Tag Archives: autonomous

Chery lancar institut penyelidikan kenderaan tenaga baharu dan sambungan pintar

CHERY Group baru-baru ini melancarkan Institut Penyelidikan Industri Kenderaan Tenaga Baharu dan Kenderaan Bersambung Pintar Anhui, menandakan langkah strategik Chery dalam pembangunan teknologi dan inovasi.

Setelah usaha keras yang berterusan terhadap kenderaan bahan api tradisional, Chery sedang meningkatkan usahanya dalam bidang tenaga baharu, sambungan pintar serta platform transit dan ekologi berkongsi.

Berdasarkan Platform Pembangunan Teknologi dan Perkhidmatan Awam Tenaga Baharu dan Kenderaan Sambungan Pintar China (Anhui), institut penyelidikan tersebut bertujuan untuk memacu pencapaian teknologi dalam bidang tenaga baharu dan kenderaan sambungan pintar.

Merangkumi institut penyelidikan automotif serta pusat inkubasi industri, ia akan terlibat dalam fungsi-fungsi seperti pembangunan trenkuasa dan platform, Makmal STELLAR Chery dan litar ujian kenderaan swapandu.

Chery Group akan menumpukan perniagaan masa hadapannya kepada pembangunan tenaga baharu dan sambungan pintar, termasuk bidang-bidang seperti pembangunan platform elektrik pintar, platform berprestasi tinggi dan platform elektrik hibrid; penggunaan sistem kawalan bateri, motor dan elektrik ke arah integrasi teknologi bateri yang lebih menyeluruh, teknologi pemanduan elektrik, perisian domain trenkuasa serta teknologi pengecasan/penukaran bateri, teknologi OTA, data besar dan ekologi interaktif.

Setakat ini, Chery telah menubuhkan enam pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) utama di Amerika Utara, Eropah dan Shanghai.

Lebih 14,000 daripada 23,000 paten yang dimohon oleh Chery telah diluluskan, termasuk hampir satu pertiga daripada paten inovasi.

Chery juga telah mengungguli Paten Ciptaan 100 Teratas China (Anhui) selama lapan tahun berturut-turut dan telah menjalankan lebih 170 program termasuk Program R&D Teknologi Utama Negara dan Program Penyelidikan Asas Negara.

Smart Campus Autonomous Vehicle oleh UMP ini merupakan bas tanpa pemandu pertama Malaysia!

PARA penyelidik di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini sedang membangunkan sebuah bas pintar dengan sistem komputer untuk membolehkannya bergerak tanpa pemandu atau secara berkendiri (autonomous).

Dinamakan Smart Campus Autonomous Vehicle (SCAV), ia dilengkapi pelbagai pengesan di sekeliling kenderaan dan dikawal oleh komputer. Ia mampu bergerak sendiri di sekitar kawasan kampus sambil memproses maklumat trafik.

Ketua program, Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang kenderaan autonomi, berkata ini merupakan bas pertama seumpamanya di Malaysia yang dibangunkan oleh pakar tempatan.

“Pada masa ini, proses pembangunan berada pada tahap akhir dengan 80 peratus hampir siap dan kini memfokus kepada algoritma spesifikasi tinggi dan teknologi pada bas itu sendiri,” katanya.

“Beberapa ujian awal juga dibuat sebelum ia boleh berfungsi sepenuhnya sebagai kemudahan untuk penduduk kampus, yang akan disempurnakan tahun depan.”

Sementara itu, pensyarah FTKPM, Dr. Mohamad Heerwan Peeie berkata, bas ini menggunakan beberapa jenis pengesan. Antaranya Light Detection and Ranging (LIDAR), Intertial Measurement Unit (IMU), dan beberapa kamera untuk memperoleh maklumat.

Mereka juga akan membangunkan perisian lebih terperinci untuk menjadikan sistem ini lebih stabil dalam persekitaran lebih sukar.

Syabas pasukan penyelidik UMP! Moga university tempatan lain juga akan mengeluarkan produk automotif yang penuh inovasi sebegini.