Tag Archives: Auto China

Beijing Motor Show 2024: Jaecoo J7 dipertonton dengan versi PHEV – 347PS, 525Nm!

JIKA anda mengikuti perkembangan industri automotif di Malaysia, anda akan ketahui bahawa Jaecoo J7 telah dipertonton, malah telah dibuka tempahannya. Ia dijangka ditawarkan pada harga antara RM150k hingga RM160k.

Terkini, sub-jenama di bawah Chery ini memperkenalkan pula versi PHEV (plug-in hybrid), ditayangkan di Auto China 2024 di Beijing. Ia nampak hampir serupa dengan versi petrol, tetapi sudah tentu mempunyai sedikit perbezaan spesifikasi.

Ia oleh enjin 1.5-liter turbo TGDi petrol yang dikatakan versi spesifik untuk hibrid. Enjin ini digandingkan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan motor elektrik di depan, memberikan J7 PHEV output keseluruhan sebanyak 347PS dan 525Nm tork.

Sebagai perbandingan, Jaecoo J7 biasa mempunyai enjin 1.6-liter TGDi dengan 197PS dan 290Nm tork.

J7 PHEV ini juga mampu dipandu dalam mod EV sehingga 88km. Penggunaan bahan api pula adalah serendah 4.9 liter/100km. Menurut Jaecoo, ini memberikan kemampuan J7 PHEV untuk dipandu sehingga 1,200km untuk setiap tangki.

Menariknya, J7 PHEV ini boleh dicas menggunakan DC. Walaupun tidak didedahkan berapa lama tempoh untuk pengecasan, ia pastinya boleh dibuat dalam tempoh masa yang singkat.

Satu ciri pada J7 PHEV ini ialah fungsi V2L, iaitu kemampuan mengecas perkakasan luaran. Fungsi ini juga terdapat pada Chery Omoda E5.

Dari segi rupa luaran, Jaecoo J7 PHEV boleh dibezakan dari rim 19-inci aero, flap penutup tempat pengecasan di sisi kanan, dan ketiadaan ekzos di belakang. Ciri standard juga adalah pemegang pintu retractable.

Belum dapat dipastikan sama ada Jaecoo J7 PHEV ini akan dilancarkan di Malaysia, tetapi kami rasa ia pastinya akan memberikan pilihan menarik untuk kita. Apa pendapat anda dengan spesifikasi J7 PHEV ini?

M-Hero M-Hunter bakal buat kemunculan di Auto China 2024

ACARA Auto China 2024 yang akan berlangsung di Beijing pada bulan ini akan menyaksikan kemunculan pelbagai kenderaan menarik dari negara itu, termasuk M-Hero M-Hunter.

Menruut CarNewsChina, M-Hero merupakan jenama di bawah Dongfeng yang mengkhususkan kepada SUV elektrik mewah.

Jenama ini diberi jolokan ‘Hummer China’ kerana ia mendapat popularitinya setelah melancarkan kenderaan tentera versi orang awam iaitu trak pikap enjin pembakaran dalaman yang dikenali sebagai M50.

Menariknya, M-Hunter akan menjadi EV kedua jenama itu selepas M-Hero 917, sebuah SUV off-road dengan 1,088 hp yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

Menurut laporan media tempatan, M-Hunter akan dijual pada harga bermula dari 1 juta yuan, menjadikannya antara kereta China yang termahal. Malah mungkin lebih mahal berbanding kereta-kereta mewah seperti BYD YangWang U8.

Perincian teknikalnya tidak diketahui namun seperti yang boleh dilihat, M-Hunter adalah sebuah jentera off-road yang serius dengan casis yang terdedah, fender lebar dan bampar besi pada bahagian hadapan dan belakang.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan lampu LED, rak bumbung dan sepasang tayar simpanan – tidak ubah seperti buggy yang bertanding dalam Dakar Rally.

Ada kemungkinan yang M-Hunter menawarkan trenkuasa bateri elektrik (BEV) atau range extender (EREV) yang sama dengan 917.

Versi BEV menggunakan bateri NMC dari CATL berkapasiti 140 kWj dan mempunyai motor elektrik berkuasa 1,072 hp (800 kW) yang membolehkan SUV itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.2 saat.

Sementara itu, versi EREV pula mempunyai 805 hp (600 kW) menampilkan gabungan motor elektrik dan enjin 1.5 liter yang bertindak sebagai penjana kuasa untuk bateri 66 kWj.