Tag Archives: Auto China 2024

Auto China 2024: Hongqi Guoya, sedan ultra mewah sepanjang 5.3 meter

Bertempat di Beijing Auto Show (Auto China 2024), Hongqi memperlihatkan sedan eksekutif ultra-mewah yang bakal dijual di bawah jenama Golden Sunflower, iaitu Hongqi Guoya.

Sedan mewah Guoya (Guo – bangsa, Ya – elegan) sebelum ini dikenali dengan nama Hongqi L1, di mana sedan ini sebenarnya pernah muncul dengan nama Hongqi L-Concept pada Auto Shanghai 2021.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas berkenaan sedan Hongqi Guoya:

 

1. Dimensi lebih 5.3 meter

Secara asasnya, Hongqi Guoya merupakan sebuah sedan yang agak panjang, dengan ukuran melebihi 5.3 meter (5,353 mm) dengan lebar 1,998 mm dan tinggi 1,511 mm.

Jarak antara roda pula adalah sepanjang 3,260 mm.

Secara standard, Guoya dibekalkan dengan set rim bersaiz 19 atau 20 inci.

 

2. Dua pilihan enjin

Pembeli Guoya boleh mendapatkan sedan mewah ini dengan pilihan enjin 3.0 liter turbo plug-in hybrid (PHEV) berkuasa 389 hp, atau nadi bentangan V8 4.0 liter turbo dengan janaan kuasa 483 hp.

Kedua-dua enjin tersebut didatangkan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan, serta pek bateri ternary lithium yang tidak diketahui kapasitinya.

 

3. Lampu depan canggih

Menurut laporan CarNewsChina, Hongqi Guoya mempunyai sistem lampu depan canggih yang mengguna pakai teknologi pemprosesan lampu digital (DLP).

Dengan adanya sistem DLP ini, lampu depan Guoya boleh memancarkan simbol atau logo ke atas permukaan jalan raya.

 

4. Ada ciri Rolls-Royce

Selain daripada elemen rekaan yang mengingatkan kita kepada model-model Rolls-Royce, Bentley dan Cadillac, Hongqi Guoya juga mempunyai satu ciri unik.

Nampak logo Hongqi yang bertenggek di atas struktur jeriji gergasi di depan?

Logo berbentuk tiga dimensi seakan Spirit of Ecstacy itu sebenarnya boleh disimpan, macam kereta Rolls-Royce!

 

5. Kabin mewah

Masuk ke dalam ruang kabin, anda akan dapat melihat ciri kemewahan yang cuba diterapkan pada Guoya.

Antaranya ialah upholsteri dua tona ungu/putih, kemasan venir kayu yang meluas, serta tidak ketinggalan balutan bahan kulit lembut dan metalik.

Terdapat juga roda stereng dua jejari, trim hitam piano, skrin kluster digital, skrin infohibur bersaiz besar, serta kehadiran jam analog kecil.

6. 4 atau 5 tempat duduk

Hongqi Guoya boleh didapati dalam konfigurasi lima tempat duduk, atau versi empat tempat duduk yang lebih premium.

Untuk versi 4-tempat duduk, kerusi baris belakang menempatkan dua ruang individu yang diasingkan oleh konsol perehat tangan di bahagian tengah.

Konsol tengah itu juga turut menempatkan skrin sentuh untuk kawalan fungsi dalam kenderaan seperti pemanas tempat duduk, urut, dan suhu kabin.

Buat masa ini, Hongqi masih lagi belum mendedahkan harga jualan sebenar.

Namun, tempahan bagi model sedan ini sudah pun dibuka kepada golongan pemimpin tertinggi di seluruh dunia yang mahukan alternatif kepada model-model sedan Rolls-Royce atau Mercedes-Maybach.

Auto China 2024: Chery Tiggo 9 PHEV diperkenalkan, bakal lancar Q4 2024

SELAIN Omoda 7, Chery turut memperkenalkan model SUV flagship-nya iaitu Tiggo 9 PHEV di acara Auto China 2024 yang berlangsung di Beijing baru-baru ini.

