Audi Malaysia baru-baru ini memulakan proses pemasangan bagi model SUV Audi Q7 di kilang Pekan, Pahang.
Ini bermakna, Audi Q7 merupakan satu-satunya model Audi yang dipasang secara tempatan untuk pasaran Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara.
Menurut Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Dr. Susanne Lehmann berkata, “pencapaian ini bukan hanya sekadar pelancaran, malah ia menandakan simbolik visi, perkongsian, inovasi dan kemajuan.
“Pelanggan akan terus menikmati pengalaman kualiti, prestasi dan kemewahan Audi yang sama – namun kini diperbuat dari kilang Malaysia,” ujarnya lagi.
Selain daripada model Q7, kilang Pekan ini juga dijangka akan memasang model-model Audi yang lain, dengan kapasiti pengeluaran sekitar 5,000 unit setahun.
Lebih RM12 juta pelaburan awal telah dilaksanakan bagi merealisasikan visi ini, sekaligus mengukuhkan kehadiran jenama Audi di dalam segmen kenderaan mewah premium di Malaysia.
Sementara itu, Denyu Bostandzhiev selaku Pengarah Urusan PHS Automotive Malaysia berkata, “dengan memasang beberapa kenderaan utama di sini, kami boleh menawarkan harga yang lebih kompetitif dan memendekkan masa penghantaran kepada pelanggan kami.
“Dengan permintaan yang semakin meningkatn untuk SUV segmen D, kami percaya inilah masa yang sesuai untuk menambah model Q7 CKD ke dalam rangkaian model kami,” jelasnya lagi.
Audi Q7 2025 bakal ditawarkan dalam varian S line, dengan harga jualan anggaran antara RM469,000 hingga RM489,000.
Ia merupakan sebuah SUV hibrid elektrik ringan (MHEV) yang dikuasakan oleh enjin bentangan V6 TFSI 3.0 liter menghasilkan 340 PS dan 500 Nm, dipadankan dengan transmisi Tiptronic 8-kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.6 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j.
Audi Q7 2025 dibuka untuk tempahan – unit CKD, harga anggaran RM469k-RM489k