Tag Archives: batik air

Batik Air tawar pemindahan terminal persendirian guna Leapmotor C10 EV di KLIA

Batik Air menerusi kerjasama dengan Leapmotor Malaysia mengumumkan perkhidmatan pemindahan terminal persendirian (Private Terminal Transfer) untuk penumpang kelas perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Sebanyak lima unit SUV elektrik Leapmotor C10 akan digunakan untuk membawa penumpang kelas perniagaan dari Pintu G1 di Bangunan Terminal Utama ke Pintu C1 di Bangunan Satelit dan sebaliknya.

Leapmotor C10 merupakan sebuah SUV segmen D berkuasa elektrik yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 424 km (data WLTP).

Untuk memastikan keselesaan perjalanan yang terjamin, SUV ini didatangkan dengan tempat duduk yang ergonomik serta balutan bahan tekstil OEKO-Tex Standard 100 yang lebih tahan lasak dan mesra alam.

Selain itu, SUV ini turut menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa, serta ruang kargo berkapasiti 415 liter yang boleh dibesarkan sehingga 1,410 liter untuk memuatkan barangan yang lebih besar.

Perkhidmatan eksklusif oleh Batik Air ini dilihat dapat mengurangkan tempoh masa menunggu, dan dalam masa yang sama dapat melengkapkan lagi perkhidmatan bas yang disediakan oleh Malaysia Airports sepanjang tempoh penggantungan perkhidmatan aerotrain.

Batik Air larang guna bank kuasa di dalam pesawat

Sebagai respons kepada kebimbangan keselamatan mengenai bank kuasa, Batik Air telah memperkenalkan polisi terkini untuk mengukuhkan lagi langkah-langkah keselamatan di dalam pesawat.

Bermula serta-merta, penumpang dibenarkan membawa maksimum dua bank kuasa, yang mesti sentiasa disimpan pada diri mereka dan tidak boleh diletakkan dalam barang bawaan (carry-on). Bank kuasa adalah dilarang sama sekali dalam bagasi berdaftar (checked baggage) pada semua penerbangan Batik Air.

Walau bagaimanapun, untuk keselamatan yang lebih baik, penggunaan bank kuasa di dalam kabin adalah dilarang sama sekali.

Penumpang juga dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membawa bank kuasa jenis auto-magnet charge, kerana ini mungkin menimbulkan risiko tambahan.

Mengikut Peraturan Barangan Berbahaya Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bank kuasa yang dibawa ke dalam pesawat tidak boleh melebihi 100 Wh atau 20,000 mAh.

“Peringatan keselamatan akan dipaparkan dengan jelas di kaunter daftar masuk dan ditambah dengan pengumuman sebelum berlepas serta taklimat dalam penerbangan untuk memastikan pelaksanaan yang lancar.

“Kakitangan daftar masuk juga akan memeriksa bank kuasa sebelum menaiki pesawat untuk mengesahkan bahawa ia dalam keadaan baik dan memenuhi had Wh yang ditetapkan,” kata Batik Air dalam satu kenyataan.

Batik Air tambah empat laluan penerbangan baharu ke Indonesia

BATIK Air telah mengumumkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke empat destinasi di Indonesia, sekali gus mengembangkan rangkaiannya ke lapan bandar di negara itu.

Menurut syarikat itu, penerbangan ke pulau peranginan Lombok sudah bermula hari ini (31 Julai 2024), diikuti laluan ke Surabaya pada keesokan hari iaitu 1 Ogos.

Sementara itu, penerbangan ke Pekanbaru dan Padang pula akan bermula pada 10 Ogos 2024.

Batik Air berkata, laluan baharu itu akan meningkatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia, menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelancong untuk menerokai pelbagai tarikan di Indonesia.

Tambah syarikat itu lagi, ia akan mengendalikan 14 penerbangan mingguan ke Surabaya, empat penerbangan mingguan ke Lombok, dan tujuh penerbangan mingguan setiap satu ke Pekanbaru dan Padang.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata laluan baharu ini akan memupuk hubungan yang lebih kukuh antara Malaysia dan Indonesia dengan mempromosikan pertukaran budaya dan ekonomi yang lebih besar.

“Memperluaskan rangkaian kami bukan sahaja memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi dengan memudahkan transaksi perniagaan dan perkongsian yang lebih lancar,” tambah beliau.

Beliau turut menekankan peranan strategik KLIA sebagai hab umrah yang berfungsi sebagai titik transit untuk jemaah yang melancong ke Arab Saudi, terutamanya mereka dari Asia Tenggara.