Jika diperhatikan, reka bentuk luaran Tiggo 9 PHEV tidak begitu jauh berbeza dengan Tiggo 8 Pro namun sebagai model pendahulu dalam barisannya, ia mempunyai saiz yang lebih besar.

Ukuran dimensi model ini adalah 4,810 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,741 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 2,770 mm. Ini menjadikannya 88 mm lebih panjang, 65 mm lebih lebar dan 36 mm lebih tinggi berbanding Tiggo 8.

Selain itu, Tiggo 9 PHEV juga tampil lebih unik dengan gril heksagon Saturn Ring, garisan badan dinamik dan rim multi-spoke berukuran 20 inci.

Di dalam, unit yang dipamerkan di Beijing menampilkan upholsteri kulit dua tona berwarna krim dan biru, serta jahitan 3D pada tempat duduk. Ia dilengkapi dengan panel instrumen digital dan skrin HD 2.5K berukuran 15.6 inci.

‘Nadi’ Tiggo 9 PHEV adalah enjin 2.0-liter turbo dengan 235 hp dan 385 Nm, dan transmisi automatik lapan kelajuan. Enjin tersebut digandingkan dengan motor elektrik 3DHT yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 221 hp.

Gabungan tersebut memberikan tahap penggunaan bahan api sekitar 5.2 liter setiap 100 km berdasarkan kitaran WLTC dan jarak pandu sejauh 1,400 km.

Selain PHEV, Tiggo 9 juga akan mempunyai varian petrol namun perincian mengenai varian tersebut masih belum didedahkan. Kedua-duanya akan dilancarkan ke pasaran pada suku keempat tahun ini.

Beijing Motor Show 2024: Jaecoo tayang J8 PHEV, 605hp, 0-100 5.4 saat

JAECOO J8 telah dipertontonkan di Malaysia awal tahun ini, dan versi PHEV telah didedahkan di acara Auto China 2024 yang sedang berlangsung di Beijing.

Jaecoo J8 PHEV ini mendapat pakej powertrain 1.5-liter turbo petrol TGDi yang digabungkan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT).

Bersama dengan dua motor elektrik (satu di depan, satu di belakang), SUV ini mempunyai output keseluruhan setinggi 605hp dan 915Nm tork, cukup untuk pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 5.4 saat.

Menurut Jaecoo, SUV ini boleh dipandu dalam mod EV sehingga 175km, sementara jarak pemanduan sejauh 1,321km untuk setiap tangki dalam mod hybrid.

Tiada perincian mengenai spesifikasi bateri, tetapi menariknya, ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC, malah mempunyai fungsi V2L, sama seperti Omoda E5 dan J7 PHEV.

Untuk perbandingan, Jaecoo J8 PHEV ini boleh dikatakan mirip Mazda CX-8 dari segi saiznya. Ia berukuran 4,820mm panjang, 1,930mm lebar, 1,699mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 2,820mm.

 

Jaecoo J8 yang dipertontonkan di Malaysia tempoh hari adalah versi lima tempat duduk, tetapi unit yang kami lihat di Auto China 2024 adalah dengan konfigurasi tiga baris, enam tempat duduk.

Ciri lain pada J8 PHEV ini termasuklah lampu LED, rim 20-inci, dua paparan 12.3-inci untuk panel instrumen dan infotainmen, penghawa dingin dwi-zon, dan paparan head-up display.

Jaecoo J8 versi petrol dijangka dilancarkan di Malaysia hujung tahun ini dengan harga anggaran sekitar RM200k. Kami jangkakan J8 PHEV bakal menyusul sekitar suku pertama 2025.

Beijing Motor Show 2024: Volkswagen ID.Code Concept yang boleh melihat anda

VOLKSWAGEN antara pengeluar yang menyertai acara Auto China 2024 di Beijing, dan model yang menjadi tarikan utama mereka sudah tentu ID.Code Concept.

