Tag Archives: bateri EV

Honda, Mitsubishi bentuk syarikat ALTNA, urus bateri EV dengan lebih cekap

Honda Motor Company dan Mitsubishi Corporation telah mengumumkan penubuhan syarikat kerjasama baharu 50:50 yang dinamakan sebagai ALTNA di Jepun pada bulan Julai 2024.

Matlamat syarikat baharu ini adalah untuk membantu mengoptimumkan kos penggunaan kenderaan elektrik (EV), meningkatkan nilai hayat bateri serta peredaran sumber dalam Jepun serta membantu menampung peningkatan permintaan tenaga menerusi penggunaan bateri simpanan grid.

Tiga perniagaan utama yang bakal diperkenalkan oleh ALTNA kelak, iaitu perniagaan pajakan bateri EV, perniagaan guna semula bateri, serta pelan pengecasan pintar.

 

 

ALTNA akan mula menawarkan pelan pajakan bateri EV menerusi model Honda N-VAN e:, di mana mereka akan mengawal sepenuhnya proses pemilikan bateri EV yang dipajak serta memantau tahap penggunaan sepanjang tempoh pajakan.

Data yang dikumpul akan digunakan untuk tujuan penambahbaikan tahap kebolehpercayaan yang diukur menerusi pelbagai parameter.

Apabila bateri tersebut sudah mencapai penghujung kitaran hayat, ia akan digunakan semula sebagai bateri storan grid. ALTNA juga akan memastikan bateri-bateri ini dikitar semula mengikut kaedah yang betul.

 

 

Menerusi perniagaan pengecasan pintar pula, ALTNA akan menawarkan pelan yang dapat membantu pengguna mengelakkan pengecasan waktu puncak, sekaligus mengurangkan kos secara keseluruhan.

Selain itu, pelan pengecasan ALTNA juga akan mengutamakan penggunaan tenaga hijau yang boleh diperbaharui untuk pengecasan EV sekiranya terdapat lebihan tenaga tersebut pada grid kuasa.

 

NIO, Shell meterai kerjasama strategik bina fasiliti penukaran bateri EV

SHELL dilaporkan memeterai kerjasama baharu bersama syarikat kenderaan elektrik (EV) dari China, NIO.

Kerjasama membabitkan usaha menambah lebih 100 stesen pengendalian dan penukaran bateri di China menjelang tahun 2025.

Memetik Auto Express UK, NIO setakat ini mempunyai sekurang-kurangnya 300 stesen penukaran bateri di China khusus buat kegunaan pemilik kenderaan jenama itu.

Sementara itu, Shell dilaporkan telah bersetuju membenarkan NIO membina fasiliti penukaran bateri di stesen minyaknya di Eropah.

Sistem pengecasan pantas Shell Recharge juga boleh didapati di beberapa lokasi terpilih di negara ini. – Foto ihsan Shell

Pada masa sama, NIO juga akan memasang sistem pengecasan pantas Shell Recharge di fasiliti terpilih miliknya.

Untuk rekod, NIO mendakwa mampu menukarkan sebuah pek bateri kepada yang dicaj penuh dalam masa tiga minit.

Kenderaan keluaran NIO juga mula mendapat tempat di Eropah setelah berjaya memasarkan beberapa model di Norway.

Antara model mendapat permintaan tinggi adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) ES8 dan sedan ET7.

NIO juga tidak menafikan berkemungkinan akan menembusi pasaran United Kingdom sekiranya mendapat permintaan tinggi penduduk negara itu di masa depan.