Tag Archives: austria

Produksi Toyota GR Supra berakhir 2026, kilang Magna Steyr buang 500 pekerja – laporan

Berita kurang enak, anda hanya mempunyai tempoh masa sehingga dua tahun sahaja untuk mendapatkan model grand tourer Toyota GR Supra, sebelum produksinya ditamatkan pada tahun 2026.

Ini kerana menurut laporan Automobilwoche, pengeluar kenderaan Magna Steyr yang berpangkalan di Graz, Austria akan membuang kira-kira 500 orang pekerja setelah produksi beberapa model penting seperti BMW 5 Series, Jaguar E-Pace dan I-Pace, dan Fisker Ocean berakhir.

Untuk makluman, kilang yang sama juga turut digunakan untuk memasang model kembar tidak seiras BMW Z4 dan Toyota GR Supra sejak tahun 2019.

 

Kilang Magna Steyr di Graz, Austria

 

Laman Carscoops memetik kata-kata Naib Presiden Toyota Motor North America, Dave Christ yang menjelaskan, “kami bekerjasama dengan BMW, dan ia merupakan satu kejayaan.”

Beliau kemudiannya menambah, “kami akan menilai semula perkara seterusnya. Saya fikir, jika kami mahu membina sesuatu, kami akan memikirkan bagaimana untuk membinanya.”

Ayat tersebut memberikan bayangan Toyota berkemungkinan besar akan membangunkan GR Supra generasi baharu secara bersendirian, atau mungkin sekali menjalinkan kerjasama dengan pengeluar yang berbeza.

 

 

Toyota GR Supra merupakan kereta berprestasi tinggi produksi massa yang pertama dibangunkan oleh Toyota Gazoo Racing setelah sebelum ini menawarkan model-model produksi terhad di bawah sub-jenama GRMN (Gazoo Racing Meister of Nurburgring).

Ia boleh didapati dalam dua versi enjin, iaitu nadi empat silinder sebaris 2.0 liter berkuasa 258 hp dan 400 Nm, atau enjin enam silinder sebaris 3.0 liter dengan janaan kuasa setinggi 382 hp dan 500 Nm yang memacu roda belakang.

Untuk permulaan, GR Supra hanya ditawarkan dalam versi automatik sahaja, sebelum transmisi manual yang dibangunkan khas mula dijual pada tahun 2022, di mana ia dihadkan untuk model Supra berenjin inline-6.

 

Motosikal KTM akan dihasilkan di China dan India sahaja selepas ini 

KTM dalam satu perkembangan terbaru membuat kejutan apabila mengumumkan perancangan untuk memindahkan kilang pembuatan utama dari Austria ke China dan India. 

Keputusan itu dibuat bagi memastikan jenama motosikal dari Austria itu dapat memenuhi permintaan semasa di samping meningkatkan jumlah pengeluaran sedia ada. 

Menurut Pierer Mobility Group (PMG), yang merupakan pemilik kepada KTM, Husqvarna, GasGas dan terbaru MV Agusta, perpindahan kilang pembuatan dan pemasangan itu akan dibantu CFMOTO di China dan Bajaj Auto di India. 

Untuk rekod, CFMOTO telah pun bertanggungjawab menghasilkan model 790 Duke dan 790 Adventure untuk pasaran global ketika ini sementara Bajaj pula mengendalikan model bawah 390cc. 

Buat masa ini, kilang utama di Austria bertanggungjawab menghasilkan model 890 Duke, 1290 Duke dan 1290 Super Adventure. Namun, perkembangan terbaru ini hampir pasti menyaksikan tanggungjawab itu akan digalas CFMOTO selepas ini.