Dari luar, ia kelihatan seperti SUV biasa, kabinnya pula sedikit radikal. Tipikal seperti sebuah kenderaan konsep dengan empat tempat duduk individual serta kokpit minimalis. Tetapi yang ingin kita bincangkan ialah teknologi padanya.

Ia menampilkan 3D Eyes yang ‘melihat’ anda mendekati kereta ini. Ciri ini sebahagian dari sistem pencahayaan interaktif yang dibawakan oleh Volkswagen untuk masa depan autonomi.

Jika anda lihat strip cahaya memanjang antara dua lampu depan, ianya dinamakan Light Cloud, yang terdiri dari 967 LED. Inilah yang membentuk ‘mata’ berbentuk-U yang membuatkan SUV ini seolah-olah sedang memandang.

Pencahayaan ini bekerja dengan Light Screen, iaitu bahagian ‘senyum’ di bawah Light Cloud. Volkwagen menggunakan cat jernih, yang mana bila Light Screen dipadamkan, nampak seperti bahagian normal.

Semasa dihidupkan, ia boleh menayangkan pelbagai maklumat dari laporan cuaca hinggalah grafik buah ceri di musim bunga. Jika ada kereta berhenti untuk memberi lalua anda membelok, ia akan menayangkan bentuk hati sebagai ucapan terima kasih.

Ada lagi ciri pelik, iaitu Smart Windows. Pada beberapa tempat di cermin, ia boleh menayangkan avatar berbentuk manusia yang boleh diajak berbual.

Kemudian, satu ciri rahsia dari Volkswagen ialah satu bentuk hubungan atau komunikasi kereta ini oleh teknologi AI. Komunikasi ini tidak terhad kepada pemiliknya sahaja.

Pelbagai kamera dan pengesan juga memberikan ID.Code fungsi Autonomous Level 4. Dengan itu, anda boleh memusingkan tempat duduk depan 180-darjah, jadi anda boleh berbual dengan penumpang belakang.

Rupa luaran ID.Code ini Volkswagen terangkan sebagai sleek dan seperti jet, memberikan kombinasi SUV praktikal dan kenderaan grand touring sporti.

ID.Code hanyalah sebuah konsep buat masa ini. Tidak dinyatakan jenis rangkaian kuasa, jarak pemanduan, atau sebarang elemen mekanikal.

Tiada juga dinyatakan pelan pengeluaran, walaupun Volkswagen berkata ID.Code memberikan klu tentang hala tuju mereka untuk masa depan di China.

Toyota bZ3C, bZ3X muncul di Auto China 2024

Segmen EV yang sudah sedia sesak di pasaran China kini dipadatkan lagi dengan kehadiran dua buah model EV daripada jenama nombor satu dunia, iaitu Toyota bZ3C dan Toyota bZ3X.

Kedua-dua model ini sebenarnya telah pun diperlihatkan pada Auto Shanghai 2023 yang dikenali dengan nama bZ Sport Crossover Concept dan bZ FlexSpace Concept.

Apa yang kami faham, model Toyota bZ3C dibangun menerusi kerjasama antara BYD, FAW dan pusat R&D Intelligent ElectroMobility Toyota (IEM), manakala model bZ3X pula hasil kerjasama antara Toyota, Guangzhou Automobile Group Co, GAC Toyota Motor Co. Ltd dan IEM Toyota.

 

Toyota bZ3C membawakan bentuk badan crossover coupe dengan struktur bumbung yang melandai rendah ke belakang, diikuti rekaan luar yang mengingatkan kita pada model bZ4X dan Prius.

Pendekatan yang minimalis seakan Tesla digunakan dalam menghasilkan ruang kabin bZ3C ini, di mana ia menampilkan skrin tengah bersaiz besar, kluster digital yang lebih kecil, sistem pencahayaan ambien yang unik.

 

Sementara Toyota bZ3X pula dilihat lebih besar dimensinya berbanding bZ3C, membawakan binaan badan SUV yang lebih tradisional dan lebih menegak.

Disebabkan garis bumbung yang lebih rata, ruang kabin bZ3X ini nampak lebih luas, dan turut menerapkan elemen rekaan yang minimalis.