Pada masa ini, Batik Air mengendalikan penerbangan terus ke Jeddah dan akan memulakan penerbangan ke Madinah pada Ogos.

“Dengan penambahan laluan baharu ini, ketersambungan dan kapasiti KLIA dipertingkatkan lagi, menawarkan pilihan yang lebih mudah untuk jemaah haji dan meningkatkan statusnya sebagai hab transit antarabangsa utama,” katanya.

Batik Air, Kia jalin kerjasama sedia khidmat pemindahan terminal dengan EV9, Carnival

BATIK Air memperkenalkan perkhidmatan pemindahan terminal khusus untuk penumpang Kelas Perniagaan syarikat penerbangan itu.

Menerusi kerjasama dengan pengedar rasmi jenama Kia iaitu Dinamik Jaya Motors Sdn Bhd, Batik Air akan meningkatkan pengalaman perjalanan bagi penumpang Kelas Perniagaan Promo dan Flexi dengan menawarkan pemindahan premium antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit Terminal 1 KLIA.

Penumpang akan dibawa menggunakan SUV elektrik Kia EV9 dan MPV Kia Carnival antara lokasi pengambilan yang terletak di Gate G1 di Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit.

Menurut Batik Air, perkhidmatan ini adalah sebagai tambahan kepada perkhidmatan pemindahan menggunakan bas yang disediakan oleh Malaysia Airports (MAHB) berikutan penggantungan sementara perkhidmatan aerotren.

Datuk Chandran Rama Muthy, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air berkata pihaknya mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan impak alam sekitar sambil memastikan pelanggan mereka dapat menikmati keselesaan dan kemewahan yang tiada tandingan.

“Inisiatif ini selaras dengan dengan visi jangka panjang kami untuk mencapai masa depan yang lebih mampan dalam penerbangan,” katanya.

Sementara itu, Kevin Ahn, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik berkata perkongsian dengan Batik Air itu sejajar dengan visi korporat Pelan S Kia dan komitmen mereka untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2045.

Batik Air mahu jadikan KLIA sebagai hab perjalanan umrah

BATIK Air bersama dengan Lion Air Group kini bekerjasama dengan agen-agen umrah dari Indonesia dan Malaysia untuk mempromosikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab sentral perjalanan umrah.

Inisiatif ini dalam menyokong hasrat kerajaan Malaysia bagi memperkukuhkan KLIA sebagai hab umrah dalam jangka masa panjang.

Pengarah Strategik Kumpulan Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy menggariskan permintaan tinggi penerbangan umrah selepas pengenalan penerbangan tanpa-henti Kuala Lumpur ke Jeddah pada Ogos 2023.

“Permintaan ini selari dengan komitmen Batik Air dalam mengenal pasti peningkatan permintaan dan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan beragama Islam di Malaysia dan Indonesia,” kata Chandran.

Menurutnya lagi, Batik Air kini giat bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Kebudayaan Malaysia untuk menjadikan KLIA sebagai hab umrah.

Acara itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni, dan Kebudayaan Malaysia, YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan.

Lebih 100 pengoperasi pelancongan dari Indonesia dan Malaysia khas dalam perjalanan umrah turut menyertai acara tersebut.

Malindo Air kini digelar Batik Air

MALINDO Air kini digelar Batik Air. Syarikat penerbangan rantau yang berpangkalan di Malaysia itu mengumumkan penjenamaan semula mereka beberapa hari lepas.

“Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) telah meluluskan Air Operators Certificate kepada Malindo Airwas Sdn Bhd untuk beroperasi sebagai Batik Air bermula 28 April,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Malindo Air ialah sebahagian dari Lion Air Group. Syarikat penerbangan lain di bawah Lion Air adalah Super Jet, Wings Air, Batik Air Indonesia, Biz Jet, Thai Lion Air dan Lion Air.

Penjenamaan semula ini dikatakan selari dengan matlamat Lion Air untuk mempunyai identiti serupa untuk semua perkhidmatan penerbangan di bawahnya.

“Dengan kelulusan ini, Batik Air akan dapat menjalankan perniagaan lebih baik untuk pemindahan lebih lancar, menggunakan Kuala Lumpur International Airport (KLIA) sebagai hab transit Lion Group,” kata CEO-nya, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri.

Beliau menambah bahawa penjenamaan semula ini akan dibuat secara berfasa dan Batik Air akan memaklumkan kepada pelanggan dan rakan kongsi niaganya.

“Dengan pembukaan semula sempadan dan penambahan semula permintaan untuk pelancongan, Batik Air akan menambah beberapa bilangan pesawat B737 terhadap barisan pesawat sedia ada.”