ini, tentangan terbesar adalah kekurangan cip semikonduktor yang memberi kesan berbeza pada pembuat kenderaan pada skala global.

“Kami bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk mencari bekalan alternatif dan pada masa yang sama memantau keadaan setiap hari untuk memastikan operasi pengeluaran kami berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Perodua berjaya mencatatkan peningkatan 29 peratus jualan bagi suku pertama tahun ini.

Jumlah itu bersamaan dengan 57,911 kenderaan berbanding 44,977 dalam tempoh sama tahun lalu.

Perodua menyasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit tahun ini berbanding 220,968 pada 2020.