 

Selain skrin infohibur dan roda stereng dua jejari, terdapat juga pad pengecasan peranti pintar tanpa wayar berkembar, sistem pencahayaan ambien, serta bumbung kaca panorama.

Sayang seribu kali sayang, ketika artikel ini sedang ditulis tiada sebarang perincian spesifikasi terutama unit rangkaian kuasa yang digunakan oleh bZ3C dan bZ3X didedahkan oleh Toyota.

Untuk makluman, Toyota pada tahun lepas telah pun melancarkan sedan elektrik Toyota bZ3 untuk pasaran China, dimana model tersebut dihasilkan menerusi kerjasama dengan BYD.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik 241 hp/303 Nm, dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 65.28 kWh di mana ia mampu bergerak sejauh 616 km untuk sekali cas penuh (data CLTC).

 

Toyota bZ3C

 

Toyota bZ3X

 

Toyota bZ3

Mazda EZ-6 guna asas sedan Deepal SL03, EV atau PHEV, mampu capai 1,000 km!

Bertempat di Auto China 2024 yang baru dibuka tirainya hari ini, Mazda menerusi syarikat Changan Mazda Automobile Corp. memperlihatkan dua buah model baharu, iaitu sedan Mazda EZ-6 serta model konsep Mazda ARATA.

 

Mazda EZ-6 merupakan sedan saiz pertengahan yang bakal menggantikan peranan Mazda6, dan dijangka akan dilancarkan di China pada penghujung tahun 2024.

Mazda EZ-6 secara asasnya merupakan Deepal SL03 versi tukar lencana, namun dengan elemen  bahasa rekaan KODO Soul of Motion, konsep Jinba-ittai (kereta dan pemandu bersatu), dan teknologi elektrifikasi yang disalurkan oleh Changan Automobile.

 

Di China, Mazda EZ-6 boleh didapati dalam versi kenderaan elektrik bateri (BEV) dan versi plug-in hybrid (PHEV), di mana versi EV boleh mencapai jarak gerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh.

Versi PHEV pula dikatakan mampu mencapai jarak pemanduan melebihi 1,000 km untuk setangki bahan api penuh.

 

Ciri lain termasuklah tetapan suspensi multi-link di bahagian belakang, spoiler belakang adaptif untuk kestabilan pemanduan berkelajuan tinggi, serta nisbah pembahagian berat ideal 50:50 untuk model BEV.

Tidak banyak perincian berkenaan spesifikasi rangkaian kuasa didedahkan, melainkan ia didatangkan dengan sistem pacuan roda belakang, dengan ukuran dimensi 4,912 mm panjang, 1,890 mm lebar, tinggi 1,485 mm dengan tetapan roda bersaiz 245/45R19.

Ruang kabin Mazda EZ-6 pula mengekalkan elemen minimalis dan mewah, disumbangkan oleh susun atur papan pemuka yang kemas, diikuti dengan penggunaan bahan balutan yang premium.

 

Dalam masa yang sama, Mazda turut memperlihatkan sebuah model konsep SUV yang digelar sebagai Mazda ARATA.

SUV tersebut direka menggunakan tema ‘SOULFUL + FUTURISTIC x MODERN’ yang menerapkan elemen moden masa depan di dalam kenderaan tenaga baharu.

Selain itu, ia juga turut menggandingkan pendekatan bahasa rekaan KODO yang menjadi identiti Mazda.

 

Sama seperti Mazda EZ-6, tidak banyak perincian spesifikasi rangkaian kuasa yang akan digunakan oleh Mazda ARATA didedahkan buat masa ini.

Apa yang pasti, SUV ini membawakan elemen aerodinamik seperti contoh kehadiran terowong udara pada bahagian hadapan, sisi bampar hadapan, diikuti bahagian tiang D.

Mazda ARATA dijangka akan muncul dalam versi produksi sebenar pada akhir tahun 2025 dengan menggunakan nama rasmi Mazda EZ-60.

 

Mazda EZ-6 Sedan

 

Mazda ARATA Concept