Tag Archives: Auto Bavaria

Auto Bavaria, Kumpulan Affin jalin kerjasama perluas rangkaian pengecas EV

Auto Bavaria telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Kumpulan Affin untuk meningkatkan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik di negara ini.

Kerjasama ini sejajar dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kedua-dua organisasi yang bertujuan menggalakkan penyelesaian pengangkutan yang lebih bertanggungjawab.

Menerusi kerjasama ini, Auto Bavaria yang merupakan pengedar sah BMW bersedia untuk mempercepatkan penyediaan dan meluaskan capaian kepada kemudahan pengecasan EV di seluruh rantau ini.

Usaha syarikat itu dimulakan dengan pemasangan tujuh unit pengecas AC dan satu unit pengecas DC di stesen pengecas EV di Menara Affin di Tun Razak Exchange, yang merupakan Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia.

Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Auto Bavaria berkata, “Kerjasama dengan Affin ini sesungguhnya memperlihatkan dedikasi kami mengukuhkan pembangunan infrastruktur EV dan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

“Bersama-sama, kami memperkasakan para pemandu untuk membuat keputusan pengangkutan yang lebih bertanggungjawab dan mengurangkan jejak karbon dalam keperluan pemilikan kenderaan masing-masing.”

Datuk Wan Razly Abdullah, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad menambah, “Kerjasama kami memaparkan komitmen tidak berbelah bagi Affin kepada agenda ESG, yang membawa kesan positif bagi masa depan sambil menyediakan pengalaman yang menyenangkan dan memuaskan pelanggan.

“Inisiatif ini sejajar dengan tunggak Pelan Strategi AX28, iaitu ‘Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan’ dan ‘Perbankan Bertanggungjawab yang Menghasilkan Kesan Bermakna’.”

Tambah beliau lagi, pelanggan boleh meneroka rangkaian pembiayaan EV Affin, termasuk pilihan pembiayaan yang dirangka untuk memudahkan proses pembelian dan meningkatkan ketermampuan.

Bilik pameran Auto Bavaria Chan Sow Lin tampil kemudahan yang dinaik taraf

AUTO Bavaria, rangkaian pengedar bertauliah BMW terbesar di Malaysia, baru-baru ini melancarkan bilik pameran terbaharunya yang telah ditambah baik di Chan Sow Lin (CSL).

Bilik pameran ini menampilkan kemudahan dan perkhidmatan yang dinaik taraf, serta ruang pameran untuk barisan kenderaan BMW Premium Selection (BPS) dan MINI Used Car Next (MUCN).

Selain ruang pameran, bilik pameran yang dibina di atas kawasan seluas 35,000 kaki persegi ini menampilkan beberapa kemudahan berteraskan pelanggan seperti pentas perundingan pelanggan, ruang hospitaliti utama, bar dan ruang rehat.

Ia juga mempunyai ruang khas untuk alat ganti, aksesori dan gaya hidup, membolehkan pelanggan melakukan pemerhatian bagi pembaharuan kenderaan mereka yang seterusnya atau meneroka rangkaian barangan BMW dan MINI yang ikonik.

Dengan pasukan yang terdiri daripada enam kakitangan yang berdedikasi, Auto Bavaria CSL menawarkan perkhidmatan yang dipertingkatkan untuk pengalaman yang lebih lancar kepada pelanggan.

Kemudahan asas seperti ruang perkhidmatan rundingan, kawasan penerimaan kereta (RATC) dan kawasan serahan pelbagai fungsi disediakan secara strategik untuk kemudahan pelanggan.

Selaras dengan dedikasi BMW Group Malaysia untuk meningkatkan aksesibiliti terhadap infrastruktur pengecas, Auto Bavaria CSL memainkan peranan aktif dalam inisiatif tersebut dengan menyediakan kemudahan pengecas AC dan DC.

Auto Bavaria CSL terletak di No. 8, Jalan Dua, Off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Ia beroperasi setiap hari Dari 8 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat, dan dari 8 pagi hingga 12:30 tengahari pada hari Sabtu.

Auto Bavaria, DC Handal jalin kerjasama perluas rangkaian pengecasan EV

Auto Bavaria, rangkaian pengedar terbesar BMW Group Malaysia, telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Handal Green Mobility Sdn Bhd (DC Handal) untuk memperluas kemudahan pengecasan pantas serta menggalakkan penggunaan penyelesaian pengangkutan lestari untuk masa depan.

