Tag Archives: azizulhasni awang

Harga basikal Olimpik 2024 lebih RM380,000 setiap satu, kenapa mahal sangat?

TIDAK dinafikan selain prestasi fizikal dan mental atlet yang perlu dijaga rapi, kelengkapan yang digunakan juga perlu dalam keadaan baik.

Begitu juga untuk atlet Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus yang mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 untuk acara Berbasikal Litar.

Basikal yang digunakan untuk acara bertaraf dunia itu mestilah bukan calang-calang, agar atlet dapat memaksimakan prestasi mereka. Tetapi jangan terkejut pula jika anda mengetahui harga basikal mereka menyamai harga sebuah BMW atau Mercedes-Benz baharu.

Ya, anda tidak silap baca. Harga basikal Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus melebih RM380,000 setiap satu!

Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bekerjasama membangunkan basikal berteknologi tinggi dengan jumlah RM7.5 juta secara keseluruhan bagi memastikan Malaysia mampu menggondol emas buat Sukan Olimpik Paris 2024.

Walaupun hasrat itu tidak kesampaian, namun apabila dilihat bagaimana atlet basikal negara, Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus berhabis baik memberikan prestasi yang maksimum dalam setiap perlumbaan, adalah cukup membanggakan.

Harga WX-R Vorteq

Basikal berjenama WX-R Vorteq berjaya ditambah baik dari segi kelengkapan teknologi terkini berbanding sebelum ini dan telah digunakan pelumba negara di Olimpik Paris.

Difahamkan, setiap satu basikal berkenaan bernilai RM385,800. Malah basikal setiap satu basikal ini diperbuat dari bahan gentian karbon yang lebih keras tetapi ringan dengan menggunakan teknologi aerodinamik terkini untuk memastikan rintangan angin lebih rendah.

Jaguh pecut berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang percaya dengan adanya basikal seperti itu dia dan rakan seperjuangan telah memberikan perlumbaan sengit buat atlet lawan.

Jelasnya, dalam edisi Olimpik sebelum ini, pelumba dari negara itu mempunyai kelebihan dari segi teknologi basikal yang digunakan dan itu membuatkan mereka lebih mudah mengatasi pelumba negara lain.

Untuk rekod, dilihat kembali pada edisi Olimpik Tokyo 2020 lalu basikal WX-R Vorteq juga telah dibangunkan dan menelan kos hampir RM13 juta.

Tidak menjamin kemenangan, cuma prestasi ternyata lebih bagus

Walau bagaimanapun, menurut The Pocket Rocketman ini, adanya basikal seperti ini tidak bermakna ia memberi jaminan untuk dia dan rakan-rakannya untuk menang emas di Olimpik Paris yang telah pun tamat pada 11 Ogos 2024 lalu.

“Ramai tidak faham ingat ada basikal baru boleh terus menang. Sebelum ini kita tiada R&D (projek membangunkan) basikal ini, kita selangkah ke belakang dengan pesaing kita Great Britain, Jerman.

“Mereka sudah ada keistimewaan dari segi basikal untuk pelumba mereka dan dari segi teknologi, mereka selangkah ke depan.

“Kita mungkin berlatih bersungguh-sungguh tapi bila kita nak berlumba, kita dah di belakang waktu itu dan ia itu tidak adil tapi sekarang UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ) sudah buat peraturan baru, selepas Olimpik Rio (Brazil 2016), semua basikal kena terbuka (di jual) di pasaran dan semua boleh buat R&D,” tambahnya.

“Saya fikir kita patut bangga bukan semua negara buat. Malaysia dan Jepun antara yang bersungguh-sungguh mengembangkan serta membantu pelumba mereka. Ini adalah teknologi dalam sukan.

“Sekarang kita sudah sama dari segi teknologi sukan dengan Great Britain, Jerman mahupun Jepun. Dan terpulang pada pelumba pula kena buktikan sebab ia ibarat ‘enjin’ yang akan menentukan kemenangan,” terang Azizulhasni Awang.

Inilah basikal Datuk Azizulhasni Awang yang membantunya memenangi pingat perak Olimpik 2020

DATUK Azizulhasni Awang semalam menghadiahkan pingat perak buat negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, menduduki tempat kedua perlumbaan akhir acara keirin di Velodrom Izu.

Pelumba Great Britain, Jason Kenny mempertahankan pingat emas dimenanginya di Olimpik Rio 2016 manakala Harie Lavreysen (Belanda) meraih gangsa.

Gambar: Malay Mail

Untuk bersaing di acara terulung dunia dan memperoleh pencapaian membanggakan, pastilah alatan yang digunakan bukan biasa-biasa. Basikal yang yang digunakan Azizulhasni dikhabarkan bernilai kira-kira RM300,000.

Dibangunkan di Oxon, United Kingdom, basikal Vorteq WX-R ini menggunakan teknologi R&D seperti Formula Satu dan apa-apa yang berkaitan F1 pasti bukan murah.

Gambar: WX-R.com

Vorteq WX-R mempunyai tempat duduk karbon sepenuhnya, manakala bar hendal dibangunkan menggunakan simulasi FEA (Finite Element Analysis) dan CFD (Computational Fluid Dynamics).

Gambar: WX-R.com

Ia juga diuji dalam terowong angin serta alat penguji ketegaran agar ia mempunyai keseimbangan terbaik dari segi daya seretan aerodinamik, berat, dan kekerasan. Ini penting bagi memastikan atlet yang bersaing di peringkat Olimpik mendapat prestasi terbaik.

Bar yang selebar 30cm dengan pemegang pendek meletakkan penunggang pada posisi aerodinamik paling optima. Aspek aerodinamik penting agar atlet atau penunggang mendapat kelajuan maksima dari kayuhan mereka.

Basikal Vorteq WX-R untuk Azizulhasni adalah kerjasama antara Institut Sukan Negara (ISN) dan sebuah syarikat penyelidikan Totalsim Ltd dengan kos R&D bernilai lebih RM13 juta.

Tahniah di atas pingat perak, Datuk! Jumpa di Paris pada 2024!