Tag Archives: BAIC

EPMB rai pengeluaran yang ke-1000, rancang pasang beberapa model GWM, BAIC tahun depan

Syarikat EP Manufacturing Berhad (EPMB) baru-baru ini meraikan pencapaian penting menerusi pengeluaran kenderaan yang ke-1000 di kilang pemasangan Pegoh, Melaka.

Menurut Encik Hamidon Abdullah selaku Pengerusi Eksekutif EPMB berkata, “Hari ini menandakan permulaan era baharu bagi EPMB, mengimbas kembali cabaran semasa pandemik COVID-19, kami tetap tabah dan kembali membina asas rancangan yang kukuh untuk masa depan.

“Fasa 1 kilang pemasangan kenderaan di Pegoh, Melaka adalah bukti visi kami. Kerjasama dengan GWM telah mencapai kejayaan besar, dan momentum ini akan diteruskan dengan persiapan untuk memasang model-model GWM yang lain.

“Kami menjangkakan kapasiti Fasa 1 akan digunakan sepenuhnya menjelang akhir 2025. Untuk Fasa 2, kapasiti pengeluaran akan dipertingkatkan dengan tambahan 30,000 unit setahun, sementara Fasa 3 pula akan memberikan tumpuan kepada pembuatan badan kenderaan dan proses pengecatan.”

Difahamkan, EPMB merancang untuk memasang beberapa model GWM termasuklah Jolion HEV (Q2 2025) dan Wey 80 (Q4 2025), serta dua model BAIC iaitu Beijing X55 dan BJ40 (Q1 2025).

Kilang yang terletak di Alor Gajah itu mempunyai kapasiti pengeluaran 15,000 unit setahun, dan mempunyai kekuatan tenaga pekerja seramai 160 orang.

EPMB turut memberikan keutamaan kepada lokalisasi komponen kenderaan untuk memperkukuh industri automotif tempatan.

Menerusi fasiliti di Kulim, Tanjung Malim, Batang Kali, Shah Alam dan Melaka, EPMB memulakan lokalisasi komponen penting untuk kenderaan GWM termasuklah tempat duduk, rangka depan stereng, gandar belakang, sistem suspensi, brek, panel instrumen, konsol tengah serta trim panel pintu.

BAW 212 muncul di China, rekaan rojak model off-road klasik terkenal

Adakah ini sebuah klon Mercedes-Benz G-Wagen? Jeep Wranger? Ford Bronco? Toyota BJ40? Atau Land Rover Defender?

Jawapannya yang betul ialah BAW 212, sebuah SUV off-road generasi terkini yang baharu sahaja mendarat di pasaran China.

BAW atau nama penuhnya Beijing Auto Works sebelum ini pernah menjadi sebahagian daripada syarikat BAIC sebelum menjadi jenama bebas sepenuhnya pada tahun 2020.

 

 

Nama 212 itu sebenarnya telah pun wujud sejak dari tahun 1960-an lagi, di mana model asalnya BJ212 sebelum ini dibina berdasarkan model SUV off-road keluaran Rusia.

BAW 212 generasi baharu ini akan mula dijual di pasaran China pada separuh kedua tahun ini, membawakan rupa paras yang diinspirasikan daripada model-model off-road ikonik.

 

 

Di bahagian hadapan, ia menampilkan unit lampu LED berbentuk bulat, struktur jeriji yang ringkas dengan tiga bukaan melintang, lampu bantuan pada sebelah kiri, dan gerbang roda hadapan yang agak lebar itu.

Bahagian sisi dan belakang SUV ini pula memang mengingatkan kita pada model klasik Land Rover Defender.

BAW berukuran sepanjang 4,705 mm, lebar 1,895 mm, tinggi 1,936 mm, jarak antara roda 2,860 mm, diikuti sudut pendekatan sebesar 40 darjah dan sudut pelepasan 36 darjah.

 

 

Secara standard, BAW 212 dibekalkan dengan enjin 2.0 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 248 hp, di padankan dengan sistem pacuan empat roda dan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Dengan berat sekitar 2,150 kg, BAW 212 mampu membawa muatan tunda seberat 2,500 kg.

 

 

Susun atur ruang kabin pula membawakan campuran pendekatan moden dan klasik, di mana ia menampilkan skrin kluster digital, skrin tengah lebar, serta gugusan butang kawalan yang besar dan mudah dicapai.

Di China, BAW 212 bakal dijual pada harga anggaran bermula sekitar 14,000 USD (RM65,674) sehingga 20,000 USD (RM93,820).