Menerusi kerjasama ini, Auto Bavaria akan bekerjasama rapat dengan DC Handal bagi menyediakan kemudahan pengecasan pantas kepada 10 tapak pengecasan di kawasan-kawasan utama di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang, dengan rancangan untuk menambah lagi lokasi pada masa depan.

Pelanggan boleh membayar untuk khidmat pengecasan dengan mudah menggunakan kad kredit dan juga kad debit serta kemudahan bayaran elektronik di terminal pembayaran OCBC dan juga menerusi platform aplikasi dengan JomCharge dan ChargEV.

Menurut laporan paultan.org, stesen pengecasan yang terletak di Bamboo Hills mempunyai empat pengecas DC Kempower berkapasiti 200 kW dengan kadar bayaran RM1.50 setiap kWj. Lebih menarik lagi, ia terbuka kepada semua jenama kenderaan elektrik.

Sashi Ambihaipahan, Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian bagi BMW Group Malaysia berkata, “Kami sukacita untuk menjalin pakatan dengan DC Handal menerusi rakan pengedar utama kami Auto Bavaria untuk terus membangunkan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik di negara ini.

“Sebagai pembekal utama kenderaan elektrik premium di Malaysia setakat ini, kerjasama ini menunjukkan kesungguhan kami untuk mengubah sama sekali persekitaran EV di Malaysia, dan juga menetapkan piawaian baharu bagi meningkatkan capaian dan tahap kemudahan bagi para pemilik EV,” katanya.

Lim Chern Chuen, Pengarah DC Handal, semasa mengulas mengenai pakatan ini berkata, “Memandangkan dunia automotif kini beralih kepada tenaga elektrik, kerjasama dengan Auto Bavaria mencerminkan komitmen kami bukan sahaja untuk membolehkan pelanggan memanfaatkan teknologi EVSE terbaik, tetapi juga memberikan pengalaman pengecasan yang lancar dan mudah menerusi rangkaian kami.”

Auto Bavaria perkenal pakej servis khas untuk BMW, MINI berstatus klasik

AUTO Bavaria muncul sebagai pengedar pertama di Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan khas untuk kenderaan BMW dan MINI yang telah mencapai status klasik.

Perkhidmatan berkenaan disediakan di pusat pengedar Auto Bavaria Ara Damansara bermula 26 November 2023, khusus untuk memenuhi keperluan peminat kereta klasik.

Menurut syarikat itu, inisiatif ini membuktikan komitmennya untuk meneruskan legasi kenderaan-kenderaan yang tidak lenyap ditelan zaman.

Kumpulan BMW mentakrifkan kereta klasik sebagai kenderaan yang telah melebihi umur 15 tahun dari tarikh siri pengeluaran terakhir model, yang lazimnya berlaku selepas kitaran hayat tujuh tahun model tersebut.

Auto Bavaria menyediakan perkhidmatan secara menyeluruh dengan dua ruang servis dan pasukan khas yang terdiri daripada dua juruteknik, seorang penyelia dan dua penasihat servis diperuntuk khusus untuk kereta klasik BMW dan MINI.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penyenggaraan servis, pembaikan komponen, baik pulih dan penggantian.

Untuk menjamin ketulenan dan kualiti perkhidmatan, Auto Bavaria membeli alat dan aksesori terus daripada BMW Jerman. Jika alat khusus tersebut tidak lagi dikeluarkan, pusat pengedar ini akan mencari sumber alternatif terus daripada pembekal OEM sambil mengekalkan piawaian kualiti yang ketat.

Semua rekod servis akan dicatatkan dengan teliti di dalam buku servis kereta klasik BMW, memastikan sejarah lengkap penyenggaraan dan pembaikan semuanya disimpan di dalam sistem Auto Bavaria.

Bagi membuat temu janji, pelanggan boleh mendapatkan slot menerusi saluran servis biasa Auto Bavaria. Mereka yang berminat boleh menghubungi Perkhidmatan Pelanggan Auto Bavaria di 1300-13-3338 atau kunjungi cawangan Ara Damansara untuk pertanyaan lanjut.